NAMPAKNYA suhu politik semakin hangat sejak Perhimpunan Agung UMNO diadakan baru-baru ini. Gesaan secara terbuka terhadap pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meriuhkan semula medan politik yang agak ‘senyap’ kebelakangan ini.
Parti-parti politik juga kelihatan sibuk mengadakan perbincangan, rundingan dan mengatur strategi masing-masing serta mengenal pasti calon-calon bagi menghadapi PRU15. Malah, Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada PRU15.
Sehingga kini, dijangkakan BN akan bertanding dalam PRU15 secara solo kerana kepimpinan parti itu hanya berbincang dengan komponennya, iaitu MCA dan MIC dalam pembahagian kawasan dan juga strategi.
Sebaliknya, kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui Perikatan Nasional (PN) dilihat mengadakan perbincangan dan rundingan untuk membentuk satu pakatan politik yang disifatkan sebagai ‘khemah besar’ antara parti-parti yang berada di luar lingkungan BN.
Dalam hal ini, parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) menjadi fokus utama untuk memastikan wujud situasi satu lawan satu dengan BN pada PRU15.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang berlangsung sebelum ini memberi satu pengalaman pahit yang sukar ditelan. Namun, tetap berguna kepada parti-parti bukan BN terutama Bersatu dan PKR (PH).
Parti-parti ini sudah sedar bahawa adalah sukar bagi mengalahkan BN dalam konteks pertandingan pelbagai penjuru, lebih-lebih lagi penglibatan parti-parti yang mewakili kepentingan orang Melayu di sesebuah kawasan.
Perpecahan undi Melayu pada PRN Melaka dan Johor jelas menunjukkan pertandingan pelbagai penjuru hanya akan memecahbelahkan undi Melayu sehingga memberi kelebihan kepada BN.
Dalam merungkai isu ini, Bersatu cuba sedaya upaya untuk mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru yang melibatkan parti-parti Melayu seperti Pas dan PKR menentang BN dalam satu-satu kawasan.
Maka dengan itu, kepimpinan Bersatu mengadakan rundingan dan perbincangan dengan parti-parti di luar BN untuk menjayakan konsep satu lawan satu pada PRU15.
Kebocoran maklumat tentang rundingan kepimpinan Bersatu dengan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR memperlihatkan hasrat Bersatu untuk menjayakan konsep satu lawan satu mendapat reaksi positif.
Wujud juga kemungkinan besar DAP di bawah kepimpinan baharu yang pragmatik akan menyertai sebarang pakatan politik dalam usaha membentuk blok khemah besar menentang BN pada PRU15.
Sekiranya sebarang pakatan dan kerjasama politik terbentuk antara parti-parti bukan BN, maka BN dijangka menghadapi satu tentangan kuantum luar jangkaan yang mirip dengan tsunami baharu pada PRU15.
UNDI18
Tambahan lagi, pengundi muda di bawah Undi18 yang hampir mencakupi 30 peratus pengundi di setiap kawasan juga dijangka memberikan kesan terhadap peluang kemenangan kepada parti-parti yang akan bertanding pada PRU15.
Dalam PRN Johor lalu, rata-rata dapat dilihat bahawa pengundi muda baharu lebih condong ke arah parti bukan BN.
Pada keseluruhannya, daripada 222 kerusi Parlimen di Semenanjung, sebanyak 117 adalah kerusi luar bandar. Di Sabah dan Sarawak, dilaporkan masing-masing mempunyai 19 kerusi yang dikuasai pengundi bumiputera.
Sebanyak 52 kawasan adalah terdiri daripada pengundi yang tinggal dalam rancangan Felda dianggap sebagai nadi kepada kemenangan parti Melayu, manakala 24 kerusi pula adalah majoriti Cina.
Pengundi India pula hanya merupakan minoriti meliputi antara satu hingga 25 peratus di beberapa kawasan.
Memandangkan undi orang India adalah minoriti di semua kawasan, maka ada pihak yang mendakwa undi kaum itu kurang relevan bagi BN dan blok pembangkang.
Perlu sedar bahawa peralihan undi orang India sekitar 30 hingga 40 peratus kepada blok pembangkang telah menyumbang kepada kekalahan banyak kerusi BN pada PRU12 termasuk menjatuhkan kuasa BN pada PRU14.
Oleh itu, kita tidak boleh menafikan bahawa pengundi India mampu menentukan nasib sesuatu parti dalam PRU15.
Ketika undi Melayu berpecah dalam kedua-dua PRN terdahulu, peralihan sokongan pengundi India daripada PH (PRU14) kepada BN telah membantunya menang dengan mudah di Melaka dan Johor. Persoalannya, apakah peralihan sokongan pengundi India kepada BN akan berulang pada PRU15?
Prestasi kepimpinan MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang diterima baik oleh masyarakat India pada ketika ini terutama golongan muda, maka kita boleh nyatakan dengan jelas bahawa pengundi India adalah aset penting untuk BN. Sokongan orang India akan memberi kelebihan kepada calon-calon BN pada PRU15.
Laporan-laporan media menyatakan MIC dijangka bertanding di kawasan tradisi parti itu. Persoalannya, apakah kedudukan dan peluang kemenangan calon-calon MIC yang mewakili BN pada PRU15?
Perlu ingat, MIC bertanding di kawasan tradisi sahaja tidak akan menjamin kemenangan calon mereka. Faktor penting yang boleh membantu MIC memenangi hampir semua kerusi Parlimen adalah bukan semata-mata kepada faktor pemilihan calon berdasarkan jawatan dan kedudukan mereka dalam parti tetapi lebih kepada calon-calon yang dipilih daripada hierarki parti yang bersifat public friendly (mesra awam).
Dengan anggapan kononnya pengundi majoriti Melayu bakal menjadi penentu PRU15, Bersatu didapati lebih menghabiskan masa untuk menjalin hubungan dan mewujudkan pakatan politik berbentuk longgar dengan parti-parti Melayu.
Namun, perlu sedar bahawa pengundi India dan pengundi muda dijangka banyak menentukan keputusan PRU15. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.











