SETIAP tahun, ceritanya hampir serupa. Saat umat Islam sedang khusyuk menjalani ibadah di bulan Ramadan, ada serangan Israel terhadap warga Palestin, khususnya di Masjid Al-Aqsa. Malah, tahun ini juga tiada bezanya.
Kekejaman ini diulangi sehinggakan ia seolah-olah rutin setiap tahun. Kenapa dunia tidak memberikan pembelaan yang sama kepada warga Palestin, walhal keadaan mereka jauh lebih tragik? Hakikatnya, Israel bukanlah satu-satunya negara yang seolah-olah tidak menghadapi sebarang konsekuensi di atas jenayah perang. Banyak lagi negara Islam yang diserang oleh negara Barat dengan pelbagai alasan tetapi tidak diambil endah penduduk dunia.
Saya tertarik dengan reaksi daripada beberapa pihak terutama agensi media utama dan ternama sejak bermulanya perang di Ukraine. Ada yang mengatakan perang atau konflik ketenteraan tidak harus berlaku di benua Eropah yang ‘bertamadun.’
Persoalannya, mengapa dunia Barat tidak memberi perhatian serupa apabila rakyat Palestin saban tahun diserang oleh tentera Israel dengan cara yang jauh lebih tidak berperikemanusiaan? Mungkinkah tanah Palestin disifatkan sebagai satu tempat yang tidak bertamadun kerana di luar benua Eropah?
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggariskan bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak.
Jadi, apakah tindakan mereka dalam mempertahankan hak asasi rakyat Palestin yang ditindas secara terang-terangan oleh Israel? Dunia khususnya blok Barat sepatutnya bersikap adil dan berhenti bersikap cakap tak serupa bikin dalam tindakan mereka berkenaan isu hak asasi manusia.
Setiap mangsa perang sepatutnya diberi pembelaan sama rata oleh blok Barat yang mendakwa mereka memperjuangkan hak asasi manusia. Tanah dirampas dan mereka diusir dari tanah air sendiri oleh pihak yang menceroboh. Sayangnya setelah berdekad menderita, hak asasi rakyat Palestin masih dicabuli secara terang-terangan tanpa pembelaan sewajarnya oleh dunia Barat.
Begitu juga dengan pemangsa. Mana-mana negara yang menceroboh hak dan kedaulatan negara lain mestilah dikecam dan dikenakan tindakan serupa. Tidak sepatutnya berlaku sikap pilih bulu dalam hal ini. Israel, Rusia atau mana-mana negara lain pun harus dilayan serupa.
Semoga Allah SWT memelihara dan memberi kekuatan kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin dan semoga kedaulatan tanah air kita tetap terpelihara di bawah payung raja-raja Melayu. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










