BUAT julung kalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS pada 12-13 Mei lalu di Washington D.C.
Sidang kemuncak khas ini telah dipengerusikan oleh Presiden AS, Joe Biden dan dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN lain kecuali Myanmar, Filipina dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.
Sidang ini mempunyai enam program yang melibatkan sesi-sesi bersama Biden, Naib Presiden, Kamala Harris, Speaker Dewan Rakyat, Nancy Pelosi, beberapa ahli Kabinet dan kapten-kapten industri AS serta jamuan makan malam yang dihoskan oleh Presiden AS di White House.
Dalam sesi pertukaran pandangan antara para pemimpin ASEAN dengan Presiden AS, Malaysia telah mengalu-alukan keputusan untuk mengukuhkan hubungan ASEAN-AS ke peringkat perkongsian strategik secara menyeluruh.
Malaysia juga berharap AS dapat memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat antarabangsa termasuk dialog untuk penyelesaian damai konflik Russia-Ukraine yang mengakibatkan penderitaan dan kemusnahan harta benda, impak kepada bekalan makanan dunia serta masalah pelarian sedia ada serta memberi kesan buruk kepada ekonomi sedunia di mana inflasi meningkat secara mendadak dan terdapat isu kekurangan dan peningkatan harga bahan makanan.
Malaysia juga menegaskan bahawa AS perlu memainkan peranan lebih aktif mengenai penindasan sistemik dan pembunuhan mereka yang tidak bersalah di Palestin oleh Israel, kuasa penjajah, yang perlu dihentikan.
Pembunuhan seorang wartawan terkemuka, Shireen Abu Akleh di Tebing Barat baru-baru ini adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.
Sewajarnya, AS sebagai sebuah kuasa besar mengambil tindakan segera sepertimana tindakan dalam menangani konflik Russia-Ukraine memandangkan isu penindasan Israel ke atas Palestin telah berlaku sejak 1948.
Malaysia juga menggesa AS untuk meningkatkan bantuan kepada Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN dan mengambil lebih ramai pelarian, khasnya dari Myanmar yang berada di Malaysia kerana kita adalah negara paling terkesan.
Dalam majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Harris, Malaysia telah mencadangkan kerjasama dalam pengesanan, pengawasan dan tindak balas tehadap penyakit berjangkit dan ancaman kesihatan di masa hadapan.
Malaysia juga telah menggesa ASEAN dan AS untuk mengenal pasti dan melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah kerangka ASEAN Outlook on the Indo-Pacific melalui mekanisme yang diterajui oleh ASEAN.
PERSEPSI
Semasa sesi makan tengah hari yang dihoskan oleh Pelosi, Malaysia telah membangkitkan mengenai aspek kerjasama ekonomi, tenaga bersih dan pembangunan modal insan.
Dalam pertemuan bersama ahli-ahli Kabinet AS, para pemimpin ASEAN telah membincangkan mengenai fenomena perubahan iklim, usaha transformasi tenaga bersih dan pembangunan mampan.
Ketika pertemuan antara para pemimpin ASEAN dengan kapten-kapten industri, Malaysia telah membangkitkan mengenai kepentingan ditingkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, selain menyeru AS meningkatkan keupayaan ASEAN dalam rantaian bekalan dan pembangunan lestari menerusi pelaburan.
Malaysia juga menyeru AS untuk mengeratkan kolaborasi bagi melaksanakan Pelan Tindakan ASEAN Mengenai Kerjasama Tenaga dan Pelan Kerjasama Tenaga ASEAN-AS 2021-2025.
AS pula telah menyatakan komitmen dan sokongan dalam meningkatkan kerjasama ekonomi serantau, perdagangan dan pelaburan, termasuk dalam sektor digitalisasi, pembangunan mampan, tenaga bersih, kesihatan dan kelestarian rantaian bekalan.
Lebih membanggakan, selaras dengan komitmen beliau untuk memartabat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu, Perdana Menteri sekali lagi telah menyampaikan ucapannya dalam bahasa kebangsaan dalam lawatan ini, iaitu dalam tiga sesi sidang.
Seiring dengan kedudukan AS sebagai rakan dagang kedua terbesar dan keempat terbesar dari segi pelaburan di Malaysia, Perdana Menteri juga telah bertemu dengan pelabur serta peneraju industri AS.
Perdana Menteri gembira dengan pertemuan itu kerana ia memperlihatkan terdapat potensi pelaburan besar bagi Malaysia di mana banyak syarikat AS telah menyatakan minat melabur sama ada memberi komitmen mengembangkan pelaburan atau memulakan pelaburan baharu.
Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan surat niat oleh MyDigital Corporation Malaysia kepada empat syarikat teknologi gergasi AS serta penyerahan surat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada Advanced Micro Devices Inc. (AMD) untuk pengembangan syarikat itu di Malaysia.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Malaysia dan tiga entiti AS, World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA), Accenture PLC dan Human Resource Certification Institute (HRCI).
Semua ini merupakan berita positif yang menggembirakan sehingga pada akhir lawatan kerja empat hari Perdana Menteri menyifatkan lawatan itu sebagai satu kejayaan yang mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS, bukan sahaja dalam bidang politik malah juga dalam bidang perniagaan.
Ini sekali gus menepis persepsi negatif kononnya Malaysia bukan lagi menjadi tarikan kepada pelabur. – UTUSAN
DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.











