Perkukuh hubungan dagangan komoditi pertanian dengan Pakistan

Perkukuh dagangan komoditi dengan Pakistan

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan memperkukuhkan lagi hubungan dagangan komoditi pertanian dengan Pakistan selain berbincang mengenai cara meningkatkan bahagian pasaran agrikomoditi di negara tersebut.

Ia termasuk membangunkan produk industri hiliran seperti oleokimia, getah asli, pintu kayu, panel lantai coklat premium dan lada.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan turut menjemput Dewan Perniagaan Islamabad dan Rawalpindi untuk mengambil bahagian dalam Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Pertanian Antarabangsa Malaysia (MIACES) pada 26 hingga 28 Julai ini.

“Pakistan dan Malaysia berkongsi persamaan nilai dan budaya, menawarkan banyak ruang untuk pengembangan, terutamanya dalam perdagangan.

“Pakistan juga merupakan satu daripada rakan perdagangan terbesar negara dalam sektor agrikomoditi selain kami turut mempunyai beberapa projek usaha sama, khususnya dalam industri minyak sawit di Pelabuhan Qasim.

“Kami menghargai sokongan Pakistan dan hubungan serta kepercayaan ini perlu lebih diperkukuh menerusi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida sebelum ini ke Pakistan untuk lawatan kerja pada 30 Mac hingga 1 April 2022 dalam usaha mengukuhkan hubungan dagangan agrikomoditi di antara Malaysia dan negara Asia Selatan itu selain mempromosikan komoditi pertanian utama negara iaitu minyak sawit, getah, kayu, lada, koko dan kenaf.

Semasa lawatan, Zuraida turut bertemu Penasihat Perdagangan dan Pelaburan kepada Perdana Menteri Pakistan, Abdul Razak Dawood dan Penasihat Pembangunan Sumber Manusia kepada Perdana Menteri Pakistan, Ayub Afridi.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk usaha mengembangkan pasaran komoditi pertanian Malaysia di Pakistan, kemungkinan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan untuk sektor komoditi pertanian serta potensi mendapatkan pekerja Pakistan untuk bekerja di ladang kelapa sawit negara.

Pakistan telah menjadi rakan dagangan penting untuk produk agrikomoditi negara dengan jumlah eksport RM3.31 bilion pada 2021.

Komoditi pertanian utama yang dieksport ke Pakistan adalah minyak sawit (RM2.92 bilion), getah (RM253.90 juta) dan hasil kayu (RM82.44 juta).

Jumlah eksport minyak sawit Malaysia dan produk minyak sawit ke Pakistan adalah sebanyak RM2.92 bilion mewakili 88.3 peratus daripada produk pertanian komoditi Malaysia yang dieksport ke negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×