Sandarkan pada kenangan? - Utusan Malaysia

Sandarkan pada kenangan?

SEJARAH itu tidak boleh terus-terusan wujud dalam bentuk penentu mutlak kejayaan bahasa Melayu pada masa ini. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK sekian kali apabila terdapat gagasan untuk menyebarluaskan bahasa Melayu di luar tanah watannya, khususnya daripada pemerintah pada kali ini sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, banyak pihak termasuklah sarjana didapati berhujah sakan dari segi sejarah kegemilangan bahasa Melayu.

Wacananya berkisar pada wibawa bahasa Melayu di mandala (lingkungan) dunia, dengan peranan lingua franca pada abad 16. Selain itu, juga dibicarakannya sebagai bahasa agama bukan sahaja untuk Islam, tetapi agama Hindu, Buddha dan Kristian.

Ia juga bahasa yang dituturkan pedagang seluruh dunia, di samping bahasa persuratan untuk menghasilkan karya agung dalam kesusasteraan Melayu lama.

Sebenarnya bahasa Melayu penting dalam banyak bidang sehingga beberapa panduan penggunaan dihasilkan oleh orang asing sendiri. Sehubungan ini, ia ikut digunakan penjajah untuk perluasan kuasa dan pengaruh mereka di Alam Melayu.

Pada abad 17 bahasa Melayu sudahpun mendominasi landskap budaya sebahagian besar Asia Tenggara. Seterusnya ia menjadi alat dan lambang perjuangan kemerdekaan di Indonesia dan Persekutuan Tanah Melayu.

Hujah begini selalu dilaung-laungkan sesetengah pihak bukan sahaja selaku unsur kejayaannya dahulu, tetapi juga sebagai satu-satunya penentu kegemilangannya sekali lagi pada zaman ini. Ini kerana hujah ini diajukan sebagai pemikiran utama untuk menaakul logik kekuasaan bahasa Melayu di persada dunia kini.

Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu memang mempunyai legasi budaya cemerlang. Tetapi ia legasi lampau dan kini nostalgia sahaja, yakni ia perasaan sentimental kita tentang masa lampau yang sarat dengan pelbagai perkaitan indah yang amat menggembira dan menyemarakkan sekali.

Namun semua yang indah itu kini diselubungi perasaan sedih. Ini kerana ia tiada lagi dan sangat sukar dikembalikan. Hal ini demikian setelah melihat kepada perkembangan semasa yang berlaku pada bahasa Melayu di negara ini selain peredaran budaya sejagat.

Sebenarnya kita membina legasi budaya baharu setelah merdeka, antaranya menjadikan bahasa Melayu bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Namun kita sendiri juga yang kemudian meruntuhkannya apabila mewujudkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik serta segala macam yang lain selepas itu.
Sehubungan ini, kita sangat perlu membina semula legasi budaya semasa. Untuk ini, ia tidak boleh lagi bergantung semata-mata pada legasi lampau itu. Ini kerana ia sudah menjadi sejarah.

Memang sejarah itu amat penting. Melalui sejarahlah, kita mendapat iktibar daripada perkara lampau, antaranya bagaimana masyarakat, kerajaan, sistem dan budaya pada sesuatu ketika itu dibina, wujud dan berubah.

SISIH

Dengan ini, sejarah mengajar kita untuk memahami keadaan kini setelah mengetahui suasana lampau, khususnya tentang perubahan yang berlaku.

Oleh itu, tidak wajar lagi untuk kita terus berpegang kuat kepada kedudukan lampau waima betapa hebatnya bahasa Melayu itu kerana faktor pendukungnya sudah tidak sama lagi kini.

Dalam hal ini, sejarah sepatutnya ditekuni untuk meneliti perubahan yang terjadi sehingga masyarakat tidak lagi mahu mengekalkan sesuatu ideologi, budaya dan seumpamanya.

Dengan memahami perubahan, kita sebenarnya bukan sahaja dapat memahami keadaan semasa dengan baik, malah menyediakan masa mendatang dengan penuh yakin lagi.

Oleh itu, sejarah kegemilangan lampau bahasa Melayu itu hendaklah sekadar memberi semangat untuk melakarkan adegan baharu yang sudah tentu tidak mampu serupa lagi dengan yang dahulu.

Untuk ini, sejarah itu tidak boleh terus-terusan wujud dalam bentuk penentu mutlak kejayaan bahasa Melayu pada masa ini, apatah lagi untuk masa hadapan dan selama-lamanya. Ini kerana kejayaan bahasa Melayu kini memerlukan set faktor lain yang baharu.

Sehubungan ini, dipohon pihak yang mahu berbicara tentang gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa penting di luar tanah watannya untuk ikut dianuti pihak lain, mula berhujah dari sisi lain sebagai wacana utamanya.

Antaranya dalam konteks bahasa Melayu dipilih dunia amnya, dan beberapa negara tertentu khasnya, untuk mengendalikan peranan komunikasi antarabangsa penting tertentu.

Untuk ini terjadi, ada keperluan mendesak kepentingan bahasa Melayu mula direka bentuk sebagai khidmat yang boleh diguna pakai oleh sebilangan negara di dunia.

Sebelum ini berlaku, ia harus bermula dengan kegunaan bahasa Melayu dipertingkat agar peranan nasionalnya bertambah. Dengan kata lain, bahasa Melayu perlu terlebih dahulu menebusi semua ranah kebangsaan sepenuhnya sebelum ke ranah antarabangsa.

Dengan ini, untuk bahasa Melayu mula lebih digunakan secara bermakna dalam kehidupan nasional rakyat, ia hendaklah tidak lagi dipandang sepi, dianggap tiada nilai, khususnya tentang pengaruh sosioekonominya, lantas boleh disisih begitu sahaja.

Legasi budaya lampau bahasa Melayu tetap merupakan fakta sejarah penting. Namun bicaranya perlu berpada-pada apabila digunakan untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu pada zaman mencabar ini.

Ia boleh hanya bersifat pembakar semangat sebagai permulaannya. Sebenarnya semangat sahaja tidak mencukupi, ia harus diiringi tindakan sebenar yang tidak perlu lagi bersandar pada kenangan, tetapi amalan konkrit yang penuh dengan rasa bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu yang bermula di tanah watannya yang berdaulat oleh anak watannya sendiri. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×