BANDAR BAHARU: Tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau di sini awal pagi semalam, berjalan kaki kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat tahanan itu sebelum kelibat mereka dikesan di sekitar Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Malah, sebahagian besar mereka berjalan dalam keadaan berkaki ayam dengan ada yang menggendong bayi berusia kira-kira setahun selain terdapat warga emas.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mereka juga bergerak tanpa arah tujuan dan hanya mengikut pergerakan ahli kumpulan yang lain.
“Apa yang diperhatikan mereka bergerak menuju ke arah selatan, tetapi tidak pasti ke mana lokasi tujuan mereka.
“Sebab itu kita turut meminta kerjasama daripada polis kontinjen Perak untuk mengesan saki baki tahanan yang masih bebas kerana terdapat sebahagiannya terlepas masuk ke dalam hutan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depoh tersebut yang terletak bersempadan dengan Sungai Bakap, Pulau Pinang kira-kira pukul 4.30 pagi.
Mohd. Shuhaily berkata, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan semula 229 daripada tahanan yang melarikan diri.
Katanya, selain pihak berkuasa termasuk polis dan Rela, orang ramai khususnya penduduk kampung berhampiran turut membantu dan berjaya memberkas 88 daripada tahanan itu sebelum menyerahkannya kepada pihak Imigresen.
“Ketika ini juga, usaha mencari serta mengesan baki 205 tahanan berkenaan masih giat dijalankan.
“Bagaimanapun, kita bertuah kerana kerja-kerja mencari dan mengesan saki baki tahanan itu turut dibantu oleh sekumpulan anak muda secara sukarela,” katanya.
Katanya, Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap itu menempatkan seramai 663 tahanan warga asing.
Enam maut ketika melintas lebuh raya
Dalam pada itu Mohd. Shuhaily berkata, enam tahanan turut maut dirempuh kenderaan ketika mereka cuba melintas Lebuh Raya Utara Selatan di Kilometer 165 berhampiran Jawi, dekat sini kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.
Katanya, mereka dilanggar sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang tidak mengalami kecederaan namun masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Ditanya sama ada keenam-enam mangsa merupakan sebuah keluarga, Mohd. Shuhaily berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis juga sudah mendapatkan keterangan daripada salah seorang waris mangsa yang turut ditahan semula.
Dalam pada itu beliau berkata, kesemua tahanan itu sedang menunggu tempoh untuk dihantar pulang ke negara asal.
Malah ujarnya, dengan tempoh kejadian yang sudah melebihi 12 jam, tahanan yang masih bebas dipercayai semakin keletihan dan berkemungkinan akan mendapatkan bantuan daripada orang awam.
“Jadi kita meminta kerjasama orang ramai sekiranya terserempak dengan tahanan ini supaya memujuk mereka menyerah diri atau jika tidak berani mendekati mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, polis Pulau Pinang turut mengadakan tiga sekatan jalan raya bagi mengesan tahanan yang masih bebas iaitu masing-masing di Jalan Sungai Baung, Sungai Bakap; Jalan Tasek Valdor, Simpang Empat dan Jalan Kerian-Kedah.
Selain itu katanya, polis turut menubuhkan sebanyak 17 pasukan tangkapan terdiri daripada empat pegawai dan 80 anggota selain bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam mengesan tahanan yang masih bebas.
Dikhuatiri ceroboh rumah penduduk tempatan
Sementara itu, Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, PATI terbabit dikhuatiri bertindak menceroboh rumah penduduk dan melakukan tindakan di luar kawalan untuk menyelamatkan diri.
“Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah yang dilakukan golongan ini seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu.
Menurutnya, tahanan yang masih bebas ini kebanyakkan hanya berkaki ayam dan mereka mudah dikenal pasti berdasarkan pemakaian mereka.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan wujudnya rasa tidak puas hati hingga menyebabkan tercetusnya rusuhan itu.
“Siasatan masih diteruskan untuk mencari punca sebenar kejadian ini. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku sedikit kerosakan kecil di pintu utama dan pagar,” katanya.
Dalam pada itu katanya, hasil siasatan mendapati ketika kejadian terdapat seramai 23 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas mengawal kawasan depot tersebut.
Penduduk hairan bunyi bising ketika bersahur
Seorang penduduk di Kampung Sungai Rambai, Relau, Zainab Awang, 68, yang sedang bersahur hairan apabila mendengar bunyi bising orang ramai awal pagi semalam.
Menurutnya, dia kemudian membuka tingkap dan melihat sekumpulan lelaki, wanita, kanak-kanak serta bayi berjalan menuju ke arah Sungai Kechil Ilir dekat sini.
“Saya berasa hairan dan tertanya-tanya siapakah mereka dan pada masa itu saya tidak tahu ada kes etnik Rohingnya lari dari Depot Sementara Imigresen Relau yang terletak kira-kira 2.7 kilometer,” katanya.
Sementara itu, empat remaja yang sedang melepak di sebuah pondok berhampiran depot tahanan berkenaan terkejut apabila terdengar bunyi bising kira-kira pukul 4 pagi.
Mohamad Safuan Mohamad Rozi,19 berkata, dia sedang lepak bersama rakannya, Mohamad Adam Fitri Suhaimi,16; Mohamad Farris Iskandar Yusoff,19 dan Muhamad Adam Aiman Abdullah,17.
“Ketika kami menunggu masa untuk bersahur, terdengar bunyi bising datang dari arah depot.
“Selang beberapa minit kemudian tiba-tiba suasana menjadi kecoh apabila tahanan terbabit melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu pihak pengurusan depot meminta penduduk kampung membantu untuk menahan semula tahanan yang cuba melarikan diri.
Jelasnya, dia bersama tiga rakannya serta penduduk kampung kemudian bergegas mengejar tahanan yang melarikan diri itu.
“Kira-kira dua kilometer mengejar, penduduk kampung berjaya menahan lebih 100 tahanan dan dibawa semula ke depoh tersebut,” tambahnya. – UTUSAN










