Golf akhiri kemarau emas 21 tahun

Golf akhiri kemarau emas 21 tahun

Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA dalam acara golf berpasukan lelaki menewaskan Thailand pada aksi akhir di Vietnam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Ervin Chang membuat penampilan terakhir di Sukan SEA penuh bergaya apabila menghadiahkan emas kedua peribadinya buat Malaysia dalam saingan golf berpasukan lelaki semalam.

Kejayaan itu hadir selepas skuad negara yang dibarisi Ervin, Nateeshvar Ganesh, K. Rhaasrikanesh dan Marcus Lim mengetepikan pasukan pilihan, Thailand 2-1 dalam acara berpasukan lelaki sekali gus mengembalikan semula pingat emas selepas 21 tahun.

Kali terakhir skuad Malaysia merangkul pingat emas dalam acara berkenaan pada 2001.

“Ini adalah penampilan terakhir saya dalam Sukan SEA kerana saya berhasrat untuk beralih ke profesional. Pastinya ia adalah impian saya untuk memenangi pingat emas untuk Malaysia dan saya berjaya melakukannya hari ini. Untuk dapat memenangi Emas buat kali pertama untuk Malaysia adalah di luar impian saya.

“Terima kasih kepada ibu bapa saya, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Golf Malaysia (MGA), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan penaja yang sentiasa menyokong impian saya. Emas ini untuk semua rakyat Malaysia,” katanya yang turut merangkul emas dalam individu, Ahad lalu.

Pada aksi yang berlangsung di padang golf Heron Lake Golf Course dan Resort, Vinh Phuc, Hanoi itu menyaksikan K Rhaasrikanesh muncul wira apabila cemerlang memasukkan bola dari luar di lubang ke-17 untuk memastikan kemenangan dua lubang berbanding Pongsapak Laopakdee.

Berdasarkan rekod, kejayaan empat pemain golf negara, ia adalah kali ketiga negara berjaya merangkul emas dalam acara berkenaan sekali gus mengikut jejak langkah pemenang 1989 mendiang terdiri daripada P. Gunasegaran, Johari Sulaiman, Saad Yusuf dan Wong Hung Nung.

Kali terakhir Malaysia memenangi adalah menerusi gandingan Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin pada 2001.

Dalam pada itu, pasukan golf negara turut cemerlang dalam acara berpasukan wanita diwakili Jeneath Wong dan Mirabel Ting kerana turut membawa pulang pingat perak untuk negara.

Gandingan dua pemain golf wanita negara itu tewas kepada Thailand 1.5-0.5 selepas Jeneath tewas dengan satu lubang kepada Eila Galitsky manakala Mirable mensia-siakan kelebihan tiga lubang sebelum tunduk kepada dengan Natthakritta Vongtaveelap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×