PETALING JAYA: Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ibarat `bom jangka’ apabila sektor-sektor ekonomi di negara ini sedang rancak beroperasi semula selepas dua tahun tergendala akibat pandemik Covid-19.
Antara lokasi yang menjadi ‘titik panas’ kemasukan PATI di sepanjang pantai barat semenanjung terutama di Selatan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
PATI turut memilih laluan laut di sebelah Johor Barat dan Timur iaitu sekitar Tanjung Piai serta Pengerang.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kemasukan PATI kali ini lebih mencabar apabila banyak sektor ekonomi negara terutama perladangan, peruncitan dan kerja domestik mengalami kekurangan pekerja.
“Selain kekurangan tenaga kerja, kos untuk mengambil amah yang mencecah RM15,000 sehingga 16,000 seorang dijangka terus mengaktifkan sindiket-sindiket membawa masuk PATI.
“Malah sektor-sektor perladangan dan pembinaan turut berulang kali menyuarakan mereka kekurangan pekerja,” katanya.
Menurut beliau, permintaan terhadap pekerja asing tersebut sekali gus menarik kemasukan PATI.
Kata Mohd. Zubil, diramalkan minggu depan dan seterusnya menjadi hari-hari PATI cuba menceroboh masuk Malaysia untuk menampung keperluan pekerja asing.
Bagaimanapun, kata beliau, dalam menangani pencerobohan PATI, Maritim Malaysia telah meningkatkan kekuatan dan pengawasan di setiap kawasan panas di perairan negara.
“Sebanyak 45 buah vesel kapal dan bot ditugaskan di lokasi strategik di seluruh perairan negara dengan dibantu aset udara Maritim Malaysia serta Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) dengan menempatkan menara radar atau Remote Sensor Site (RSS) di 14 lokasi iaitu 11 di perairan Selat Melaka dan tiga di sekitar Pantai Barat Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Zubil, Maritim Malaysia juga bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa lain dalam perkongsian maklumat dan atur gerak aset secara bersepadu.
Sebagai rekod, kata Mohd. Zubil, sebanyak 2,2129 PATI membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Vietnam dan lain-lain negara ditahan Maritim Malaysia menerusi Op Benteng sejak 2019 sehingga Mac lalu.
Pelaksanaan Op Benteng turut menunjukkan trend penyeludupan PATI menurun hanya 604 kes penyeludupan PATI direkodkan dalam tempoh sama.
Kata beliau, kes tertinggi dilaporkan iaitu pada 2019 dengan 131 kes diikuti 2020 (90 kes), 2021 (70 kes) dan tiga bulan pertama tahun ini (11 kes).
“Warganegara Indonesia paling ramai ditahan apabila 899 orang ditangkap diikuti warga Myanmar (658 orang), Vietnam (283 orang), Filipina (203 orang), Thailand (53 orang), India (sembilan orang) Bangladesh (lapan orang) dan Kemboja (lima orang).
“Turut ditahan iaitu masing-masing tiga warganegara Nepal dan Bajau selain Hong Kong (dua orang) diikuti Ghana dan China (masing-masing seorang),” katanya.
Selain itu, turut ditahan 44 tekong yang siasatannya dilakukan di bawah Akta Anti pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – UTUSAN











