SELARAS dengan ucapan Perdana Menteri semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Dewan Negara pada 12 Oktober 2021 agar Unit Kemiskinan ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah, maka kementerian berkaitan tidak menunggu lama untuk menubuhkan unit baharu itu di peringkat masing-masing. Ia sebagai salah satu gerak kerja kerajaan Keluarga Malaysia dalam menangani isu turun-temurun, iaitu kemiskinan rakyat.
Antara kementerian yang paling banyak menghadapi isu kemiskinan rakyat adalah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). KWP bukan sahaja menghadapi isu kemiskinan luar bandar, malah terpaksa berhadapan isu kemiskinan bandar khususnya di ibu negara. Kuala Lumpur memiliki ramai miskin bandar sejak dahulu lagi mengakibatkan kualiti hidup rakyat agak kurang memuaskan dan tidak seimbang berbanding infrastruktur yang tersedia di sekeliling perumahan mereka.
Justeru, KWP tampil menjadi salah satu kementerian terawal yang memberikan perhatian kepada masyarakat miskin di ketiga-tiga wilayahnya.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau percaya iltizam kerajaan untuk mencapai sasaran pembasmian kemiskinan sifar pada 2025 hanya dapat direalisasikan jika wujudnya kerjasama menyeluruh daripada semua pihak. Justeru, KWP menubuhkan Unit Kemiskinan bagi membolehkan mereka menguruskan serta mengemas kini data kemiskinan di ketiga-tiga wilayah.
Malah unit baharu ini juga menguruskan inisiatif jaringan perlindungan sosial seperti mewujudkan program MyFood, seterusnya bertindak dalam menyelaras segala program dengan agensi luar serta menguruskan tabung untuk pembasmian kemiskinan. Penubuhan unit khas ini juga dibuat melalui penyusunan semula fungsi dan perjawatan sedia ada. Ia bagi memastikan unit ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan perincian tugas menyeluruh dan tidak berlaku perulangan kerja melibatkan unit lain.
Sejak penubuhan Unit Kemiskinan di KWP dan pihak berkuasa tempatan Wilayah Persekutuan, beberapa siri pendekatan keseluruhan negara (whole of nation approach) dilaksanakan dalam memastikan usaha murni kerajaan dapat direalisasikan. Kerajaan secara amnya menggunakan pendekatan baharu iaitu dengan melibatkan penyertaan menyeluruh dan bersepadu daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta, universiti, syarikat berkaitan kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi berasaskan komuniti dalam memastikan konsep keterangkuman dan inklusif menjadi panduan utama sekali gus dapat diperhebatkan.
LABUAN
Untuk memastikan perjalanan di bawah unit ini lancar, beberapa sesi perbincangan diadakan dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklumat dan pencerahan, merangka usul program dan menyelaras kerjasama yang relevan dan bersesuaian.
Antara kawasan yang mendapat perhatian kerajaan dalam menguruskan isu kemiskinan rakyat ini adalah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pendekatan yang diambil kerajaan adalah Cadangan Strategi dan Inisiatif Program Rintis Pembasmian Kemiskinan Tegar Tahun 2022 di lokaliti terpilih seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, PPR Desa Rejang, PPR Kampung Muhibbah, PPR Taman Mulia, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Patau-Patau 1 dan Kampung Patau-Patau 2 bersama Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bukan itu sahaja, Program Miskin Tegar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijalankan bersama Yayasan Hasanah, manakala Program Pembangunan Komuniti B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan Universiti Putra Malaysia. Sementara Program Miskin Tegar di lokaliti rintis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilaksanakan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Hasil daripada perbincangan sebelum ini juga terdapat beberapa strategi yang dikenal pasti untuk pelaksanaan segera antaranya padanan pekerjaan serta pembangunan usahawan dalam dan luar rumah. Strategi padanan pekerjaan ini menunjukkan hasil terutama apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalinkan kerjasama dengan KWP.
Program Keusahawanan Dari Rumah pula bertujuan memberi penumpuan kepada peningkatan taraf hidup golongan miskin tegar melalui peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan menggunakan model keusahawanan dari rumah seperti penjualan produk dan perkhidmatan yang kebiasaannya berteraskan makanan dan minuman, pengasuhan anak, urutan tradisional dan kecantikan diri. Program Keusahawanan Luar Rumah pula berfokus kepada peningkatan taraf hidup golongan miskin tegar melalui peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan menggunakan model keusahawanan luar rumah seperti penjualan produk dan perkhidmatan yang berteraskan makanan dan minuman, barangan runcit, pembaikan automotif dan telekomunikasi.
Secara rangkumannya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Jalaluddin selaku timbalannya sentiasa berharap segala usaha dirancang dan dilaksanakan ini dapat membantu ke arah menangani serta membasmi masalah kemiskinan di ketiga-tiga wilayah di bawah KWP.
Ketika berucap di Dewan Negara dalam menjawab isu kemiskinan rakyat ini juga, Jalaluddin mengalu-alukan lebih ramai ahli korporat, pihak persendirian mahupun organisasi yang mahu menggembleng tenaga bersama dalam memastikan Malaysia berjaya mencapai sifar kemiskinan menjelang 2025 khususnya di Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang seperti diharapkan oleh Perdana Menteri. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).










