Ibu sudah lama ‘pergi’ dijemput Ilahi tetapi ayah yang menjadi satu-satunya tempat bermanja pula tegar meninggalkan darah daging sendiri tanpa sekalipun menjenguk apatah lagi bertanya keperluan mereka.
Begitulah nasib dihadapi anak-anak kecil penghuni rumah anak yatim atau rumah amal yang sesetengahnya tidak pernah berpeluang pun untuk mengenal ibu dan ayah masing-masing.
Sedangkan dalam usia sekecil itu, mereka sepatutnya dibelai ibubapa dengan curahan kasih sayang tak terhingga.
Lebih menyedihkan, akibat sikap si bapa, anak-anak kandung terpaksa berpisah dengan tinggal di rumah anak yatim. Mereka hanya berpeluang bertemu sesekali sahaja melepaskan rindu ketika musim cuti sekolah atau pada musim perayaan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Dunia mereka sehari-hari adalah hanya sekitar ustaz dan ustazah yang menjadi pengganti ibu bapa serta kawan-kawan sebagai adik beradik apabila sejak kecil ditinggalkan di rumah berkenaan. Mereka tidak kenal erti atau merasai belaian ibu atau ayah yang sebenarnya.
Ada yang langsung tidak tahu bagaimana rupa sebenar ibu bapa mereka dan sesetengahnya hanya mampu menatap wajah dan mendakap insan dirindui menerusi gambar yang disimpan sambil mengimpikan dapat memeluk keduanya suatu hari kelak.
Penjaga Rumah Amal Budi Bistari, Ustazah Samihah Mohd. berkata, kebanyakan penghuni di situ adalah anak-anak yang ditinggalkan ibu atau bapa selepas bercerai.
“Selepas berlaku perceraian, bapa terus meninggalkan mereka tanpa mengambil tahu hal anak masing-masing. Ibu pula sakit atau tidak mampu untuk menyara anak-anak. Ada juga yang bapa pula sakit kronik, ibu tidak bekerja.
“Ada yang awalnya tinggal bersama saudara mara seperti makcik atau pakcik tetapi lama-kelamaan, mereka pun tak mampu jaga lagi dan akhirnya anak itu dihantar ke rumah amal atau anak yatim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Samihah berkata daripada 40 penghuni rumah berkenaan, dua peratus penghuni adalah anak yatim piatu dan selebihnya daripada asnaf serta keluarga bermasalah atau bercerai. Walaupun rumah berkenaan sudah 10 tahun ditubuhkan tetapi baharu tiga tahun lalu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM).
“Memang sedih apabila mengingatkan nasib anak-anak ini tetapi saya sendiri selalu menasihatkan mereka supaya kuatkan hati dengan Allah. Seorang ayah itu adalah pinjaman Allah, kita pun milik Allah. Allah bagi tapi Allah juga boleh tarik semula pemberiannya.
“Saya sendiri pun sebenarnya senasib dengan mereka, dibesarkan di rumah anak yatim dan setiap kali menjelang raya memang tidak dapat digambarkan rasa sedih tapi saya pujuk hati dan anak-anak ini dengan melihat bagaimana orang lain pun turut diuji dengan ujian lebih berat,” katanya.
Menjelang Aidilfitri, pihak pengurusan menyediakan persiapan raya dan menghantar anak yatim berkenaan ke rumah waris mereka yang terdekat atau beraya di rumah anak yatim lain, di mana adik-beradik mereka tinggal.
Bagi yang tidak mempunyai waris pula, mereka akan beraya bersama rakan-rakan senasib dan penjaga iaitu ustaz dan ustazah.
“Adakala mereka sedih tapi perasaan itu hilang sebab ramai kawan-kawan yang dianggap sekeluarga,” katanya.
Samihah ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Lebar Unggul bersama peniaga Bazar Ramadan AEON Big, Shah Alam. Ia bertujuan meraikan 30 anak yatim berumur tujuh hingga 10 tahun dari rumah Budi Bestari.
Anak-anak yatim ini dihidangkan dengan masakan disediakan peniaga-peniaga selain menerima cenderamata serta duit raya yang disampaikan oleh Penganjur Bazaar, Norazira Mohamed.
Teringin sangat beraya dengan ayah
Muzahidah Abdul Rahim, 10 tahun, kelihatan seronok dapat keluar menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan yang senasib dengannya.
Anak kecil itu tidak pernah merasa suasana berbuka puasa bersama ibu bapa seperti kanak-kanak lain yang seusianya. Malah, dia tidak pernah melihat wajah ayahnya selepas kematian ibu akibat barah usus ketika dia berusia tiga tahun.
Muzahidah ditinggalkan di rumah anak yatim sejak dia darjah satu lagi. Dia membesar dengan penjaga yang dipanggil ustaz dan ustazah. Merekalah yang menjadi pengganti ibu bapanya manakala rakan-rakan pula seperti adik-beradiknya.
“Seronok tinggal di situ sebab ramai kawan. Kawan baik saya, Fatin. Hari Raya biasanya saya beraya dengan empat orang kakak yang tinggal di asrama anak yatim sekitar Selangor. Kakak sulung dah 19 tahun dan bekerja sebagai seorang ustazah. Kakak lain masih di sekolah menengah.
“Saya diberitahu oleh kakak-kakak, ayah ada di Terengganu tapi saya tak pernah jumpa. Teringin sangat beraya dengan ayah sebab tak pernah lagi sambut raya dengannya. Saya teringin nak menziarahi pusara ibu bila dewasa nanti,” katanya sayu.
Tahun ini Muzahidah menyimpan hasrat beraya dengan baju kurung ungu bersama kakak-kakaknya. Dia juga tidak sabar untuk menikmati ketupat dan rendang yang menjadi juadah kegemarannya setiap kali menjelang Hari Raya.









