“Kita tiada kuasa tetapkan harga siling binaan” - Utusan Malaysia

“Kita tiada kuasa tetapkan harga siling binaan”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MEMEGANG jawatan sama dalam pembentukan tiga kerajaan sebelum ini sudah cukup menampakkan ketenangan serta kematangan Menteri Kanan Kerja Raya DATUK SERI FADILLAH YUSOF ketika diajukan pelbagai soalan berkaitan kementeriannya.
Kesesakan lalu lintas di lebuh raya, harga barangan binaan monopoli warga asing dalam sektor pembinaan dan pembinaan lebuh raya di Selangor antara isu hangat yang disentuh ketika pertemuan di pejabatnya baru-baru.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI bertemu dengan beliau bagi mendapatkan perspektif tersebut.

MINGGUAN MALAYSIA: Adakah kesesakan yang berlaku pada musim perayaan baru-baru ini disifatkan sebagai luar biasa?
FADILLAH: Kita dapati sebanyak 4.36 juta kenderaan dicatatkan setiap hari sepanjang tempoh Ops Selamat 18. Kesesakan tertumpu di lebuh raya yang menghubungkan bandar utama seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sahaja, tidak di lebuh raya bertol di Lembah Klang.
Kapasiti kenderaan dalam tempoh berkenaan meningkat sehingga 30 peratus di PLUS, manakala di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak kita dapati peningkatan jumlah trafik mencecah 56 peratus berbanding hari biasa. Ia melebihi kapasiti sedia ada lebuh raya dan ini menyebabkan pergerakan kenderaan bergerak perlahan dengan kelajuan kenderaan dianggarkan di antara 20 km/j sehingga 50 km/j. Inilah yang berlaku setiap kali musim perayaan dan keadaan akan jadi lebih teruk sekiranya ada kemalangan. Itu belum lagi dikira laluan tertentu yang berselekoh atau membabitkan pendakian yang memberi kesan pada pergerakan trafik.

LANGKAH ATASI KESESAKAN
Apa perancangan kementerian untuk mengatasi masalah kesesakan tersebut? Perlukah dibuat sistem penggiliran kenderaan?
Kita ada inisiatif hasil kerjasama syarikat konsesi lebuh raya termasuk jadual perjalanan yang dipanggil Travel Time Advisory (TTA) selain pemberhentian sementara kerja penyelenggaran. Ini bagi memastikan tiada penutupan lorong di laluan utama lebuh raya.
Tapi paling penting adalah pematuhan kepada TTA dalam kalangan pengguna sebelum kita mahu beralih kepada sistem penggiliran lain.

Sebelum ini Datuk Seri ada menyatakan Selangor memerlukan tiga lebuh raya untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Adakah ia dapat direalisasikan?
Antara cadangan projek lebuh raya di kawasan Lembah Klang yang telah mendapatkan kelulusan prinsip adalah projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK), Putrajaya – Bangi Expressway (PBE), dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE) manakala cadangan projek lebuh raya lain masih dalam perbincangan.
Bagi projek PJD LINK, syarikat pencadang dalam pelaksanaan tindakan untuk memenuhi keperluan syarat termasuk mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri, penduduk terlibat serta agensi berkaitan sebelum pembinaan projek ini dimulakan. Syarikat juga perlu melaksanakan penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian kesan trafik (TIA). Projek ini hanya akan dimulakan sekiranya mendapat sokongan penduduk melalui SIA serta laporan yang memberangsangkan bagi EIA dan TIA.
Bagi projek PBE, ia dalam fasa terakhir rundingan kos sebelum diteruskan dengan rundingan draf perjanjian konsesi serta apendiks teknikal manakala bagi KL-NODE, penjajaran masih belum ditentukan dan dalam penilaian.
Jadi ini antara langkah kita untuk kurangkan kesesakan disebabkan peningkatan kenderaan pada tahun 2020 iaitu 3.71 peratus atau bersamaan 15,240,536 berbanding 2019 sejumlah 14,695,664.

KOS TOL PERCUMA
Berapa kos ditanggung kerajaan apabila memberi tol percuma baru-baru ini dan adakah kerajaan akan melaksanakan langkah sedemikian dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat pada masa akan datang?
Anggaran perbelanjaan keseluruhan menerusi pemberian tol percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus serta 30 peratus selama empat hari baru-baru ini adalah sebanyak RM63.72 juta.
Kerajaan menanggung sebanyak RM16.11 juta manakala bagi syarikat konsesi adalah sebanyak RM47.61 juta. Pemberian ini dilaksanakan syarikat konsesi menerusi program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) yang biasanya diberikan sempena perayaan besar dan nasional negara.
Ia membantu mengurangkan bebanan rakyat. Untuk masa akan datang kita tidak boleh beritahu sekarang sama ada akan dilaksanakan lagi atau tidak. Semuanya bergantung kepada prestasi kewangan kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya kerana mereka juga perlu menanggung kos operasi serta penyenggaraan melalui hasil kutipan tol.

HARGA BARANGAN BINAAN
Dengan krisis Rusia dan Ukraine sekarang, adakah ia memberi kesan kepada peningkatan harga barangan binaan? Adakah munasabah untuk melaksanakan penetapan harga siling?
Buat masa ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) belum ada data lengkap untuk melihat kesan daripada konflik Rusia dan Ukraine kepada harga bahan binaan. Kenaikan berlaku disebabkan bekalan rantaian global. Contohnya, jika kita hendak buat jalan raya. Sekarang kita lihat harga bahan api naik dan untuk buat bitumen perlu gunakan minyak.
Bukankah itu ada rantaian? Jadi bagaimana mahu tetapkan harga siling? Malahan kita juga tiada kuasa (tetapkan harga). Yang ada kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. (KPDNHEP). Penetapan harga lantai ini perlu mengambil keseluruhan aspek jika mahu dilaksanakan. Kerana itu jugalah kerajaan menetapkan harga siling hanya untuk barangan keperluan asas sahaja. Di samping itu, ia juga bergantung kepada penawaran dan permintaan. Kita takut tidak seimbang dan beri kesan lain pula.

Tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini di kawasan Ampang membuka mata banyak pihak terhadap peranan kerajaan terutama Kementerian Kerja Raya dan PBT. Apa komen Datuk Seri?
Kita bertanggungjawab ke atas cerun-cerun yang berada di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia. Berdasarkan data cerun yang telah dicerap Jabatan Kerja Raya (JKR), terdapat 1,045 cerun yang terdiri daripada jenis soil slope dan rock slope di sepanjang jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia dikategorikan sebagai cerun berisiko sangat tinggi.
Bagi negeri ada di bawah bidang kuasa negeri masing-masing termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT). Contohnya, dengan apa yang berlaku baru-baru ini dalam kejadian tanah runtuh di Ampang. Cuma kita boleh membantu untuk memberi nasihat teknikal dan kepakaran serta menganalisis risiko. Kita tiada kuasa melainkan dijemput untuk bantu.

CADANGAN BINA TEROWONG SMART

Adakah pembinaan terowong Smart satu keperluan mendesak ekoran banjir berlaku sebelum ini?
Pada masa ini, tiada pembinaan terowong Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart) melibatkan pembangunan lebuh raya dijalankan Kementerian Kerja Raya. Terowong Smart sedia ada telah mula beroperasi sejak dari 14 Mei 2007 dan kutipan tol bermula pada 14 Jun 2007. Setakat ini, cadangan pembinaan terowong Smart tidak melibatkan sebarang pembangunan lebuh raya baharu serta tidak melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa kita. Bagaimanapun, pihak kementerian mengambil maklum akan cadangan pembinaan terowong Smart baharu yang dikemukakan pihak swasta bagi menangani isu banjir ini sedang dalam penelitian kementerian atau agensi berkaitan.

Datuk Seri sebelum ini memaklumkan kerajaan sedang berunding dengan beberapa lebuh raya lain selepas penstrukturan empat konsesi lebuh raya. Apa perkembangan terbaru?
Semua rundingan penstrukturan semula perlu dimuktamadkan dalam tahun ini bagi membolehkan pihak kerajaan mencapai sasaran penjimatan pembayaran pampasan. Inisiatif penstrukturan semula empat lebuh raya di Lembah Klang sebelum ini bukanlah satu-satunya kaedah yang diguna pakai syarikat konsesi.
Terdapat pelbagai kaedah penstrukturan lain yang turut dicadangkan syarikat konsesi lebuhraya berdasarkan model perniagaan masing-masing. Justeru, pihak kerajaan perlu meneliti cadangan penstrukturan ini dengan lebih terperinci dan menyeluruh supaya rundingan yang dilaksanakan akan memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.
Dalam memberikan kelulusan penstrukturan, kerajaan akan pastikan ia tidak menjejaskan pengguna lebuh raya dan pihak pelabur serta tidak membebankan kerajaan.
Perlu juga diingatkan, setiap penstrukturan adalah unik serta berbeza tertakluk kepada struktur pembiayaan sesebuah lebuh raya serta dinamik trafiknya, dan akan terdapat perbezaan di antara setiap penstrukturan dalam kata lain one size does not fit all.

Bagaimana dengan perkembangan terbaru Lebuhraya Pan Borneo?
Bagi pelaksanaan LPB Sarawak, daripada keseluruhan Fasa 1 sepanjang 786 kilometer (km), status kemajuan terkini adalah 81 peratus siap di mana beberapa pakej dan seksyen telah dibuka untuk pengguna jalan raya.
Sementara itu, bagi pakej kerja 03 iaitu bermula dari bulatan Serian ke persimpangan Pantu dan persimpangan Pantu ke Batang Skrang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2022.
Lima lagi dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun 2023 antaranya dari Semantan ke Jambatan Sungai Moyan; Sematan ke Jambatan Sungai Moyan; Batang Skrang ke Sungai Awik; Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor; Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip; Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu Airport dan Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap.
Baki pakej kerja dari Bintangor ke Jambatan Sungai Kua dan Sungai Tangap ke Pujut Link Road pula dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2023 yang melengkapkan pembinaan keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah pula, pelaksanaan Fasa 1 projek dengan anggaran jarak keseluruhan 706 km telah dibahagikan kepada 35 pakej kerja di mana kaedah asal pelaksanaan projek ini melalui Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan bermula pada 2016.
Susulan penamatan PDP pada September 2019, hanya 15 pakej kerja diteruskan pelaksanaannya secara konvensional, di mana JKR Sabah bertindak sebagai Pegawai Penguasa bagi memantau pelaksanaan projek.
Sehingga kini, pelantikan kontraktor bagi 15 pakej kerja telah dilaksanakan melibatkan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan terkini bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah sebanyak 57 peratus termasuklah pembinaan bagi tiga pakej kerja baharu yang melibatkan laluan daripada Sandakan Mile 32 sehingga Sg. Baoto dan dijangka siap pada suku keempat 2024.
Sementara itu, satu pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru pula dijangka ditender pada tahun ini, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini, dengan kos keseluruhan sebanyak RM10.849 juta menggunakan peruntukan pembangunan sepenuhnya.
Beberapa pakej dijangka dibuka menjelang suku pertama tahun 2023 untuk pengguna jalan raya dengan melibatkan beberapa laluan.

WARGA ASING DOMINASI SEKTOR PEMBINAAN
Baru-baru ini Utusan Malaysia ada melaporkan berkenaan isu dominasi warga asing dalam sektor pembinaan.Adakah kementerian sedar perkara ini ?
Kalau diikutkan daripada segi dasar, mana-mana pihak yang mahu membuat kerja pembinaan perlu berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan kebenaran diberikan kepada syarikat tempatan atau syarikat yang mempunyai kerjasama dengan antarabangsa.
Bagaimanapun, jika ia benar berlaku dan ada aduan kita akan ambil tindakan kerana ia merupakan satu kesalahan. Pendaftaran bukan hanya melibatkan syarikat, tetapi juga kepada pekerja, perlu ada kad hijau walaupun membabitkan kerja-kerja kecil. Biasanya jika berdaftar akan ada pemantauan. Jika melibatkan kerja kecil sahaja tidak perlu bayar levi dan berdaftar dengan CIDB. Ia mungkin juga tertakluk dan dikawal selia di bawah PBT. Kita mohon kerjasama orang ramai supaya ada siasatan, sekali gus boleh dilakukan pemeriksaan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×