Pemilihan UMNO 6 bulan selepas PRU15

Pemilihan UMNO 6 bulan selepas PRU15

Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib-naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin (kiri) memotong pulut kuning sempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-76 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Khas (EGM) UMNO semalam meluluskan pinda­an perlembagaannya yang mem­bolehkan pemilihan parti dibuat enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Pindaan Perlembagaan ter­sebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

Usul pindaan itu dibentang­kan Naib Presiden UMNO, Da­tuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan mendapat sokongan sebulat suara daripada perwa­kilan yang hadir.

Sokongan tersebut terma­suklah daripada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir ke perhimpunan ber­kenaan.

Dengan lulusnya pindaan itu, maka ia memberikan kuasa kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan tidak lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap menafikan keputusan meminda perlembagaan supaya pemilihan diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menyelamatkan kedudukannya.

Beliau berkata, keputusan tersebut merupakan usul di bahagian yang telah mengadakan mesyuarat masing-masing.

“Saya mendengar adanya suara-suara di kalangan kita, kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Presiden. Suka saya tegaskan, ia tidak benar.

“Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.

“Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu. Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu di­selamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam,” katanya.

Tegas beliau, pindaan Perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum.

“Dengan mengabsahkan pindaan ini, saudara-saudari sekalian adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU15,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemui berkata, selepas parti meluluskan pindaan Perlembagaan, ia terpulang kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk membuat keputusan bila pindaan itu akan dikuatkuasa.

“Yang itu (diterima JPPM) itu terpulang kepada JPPM, kita hantar pada JPPM, saya ingat benda itu kena duduk berunding (untuk ia dikuatkuasa sebelum PRU15,” katanya.

EGM yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan itu diadakan selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selepas PRU bagi mengelak perpecahan dalaman.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan tersebut akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×