PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang terjerat dengan sindiket scammer di Myanmar dipercayai terpedaya dengan iklan di Facebook yang menjanjikan gaji lumayan mencecah RM10,000 hingga RM15,000.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dengan keadaan terdesak terutama sewaktu pandemik Covid-19, mereka cepat terpedaya iklan yang ditawarkan tanpa memeriksa kesahihan walhal ia sebenarnya sindiket penipuan antarabangsa.
Menurut beliau, pihaknya kini berusaha mengesan untuk menyelamatkan beberapa rakyat Malaysia dengan bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol serta pihak berkuasa Myanmar.
“Maklumat awal daripada ahli keluarga mangsa mereka dipaksa bekerja dengan sindiket ‘online’ dengan gaji kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.
“Ada antara mereka yang berhubung dengan ahli keluarga namun mangsa-mangsa itu mendakwa semua dokumen diri dipegang sindiket. Jadi kita sedang mengesan lokasi sebenar penempatan bagi menyelamatkan kesemua mereka,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Terperangkap
Menurut beliau, setakat ini, maklumat diterima berkaitan mangsa yang terperangkap di Myanmar tidak banyak tetapi PDRM prihatin dan akan menyiasat bagi menyelamatkan mereka daripada dicengkam scammer.
Dalam pada itu, menurut Abd. Jalil, seramai 16 rakyat Malaysia berusia 19 hingga 43 tahun yang diselamatkan di Kemboja pada Selasa lalu dijadual menaiki penerbangan ke Malaysia Selasa ini.
Beliau turut mengingatkan individu yang mempunyai maklumat melibatkan ahli keluarga atau rakan yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan antarabangsa agar melaporkan kepada pihak polis atau terus ke balai berdekatan untuk membuat laporan.
Menurutnya, orang ramai yang mendapat tawaran iklan bekerja di luar negara dengan gaji lumayan dinasihat merujuk dengan Jabatan Buruh terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berlepas ke negara-negara berkenaan.
Ujar beliau, selain itu, mereka boleh mendapatkan pengesahan dengan Kementerian Luar atau pihak kedutaan sebelum menerima pekerjaan ditawarkan.
Kelmarin, 16 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang ditahan di Kemboja selepas selepas terpedaya dengan iklan pekerjaan di sana, berjaya diselamatkan polis negara itu pada Selasa lalu.
Minggu lalu,Kementerian Luar mengesahkan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon sedang memantau rapi situasi terkini rakyat negara ini yang terkandas di Myanmar sejak awal tahun.
Menurut sumber Wisma Putra, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan pejabat diplomatik Malaysia di ibu negara berkenaan bagi mendapatkan perkembangan semasa kes tersebut.
Wisma Putra merujuk berita disiarkan media tempatan kelmarin yang melaporkan beberapa warga Malaysia terkandas secara haram di Myanmar selepas ditipu oleh ejen pekerjaan palsu.- UTUSAN











