MUKADIMAH
DALAM temu bual dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, beliau mengkritik pengurusan bekalan air bersih di Kelantan yang disifatnya tidak sebaik kerajaan Pulau Pinang walaupun puluhan tahun Pas memerintah kerana pemimpin parti itu hanya pandai bercakap, tetapi tidak tahu buat kerja.
Menyanggah tuduhan itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, DATUK MOHD. AMAR NIK ABDULLAH menjelaskan ia berpunca kerana faktor politik setelah pemerintahan Barisan Nasional (BN) Kelantan tumbang pada 1990 yang menyebabkan Kerajaan Pusat tidak menyalurkan bantuan untuk tujuan itu selama 10 tahun.
Dalam pertemuan kira-kira sejam di pejabatnya baru-baru ini, Naib Presiden Pas itu menjawab panjang lebar soalan panas lain yang diajukan wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH bersama jurugambar ZULHANIFA SIDEK berkait isu balak, harimau, royalti petroleum dan kereta Mercedes di Kelantan.
UTUSAN: Kenapa isu bekalan air lambat selesai?
MOHD. AMAR: Isunya masalah kewangan. Saya selalu sebut, sebelum 1990, Kerajaan Pusat pada waktu itu meluluskan projek bekalan air Kelantan Utara yang dipanggil BAKU. Pada masa itu telah diluluskan peruntukan RM600 juta untuk menyelesaikan masalah air.
Tender projek itu sudah diberikan kepada syarikat berkenaan, tetapi bila UMNO/BN kalah pada 1990, projek ini dibatalkan serta-merta menyebabkan peruntukan terhenti. Dalam tempoh sepuluh tahun, tiada sebarang peruntukan dan bantuan diberikan untuk tingkatkan bekalan air.
Inilah isunya yang mula-mula. Dan selepas 10 tahun, bila Almarhum Tok Guru Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) secara peribadi bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin pada waktu itu, barulah kerajaan Pusat luluskan semula RM600 juta tetapi kontraktor dan semuanya dipilih oleh Kementerian Kewangan, bukan kita. Maka, jadilah Kelantan 10 tahun ketinggalan ke belakang dalam isu air.
Isunya bukan kerajaan negeri tiada usaha mengatasi masalah air. Malah kerajaan negeri sudah buat segala perancangan tetapi tiada kerjasama dari kerajaan Pusat ketika itu.
Sebagai contoh Pulau Pinang berjaya menyelesaikan masalah air kerana kerajaan Pusat luluskan peruntukan RM2 bilion untuk bangunkan Empangan Mentuan. Sebab itu pengurusan air di sana hari ini antara yang terbaik. Begitu juga dengan Johor, dapat RM2 bilion, tapi kita tak dapat.
Dalam tempoh 30 tahun ini, banyak usaha dibuat. Baru-baru ini sebanyak dua kali kerajaan Pusat sudah luluskan RM600 juta, sebab itu sudah mula nampak ada perubahan. Cuma nak selesai 100 peratus dalam masa singkat tidak boleh kerana ini masalah di seluruh negeri.
Apa kemajuan dan pembangunan yang dicapai selepas 32 tahun Pas mentadbir?
Kita berjaya mengubah minda iaitu pertama, kalau dulu orang menganggap Islam ini tidak boleh dijadikan dasar dalam kerajaan.
Yang kedua, dahulu orang tidak yakin ulama boleh memerintah dan menjadi ketua pentadbir negeri.
Kita buktikan Islam boleh dijadikan dasar pentadbiran walaupun ada orang bukan Islam dalam negeri. Dan ini terbukti diterima dengan baik, sebab itu kita boleh kekal.
Kepimpinan ulama pula bermula 1990 iaitu Nik Aziz kemudian disambung oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang juga seorang ulama.
Sebelum ini pun, bekas Menteri Besar, Datuk Mohd. Asri Muda, walaupun tidak dipanggil ulama, namun beliau memang lulusan sekolah agama. Kemudian Datuk Ishak Lotfi.
Pembangunan fizikal pula jujurnya sudah banyak berubah. Saya ambil contoh Gua Musang yang dulu tak ada apa-apa tetapi sejak kita tadbir, pembangunan pesat berlaku sehingga sudah boleh menandingi Kota Bharu dengan segala kemudahan.
Seluruh negeri pun, pembangunan fizikal kemudahan infrastruktur menjadi lebih baik berbanding 30 tahun lepas. Ini antara pencapaian yang mungkin tidak setanding dengan Kuala Lumpur. Orang suka banding kita dengan Selangor.
Kedudukan Selangor strategik, kemudian ada pusat pentadbiran negara. Selangor ada infrastruktur jauh lebih baik. Bukan Kelantan sahaja ketinggalan, bahkan Melaka, Negeri Sembilan, Johor sendiri ketinggalan dibandingkan Selangor.
Kelantan dituduh lemah mengurus sumber hutan sebab itu harimau berkeliaran. Komen?
Hari ini ramai memberikan komen tanpa memahami isu dan tidak mahu mendengar penjelasan yang sudah dibuat. Bila kita baca tulisan-tulisan itu ia jauh tersasar. Penebangan hutan tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara. Tahun lepas catuan ialah 3,900 hektar setahun dan itu pun kita tak guna habis. Kita hanya guna 2,000 hektar sahaja. Jadi tidak berlaku penerokaan atau penebangan hutan secara rakus atau berleluasa.
Hutan pemuliharaan ini contohnya ialah tadahan air dan tanah tinggi 1,000 meter ke atas yang kita tidak usik langsung termasuk Taman Negara. Ada juga hutan simpan yang memang untuk pengeluaran bagi mendapatkan hasil. Jadi hutan simpan untuk mendapatkan hasil inilah yang dikawal oleh CTT.
Kelulusan pembalakan mestilah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA). Misalnya, kerajaan negeri luluskan satu kawasan 100 ekar atau 50 ekar, sebelum pembalak boleh menebang hutan, mereka perlu mendapatkan sijil kelulusan EIA. Kalau tiada sijil (EIA) dia tidak boleh membalak.
Memang ada juga kes penebangan hutan secara haram di Kelantan tetapi tidak besar.
Bagaimana dengan kes harimau yang didakwa hilang habitat asal?
Ini kes terpencil. Bila saya pergi ke Gua Musang, bila tanya Pejabat Tanah dan Pejabat Hutan, mereka kata kes harimau ini bukan kerana akibat penebangan hutan tetapi dijangkiti penyakit yang menyebabkan dia merayau dan masuk ke dalam kampung. Isu ini sedang ditangani Perhilitan dan Jabatan Hutan. Jadi tidak berbangkit isu ini dengan penebangan hutan.

Strategi memastikan hutan terpelihara dan kebajikan Orang Asli terbela?
Kalau kawasan itu melibatkan perkampungan orang Asli atau tadahan air, kita tidak usik.
Contoh di Belatin, kita pernah lulus 10,000 ekar, ada kampung Orang Asli. Jadi kerajaan negeri keluarkan arahan supaya perkampungan itu tidak termasuk dan memang kita tidak usik. Kalau ada kawasan tadahan air pun, kita keluarkan juga dari kelulusan.
Sebenarnya dari segi kebajikan memang kita jaga, seluruh kawasan hutan simpan kita buka tanpa sekatan. Mereka tidak perlu permit dan bebas untuk merayau cari makan atau hasil dalam hutan.
Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkaitan kebajikan mereka, jadi tidak berbangkit isu kita menzalimi Orang Asli atau meminggirkan mereka.
Sampai bila Kelantan perlu harapkan hasil balak?
Hasil utama kita sekarang sebenarnya adalah cukai tanah. Dulu iya hasil hutan.
Tahun lepas kita dapat hasil hutan lebih kurang RM90 juta sahaja tetapi cukai tanah kita dapat lebih dari itu.
Banyak yang beranggapan Kelantan bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan iaitu pembalakan. Sebenarnya ia tidak tepat.
Dalam lima tahun yang lepas, kita sudah memberi fokus kepada aspek pelancongan dan dalam setahun dua ini, usaha bersungguh-sungguh dibuat dengan kerjasama kerajaan Persekutuan untuk mempelbagaikan hasil Kelantan.
Terbaharu dalam tiga tahun lepas, saya telah lancarkan satu plot kajian untuk tanam kayu putih lebih kurang 50 ekar. Jadi ini usaha untuk pelbagaikan hasil hutan. Kalau berjaya, ia perlu masa enam hingga tujuh tahun baru boleh tengok hasil.
Kalau berjaya, kita akan tanam seluruh Kelantan dengan pokok ini dan tidak perlu tebang hutan asli lagi. Ini usaha kita untuk mengurangkan penggantungan kepada hutan asli.
Pernah tak terfikir, isu ini diratib kerana Kelantan buat silap beli kereta Mercedes?
Banyak orang sangka, selepas Tok Guru meninggal dunia, baru kita pakai Mercedes. Sedangkan masa Tok Guru ada pun kita sudah beli Mercedes.
Dulu Exco Negeri Kelantan pakai Proton Perdana tetapi selepas tu pakai Mercedes sehingga hari ini. Tak pernah tukar lagi kereta lain. Kita beli Mercedes kerana kualiti. Berdasarkan pengalaman, kerja-kerja selenggara lebih baik berbanding Proton Perdana.
Selain itu sebab faktor keselamatan. Kebanyakan Exco kita bergerak dengan kereta. Kebanyakan Exco kita guna kereta untuk ke Kuala Lumpur dan tidak naik kapal terbang. Jadi banyak faktor, walaupun mahal tetapi kereta ini berkualiti.
Kita beli kereta ini bukan sekali gus, kita beli berperingkat mengikut kemampuan kewangan yang ada. Kita tempah dua biji, selepas itu bila ada duit, kita tempah dua biji lagi. Kereta untuk saya dan Menteri Besar paling akhir selepas semua Exco dapat kereta masing-masing, barulah kita beli untuk MB dan TMB.
Bukan kata kita beli sekali gus. Dia sangka kita beli kerana dapat duit RM400 juta yang diberikan oleh Dr. Mahathir. Sebenarnya, duit itu kita tidak usik pun untuk beli Mercedes.
Kita ada perancangan sendiri. Kita ada duit lain yang digunakan mengikut kemampuan kewangan yang ada.
Jadi bagi saya ini bukan isu. Contoh macam sekarang ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah luluskan untuk beli Vellfire, sebelum itu semua orang pakai Proton Perdana. Tapi kenapa masa Kerajaan PH itu tidak jadi isu?
Pas bukan ‘pak turut’ dalam PN
Pas ‘pak turut’ dan menterinya hilang taring dalam PN?
Bagi contoh Pas jadi pak turut? Apa isunya Pas jadi pak turut kerajaan. Jangan mudah cakap macam tu kalau tiada bukti. Pendirian kita tetap kekal, cuma mungkin pendekatan berbeza bila jadi kerajaan berbanding ketika berada di luar.
Sebagai contoh semasa di luar rumah kita guna suara kuat bimbang orang dalam rumah tidak dengar. Tetapi bila berada dalam rumah, takkan nak menjerit. Dulu memang kita bising sebab berada di luar rumah, kalau cakap perlahan orang dalam rumah tidak dengar.
Itu perbandingan mudah bila berada di luar dan duduk dalam kerajaan. Pas kekal perjuangkan Al-Quds (Palestin), kritik masalah judi, penjualan arak sebab pendirian kita jelas dalam isu ini.
Dari segi prestasi, saya melihat Menteri dan Timbalan Menteri Pas, Alhamdulillah bagus walaupun tidaklah sampai 100 peratus. Saya tengok mereka menjalankan tugas dengan baik walaupun jawatan yang diberi bukan dalam bidang kepakaran.
Sebagai contoh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man jaga Kementerian Alam Sekitar dan Air, beliau ini ustaz, tetapi Alhamdulillah prestasinya begitu baik. Begitu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas) dan lain-lain.
Menteri Agama juga menunjukkan prestasi yang baik. Ini sebenarnya peluang untuk Pas menunjukkan keupayaan sebenar. Saya beritahu kawan-kawan walaupun kita mungkin rasa terkilan sebab diberi jawatan yang tidak kena dengan latar belakang, tetapi ini peluang untuk membuktikan kemampuan Pas buat kerja.
Setakat ini saya tidak dengar lagi orang kata wakil rakyat Pas tidak boleh buat kerja. Jawapan-jawapan di Parlimen pun bagus. Ini satu perubahan besar yang dibawa oleh Pas.
Sejauh mana penyertaan Pas dalam Pusat memberi manfaat kepada Kelantan?
Bila kita duduk dalam Kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan turun ke Kelantan. Projek-projek yang dahulu tidak diluluskan, sekarang ini telah diluluskan.
Sebagai contoh Projek Pembesaran dan Pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sudah lulus dan sedang berjalan. Seterusnya, projek Central Spine Road (CSR) yang dahulu kita terpaksa ambil inisiatif buat sendiri kerana Pusat tidak mahu buat.
Baru-baru ini Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi) mengisytiharkan RM300 juta peruntukan terbaharu. Insya-Allah projek ini berjalan dengan baik dari Kota Bharu sehingga Kuala Krai dan Gua Musang.
Ketiga, peruntukan untuk tingkatkan bekalan air di Kelantan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air yang diluluskan tahun lepas sebanyak RM600 juta. Pembangunan kemudahan air ini semua sekali sebenarnya mencecah RM7 bilion.
Bila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang untuk meninjau banjir baru-baru ini, beliau setuju luluskan RM1.3 bilion untuk projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok. Ini juga antara hasil kita berada dalam kerajaan Persekutuan.-UTUSAN











