Terima kasih cikgu-cikgu - Utusan Malaysia

Terima kasih cikgu-cikgu

KITA menaruh harapan besar kepada para guru untuk mendidik dan mewujudkan insan mulia yang seimbang dan harmonis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURU membawa maksud menyelamatkan seseorang daripada kegelapan dalam bahasa Sanskrit. Ahli falsafah Greek, Socrates (469-399 SM) dari Athens merupakan guru disanjung tinggi pada zaman Yunani.
Beliau merupakan guru Plato, manakala Plato adalah guru Aristotle. Mereka bertiga perintis pemikir dan ahli falsafah yang melandaskan asas falsafah Barat.

Menurut Socrates, “Hayat atau kehidupan tanpa perincian adalah sia-sia sahaja” (The unexamined life is not worth living). Namun, Socrates tidak menulis pemikiran dan falsafah. Pemikiran Socrates dicatatkan oleh Plato dalam buku bertajuk The Apology.

Apakah rahsia Socrates? Socrates tidak pernah mengajar di sekolah. Beliau cuma bertanya soalan di tempat awam, disaksikan oleh warga-warga Athens yang ingin tahu, suka bertanya dan berani mencabar.

Sesiapa yang berminat diajak menjawab soalan Socrates dan soalan susulan yang kononnya membawa mereka mendekati kebenaran, dekat walaupun tidak semestinya tercapai. Setelah perhimpunan tamat, orang ramai digalakkan terus memikirkan persoalan tadi, moga-moga lebih berhikmah daripada sebelumnya.

Dari Yunani ke China, 2,500 tahun dahulu, mahaguru Confucius (551-479 SM) merantau untuk memperoleh ilmu dan mencetuskan perbualan intelek perihal moral, sosial, politik, akhlak, perilaku dan alam semesta. Kata-kata hikmah beliau dicatatkan oleh anak-anak murid dalam buku Analects.

Confucius menegaskan pentingnya setiap insan mendapat pendidikan, setiap guru mestilah bersikap adil saksama. Memandangkan setiap insan mempunyai keupayaan intelek, minat dan cita-cita tersendiri, guru harus mendidik sesuai dengan jiwa raga setiap individu. Kini, ia digelar pembelajaran peribadi (personalised learning).

Inilah tradisi perguruan yang menaruh kepercayaan penuh bahawa setiap individu tidak kira umur dan latar belakang mempunyai potensi dan bakat masing-masing serta kebijaksanaan apabila berdepan dengan persoalan hidup. Individu yang terlatih cara-cara untuk menimba ilmu dapat belajar sendiri tanpa paksaan serta berfikir dengan penuh reflexion (bahasa Latin).

Di Malaysia, kita menaruh harapan besar kepada para guru untuk mendidik dan mewujudkan insan mulia yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Falsafah Pendidikan Negara mempertanggungjawabkan guru untuk melahirkan anak watan generasi muda Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Guru terlatih yang berjiwa keguruan mencurahkan tenaga, masa, ilmu, petunjuk, teladan demi keberhasilan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terbaik untuk setiap anak murid.

Kerjaya guru dahulu dan sekarang amat mementingkan bekalan ilmu pengetahuan (kognitif), kemahiran menyampaikan ilmu dengan berhasil (psikomotor), kebijaksanaan membimbing, bersifat penyayang dan berakhlak mulia (afektif).

Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kreativiti dan inovasi para pendidik amat penting untuk menjamin PdP yang berkesan.

Perkara ini menjadi rumit sejak wabak berleluasa apabila sekolah mengalami penutupan sementara dan berpanjangan, dibuka semula mengikut perintah kerajaan, dihadiri oleh sebahagian murid dan akhirnya semua.

TERTEKAN

Para guru turut berasa tertekan menyediakan bahan PdP dalam talian kerana tiada pengalaman dan kemahiran teknikal. Banyak faktor lain berada di luar kawalan mereka.

Sebagai contoh, capaian internet yang tidak menyeluruh, alat bantu PdP yang masih tidak lengkap, dibebani pelbagai kerja memastikan pelajar menumpukan perhatian dalam talian.

Sekembalinya ke sekolah pada 8 Mei lalu, segelintir guru bertugas sebagai penjaga prosedur operasi standard (SOP), pembersih bilik darjah, pemeriksa suhu badan, pegawai keselamatan dan pencatat vaksinasi MySejahtera murid-murid demi kesejahteraan warga sekolah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memerhatikan lebih 10,000 guru menghantar permohonan untuk bersara awal setiap tahun sejak beberapa tahun lalu. Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan mengaitkan gejala guru bersara awal dengan bebanan kerja sampingan dan perkeranian yang membebankan malah mengganggu tugas hakiki harian mereka.

Perancangan peperiksaan dan SOP yang berubah mengikut kesesuaian semasa akibat Covid-19 turut mempengaruhi cara kerja malah kehidupan harian guru.

Antaranya pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), anjakan jadual waktu peperiksaan fizikal bagi peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut melibatkan perancangan rapi dan kerjasama guru-guru bertugas.

Hari Guru pada tahun ini bertema Guru Tunjang Sekolah Sejahtera. (S-​Selamat, Seronok dan Sihat; E-​Etika dan Empati; J-​Jati Diri; A-​Adab Sopan; H-Harmoni; T-​Tekun, Teliti dan Terampil; E-​Eksplorasi; R-​Rasional serta A-Artikulasi).

16 Mei tahun ini memberikan murid dan ibu bapa peluang untuk menzahirkan sekalung penghargaan kepada guru sekalian di tanah air. Terima kasih cikgu-cikgu kerana sudi mendidik anak watan tanpa jemu walaupun diri sendiri tertekan dalam keadaan yang amat mencabar.

Mudah-mudahan guru-guru diberkati kesejahteraan, kegembiraan, dorongan dan kasih sayang yang tidak terhingga. Sukacita saya memetik sajak Sasterawan Negara, Usman Awang (1979) bertajuk Guru Oh Guru:

Dialah ibu, dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Selamat Hari Guru! – UTUSAN

DR. Ngeow Yeok Meng ialah Timbalan Ketua Pusat Pembangunan Kurikulum & Inovasi, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×