Saya tak boleh puaskan hati semua orang – Tajul Ariff - Utusan Malaysia

Saya tak boleh puaskan hati semua orang – Tajul Ariff

Tajul dan Nurul Shamieza Eddie bersama cahaya mata mereka berdua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemunculan Tajul Ariff mewarnai dunia hiburan tanah air tidak berlaku secara kebetulan.

Kedatangannya adalah bersama bakat dan keinginan yang tinggi untuk bergelar anak seni yang berjasa buat industri.

Yang pasti, pemuda berusia 24 tahun yang merupakan adik kepada Allahyarham Achik Spin ini, memperlihatkan kesediaan untuk menjadi penyambung legasi kepada penyanyi tersebut.

Tidak dinafikan, dengan status tersebut, Tajul dihujani pelbagai reaksi yang kebanyakannya, lebih melihat dia sebagai adik Achik Spin, berbanding seorang Tajul yang juga mempunyai identiti dan bakat tersendiri.

Namun, tegas penyanyi ini, dia tidak mengambil pusing soal perbandingan. Baginya pandangan orang yang melihat dirinya dibayangi arwah bukan isu yang perlu diperbesarkan.

“Saya tak kisah, kalau orang nak anggap saya Tajul ataupun seperti arwah Achik. Sama atau tidak, itu belakang cerita.

“Janji saya buat kerja. Mana yang suka, sukalah. Yang tidak suka tetap ada. Biasalah, netizen. Mereka akan komen, kenapa nyanyi lagu arwah sahaja? Macam tak ada lagu sendiri.

“Saya tak boleh puaskan hati semua orang. Kalau kerja kita sudah ditetapkan begitu, takkan nak cakap tak boleh. Nak atau tidak, kena buat,” katanya.

Tampil duet bersama penyanyi, Afieq Shazwan menyanyikan semula lagu Spin seperti Malam Semakin Dingin dan Resah Kerinduan. Tajul berharap peminat dapat menerima cara penyampaian dan pembaharuan yang dibawakan terhadap lagu-lagu tersebut.

“Bagi yang bukan peminat kumpulan Spin, mereka akan menyangka lagu tersebut lagu saya.

“Namun, bagi peminat tegar, mereka akan tahu itu lagu Spin. Cuma ada penambahbaikan dari segi susunan agar kedengaran lebih segar.

“Disebabkan permintaan ramai. Kenapa tidak lagu-lagu tersebut dinyanyikan semula?

“Memang betul. Kalau buka radio, lagu itu yang sering diputarkan. Orang suka. Jadi kita buat. Kalau orang tidak suka, lagu itu tak akan keluar,” katanya.

Belajar erti sabar
Memiliki dua cahaya mata hasil perkongsian hidup hampir lima tahun dengan isteri, Nurul Shamieza Eddie, penyanyi ini mengakui bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Status bapa muda dipikulnya, banyak mengajar dirinya tentang erti kesabaran.

“Dalam hidup ini tak ada yang mudah. Tetapi, pengalaman itu memang seronok. Mengajar kita erti sabar, cara kendalikan anak-anak dan juga isteri,” kongsinya.

Dalam pada itu, Tajul juga memberitahu tentang perniagaan yang diusahakan yang kini stabil dan maju.

Katanya, setelah beberapa tahun berdepan liku dan dugaan, perniagaannya kini stabil dan terus berkembang.

“Alhamdulillah, sangat maju. Rezeki anak-anak saya. Saya pernah susah dan dua tahun juga saya terduduk.

“Masa itu memang sangat sukar. Tak ada anak, jadi masih boleh try and error, cuba macam-macam. Buat perniagaan ini tak jadi, perniagaan itu tak jadi. Duit banyak keluar.

“Tetapi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) Allah tunjuk rezeki. Orang duduk rumah.

“Saya jual girdle, korset dan singlet. Masa itu, memang buat duit. Sampai sekarang bertahan, Alhamdulillah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×