Nisa Bakri hanya masak ikan ‘cantik’ - Utusan Malaysia

Nisa Bakri hanya masak ikan ‘cantik’

Suri hati bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ini menjelaskan, untuk memiliki kemahiran memasak, perlu rajin masuk dapur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Personaliti penuh inspirasi ini sememangnya cukup terkenal dalam dunia kulinari tempatan. Tanpa pendidikan formal dalam bidang masakan, namun hasil air tangannya cukup hebat setaraf cef ternama.

“Saya tidak punyai pendidikan formal tetapi minat saya memang terarah ke dunia masakan sebab saya diajar masuk ke dapur oleh ibu sejak kecil lagi,” tutur Puan Sri Nisa Bakri, 54, kepada Seri.

Penerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran ASEAN Women Entrepreneur Network (AWEN) di Bangkok, Thailand ini berkata, minatnya terhadap masakan dipupuk oleh arwah ibunya yang dipanggil mama.

“Sejak kecil saya tolong arwah mama menggiling cili, rempah dan buat tosai style lama. Aduhai, memang malas dan rasa hendak lari tetapi rumah kecil saya tidak boleh hendak menyorok. Kena juga menggiling sampai siap.

“Tetapi waktu itu minat belum ada,” katanya.

Penulis buku masakan I Am Not A Chef ini berkata minat masak hanya tercetus pada usia 20-an.

“Apabila saya belajar di sebuah universiti di Australia, kebiasaannya antara grup rakan-rakan sayalah jadi tukang masak.

“Selepas itu memasak bagaikan sudah sebati, saya kian mahir,” katanya mengimbau kenangan.

Mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourment Ambassador di World Gourmet Award 2018, dalam kalangan cef tempatan, beliau gemar mengikuti resipi Redzuawan Ismail atau Cef Wan.

“Seronok bila masak menjadi. Ia membantu saya kreatif dan mengolah resipi untuk menghasilkan pelbagai jenis masakan lagi,” katanya.

Keterujaan memasak turut membangkitkan semangatnya menyimpan semua resipi arwah ibunya.

“Dalam ribuan resipi, menu Biryani Mendi Yemen antara sajian paling saya suka masak sebab ia mengimbau kenangan bersama arwah,” katanya.

Kari kepala ikan yang dikongsi daripada kenalan baik, Datuk Seri Khalid Jiwa (Datuk K) juga antara menu kegemaran.

“Datuk K suka bagi tips memasak dengan baik. Maklumlah orang suka makan, biasanya pandai menghebatkan lagi masakan. Menu itu unik sebab resipinya asli,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengakui tidak suka memasak ikan yang ‘tidak cantik’.

“Pelik, tetapi itulah realiti. Jangan haraplah saya memasak resipi menggunakan ikan keli, belut dan ikan pari,” katanya berterus-terang.

RAMADAN DI NANTI

Bercerita mengenai aktiviti memasak katanya, setiap kali berbuka puasa, beliau suka melihat air muka keluarga atau kenalan bila menikmati juadah disediakannya.

Katanya, rasa power bila dapat eratkan persahabatan atau silaturahim hanya dengan masak lauk kegemaran mereka.

Situasi seronok, gelak ketawa dan kadang-kadang senyap bila tengah makan, memberikan kepuasan buat dirinya.

“Masya-Allah senyum saya melihat pelbagai reaksi mereka. Bagi saya memasak sendiri untuk keluarga atau kenalan memberi saya kebahagiaan yang tidak terkata,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, beliau sedang mempromosikan makanan yang menjaga kesihatan menerusi jenama Nisabakri Gourmet (NBG).

“Sepanjang Ramadan kami akan bekerjasama dengan Vegan Nation untuk mengeluarkan pes sedia dimakan Vegan Nation X Nisabakri Gourmet. Tidak perlu dimasak, hanya panaskan sebelum makan,” katanya.

Resipi Copy paste
Media sosial menjadi saksi pertumbuhan cef segera yang berkongsi resipi dan masakan masing-masing. Bagaimanapun, Puan Sri Nisa melahirkan kegembira memperlihatkan perkembangan itu kerana memasak boleh menjana pendapatan.

“Saya ramai yang mula belajar memasak dan menjana pendapatan daripada air tangan sendiri. Masaklah kerana tidak merugikan. Lebih-lebih lagi dunia masak ini tidak berkesudahan.

“Dunia ini ada pelbagai kaum dan pelbagai jenis resipi. Saya sendiri ada beribu-ribu resipi yang tidak habis dikongsi lagi,” katanya. Wanita cantik ini turut mengundang orang ramai menyertai grup Telegram Nisabakri Cooking Hacks kerana di situ ada ratusan resipi yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan atau memberi idea memasak yang mudah untuk seisi keluarga.

Dalam pada itu, beliau turut mencari resipi luar biasa tetapi original.

“Zaman teknologi maklumat hujung jari ini, sukar mencari resipi outstanding sebab ramai yang copy paste resipi orang lain hingga kurang aslinya,” katanya meluah rasa.

Mahu dikenali dengan sebagai True Icon katanya, kalau boleh beliau mahu menjadi personaliti yang memberi inspirasi kepada orang lain dan berupaya mendorong serta memotivasikan orang lain untuk menjadi insan terbaik dalam hidup mereka.

Pilih kawan positif
Kelebihan dimiliki, memungkinkan ramai mahu menjadi seperti dirinya. Namun dengan merendah diri, suri hati bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ini berkata, untuk memiliki kemahiran memasak, perlu rajin turun ke dapur.

“Saya jenis suka duduk rumah. Saya suka menjaga rumah tangga saya dengan harmoni.

“Saya juga sangat memilih kawan. Maksudnya saya elak daripada berkawan dengan orang suka bergosip atau mereka-reka cerita mengenai kawan sendiri. Jika ada kawan jenis cemburu, cara terbaik adalah lepaskan mereka.

“Teruskan hidup dengan persekitaran menggalakkan kita berjaya. Pada saya, mencari kebahagian itu amat perlu dan penting. Jangan harap gembira datang daripada orang lain, sebaliknya kita mesti mencipta kebahagiaan kita sendiri,” katanya.

Angka usia 50-an bukan alasan malas menjaga kecantikan. Sebaliknya Puan Sri Nisa rajin bersenam dalam mengekalkan keremajaan wajahnya dengan bersenam dan mengeluarkan peluh.

“Malas bersenam kulit akan cepat berkedut. Bersenam penting untuk menjaga rupa kita. Apabila tubuh steady kulit pun sihat dan kita tidaklah perlu terlalu bergantung kepada penggunaan produk kecantikan lain,” katanya.

Mengikut pengalamannya, memasak juga boleh menaikkan seri .

“Saya yakin berzikir menyanyi nama-nama Allah sewaktu memasak boleh naikkan seri wajah sebaba itulah juga yang saya praktikkan selama ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×