Berkelana dari Russia ke Tanah Melayu

Berkelana dari Russia ke Tanah Melayu

MYKOLA MYKLUHO-MACLAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA bulan ini, masyarakat dunia terutama penutur bahasa Russia meraikan ulang tahun ke-175 saintis kemanusiaan terulung, Miklouha-Maclay atau nama sebenarnya Mykola Mykluho-Maclay (1846-1888). Beliau juga merupakan seorang penyelidik dan pengembara terkenal pada kurun ke-19.

Kisahnya menarik perhatian para pengkaji di Asia Tenggara khususnya di Malaysia setelah fakta menunjukkan beliau pernah menjejakkan kaki ke Tanah Melayu. Beliau dikatakan menjalani kehidupan mengikut budaya serta tradisi penduduk tempatan.

Sejarah Maclay berkelana di Tanah Melayu bermula pada 1874. Apabila tiba di Johor, Sultan Johor waktu itu, Sultan Abu Bakar menjemput Maclay menetap di istananya di Johor Bahru. Selepas itu, Maclay menyusun perjalanannya ke Melaka. Di Melaka, beliau membuat penyelidikan etnologi, zoologi dan geografi secara terperinci. Segala maklumat yang dicatatkannya disertakan ilustrasi (lebih 700 lukisan) orang, tempat tinggal, kapal, patung, tatu, perhiasan dan lain-lain.

Maclay pernah menulis beberapa karya tentang Tanah Melayu dalam bahasa Russia, antaranya Lawatan Pertama di Semenanjung Tanah Melayu (1874-1875), Lawatan Kedua di Semenanjung Tanah Melayu dan Dari Ulu Pahang ke Ulu Kelantan.

Sekalipun warganegara Russia, Maclay beretnik Ukraine. Bapanya berasal dari kota Starodub, wilayah Chernihiv, Ukraine. Bapanya mempunyai pertalian rapat dengan Stepan Myklukha, anggota angkatan tentera Kossack Zaporozhian (timur tengah Ukraine) dan pernah dianugerahkan pingat khas daripada Penguasa Empayar Russia waktu itu, Catherine II di atas kejayaannya sewaktu perang Rusia-Turki (1787-1792).

UNESCO

Maclay sendiri ada mencatatkan secara terperinci dalam diari tentang asal usul keluarganya: “Nenek moyang saya berasal dari Ukraine dan merupakan ahli Kossack Zaporozhian dari Dnieper.”

Pengembara Ukraine ini disanjung tinggi disebabkan usahanya menentang konsep perhambaan tajaan Eropah yang berleluasa pada zaman itu. Beliau menyifatkan tidak ada mana-mana bangsa yang lebih hebat atau berkuasa di samping menyeru kepada konsep semua bangsa adalah sama.

Karya-karya ilmiah Maclay telah memulakan dasar antiperkauman di seluruh dunia. Bahkan, saintis tersebut juga merangka Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang pertama di dunia serta menyatakan ideanya dalam mewujudkan sebuah struktur menyamai Pertubuhan Pendidikan Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) yang moden pada hari ini.

Terdapat banyak buku dan beberapa filem dikeluarkan sempena memperingati Maclay. Begitu juga tugu dan muzium yang didirikan di pelbagai negara terutama di Ukraine. Maclay sentiasa berpegang kepada cogan katanya – lakukan sesuatu yang penting untuk orang ramai, maka barulah boleh menamakan diri anda sebagai seorang manusia.

Tidak menghairankan apabila UNESCO menamakan saintis agung ini sebagai penyelidik Man of the World pada 1996. Satu setem pos Maclay turut dikeluarkan di Ukraine pada 1996 bagi meraikan hari ulang tahunnya yang ke-150.

Bangsa Ukraine sememangnya berbangga dengan keturunan keluarga Kossack yang telah menjalankan penyelidikan dan penemuan yang sangat bermanfaat kepada manusia sejagat. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×