PETALING JAYA: Selepas kenaikan harga tiket bas ekspres, pengguna sekali lagi berdepan dengan beban kenaikan kos apabila tambang kapal terbang terutama ke Sabah melonjak 20 kali ganda dari harga asal iaitu dari RM1,800 ke RM4,000 yang disifatkan ‘mencekik darah’.
Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi bagi dua syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia untuk perjalanan tiga hari sebelum 3 Mei ini mendapati harga tiket yang dikenakan berbeza-beza mengikut jadual dan kelas penerbangan.
Pada musim bukan perayaan, harga tiket dikenakan oleh syarikat penerbangan untuk perjalanan sehala ke Tawau bermula dari RM200 hingga RM1,000 bagi kelas ekonomi dan perniagaan, sebaliknya naik antara RM1,800 ke RM4,000 bagi kategori kedua-dua kelas itu.
Bagi penerbangan menggunakan Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tawau, tambang yang dikenakan bermula antara RM1,892 hingga RM3,781.36 sehala untuk kelas ekonomi dan RM2,084.30 untuk kelas perniagaan.
Tinjauan di laman web Malaysia Airlines mendapati tambang dari Kuala Lumpur ke London hanya sekitar RM2,300.
Meskipun perjalanan itu hanya melibatkan penerbangan domestik dan mengambil masa kurang dari tiga jam, harganya jauh lebih tinggi daripada kos RM1,558 untuk destinasi dua hala dari Kuala Lumpur ke Dubai oleh syarikat penerbangan Emirates.
Malah, cuti umum pada 1 Mei ini menyaksikan harga tiket kapal terbang ke Tawau bermula dari RM792.16 hingga RM3,781.36 bagi kelas ekonomi.
Tambang itu juga meningkat dari RM1,892.44 hingga RM3,208.96 (kelas ekonomi) dan RM2,084.30 hingga RM3,617.06 (kelas perniagaan) menjelang hari raya.
Bagi penerbangan dari KLIA ke Kota Kinabalu, harga tiket secara purata bagi tempoh sama bermula dari RM320.96 hingga RM3,617.06 sehala.
Bagi AirAsia, harga tiket penerbangan bagi tempoh sama dari Kuala Lumpur ke Tawau bermula dari RM649 sehingga RM1,149 manakala ke Kota Kinabalu tidak banyak perubahan harga iaitu antara RM639 sehingga RM1,159.
Dalam pada itu, harga tiket penerbangan ke dua-dua lokasi hanya kembali normal bermula 10 Mei iaitu antara RM209 hingga RM319.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, setiap tahun pihaknya menghantar memorandum kepada kerajaan supaya memantau harga tiket penerbangan kerana isu kenaikan harga sentiasa berulang.
Beliau turut menyarankan supaya kerajaan memberikan potongan harga 30 peratus bukan sahaja khusus untuk Aidilfitri, malah perayaan-perayaan lain termasuk Krismas dan Tahun Baharu Cina.
“Kerajaan boleh memberi insentif cukai kepada mana-mana syarikat penerbangan, jika diberi, saya percaya inisiatif ini dapat mengawal kesan kenaikan harga. Saya sendiri tidak faham mengapa harga tiket penerbangan domestik lebih mahal daripada harga tiket ke luar negara.
“Alasan kenaikan harga tiket kerana minyak naik, jadi kos operasi meningkat, selain mahu mengumpulkan semula dana yang menyusut akibat Covid-19 selain peluang pembukaan sempadan tidak boleh lagi diterima.
“Kerajaan perlu memikirkan cara bagaimana menyelaraskan harga tiket supaya wujud situasi menang-menang antara pengguna dan penyedia perkhidmatan,” katanya.
Utusan Malaysia sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua syarikat penerbangan ini. – UTUSAN










