Ramadan adalah universiti kehidupan

Ramadan adalah universiti kehidupan

SEPANJANG Ramadan, kita digalakkan membaca al-Quran sama ada bersendirian atau beramai-ramai. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN yang datang saban tahun menjadi medan mendidik umat menjadi lebih berkualiti dan menjunjung akal budi yang tinggi. Ramadan menjadikan kita lebih berdisiplin dalam menjalani kehidupan dan mengharungi cabaran yang ada.

Mereka yang berpuasa juga perlu bersifat sabar dalam menjalaninya dengan mengatakan, “Aku berpuasa” tiap kali diduga sesuatu perkara yang boleh menjejaskan pahala puasa apatah lagi membatalkan ibadah yang dilakukan. Ini termasuklah apabila seseorang yang berpuasa dicabar untuk melakukan perkara yang dianggap sia-sia.

Daripada Abu Hurairah, telah berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Puasa itu tidaklah menahan makan dan minum semata-mata, tetapi puasa juga adalah menahan daripada perbuatan sia-sia dan keji. Jika ada orang mencela kamu, maka katakanlah: Aku berpuasa, aku berpuasa.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Puasa juga mendidik kita mendisiplinkan diri dalam percakapan dan tata kelakuan. Kita dilarang melayan amarah yang ada, bercakap buruk dan negatif, bergaduh dan beradu domba apatah lagi melaga-lagakan orang, memfitnah serta menimbulkan ketegangan sesama manusia. Puasa mengajar kita bersikap bijaksana dalam segala tindak tanduk kerana percaya dan yakin sepenuhnya Allah SWT melihat apa yang kita lakukan. Sebab itu orang berpuasa tidak akan ponteng puasa walaupun peluang terbuka luas tanpa dilihat orang lain.

Puasa adalah latihan jiwa raga yang hanya inginkan keredaan Allah SWT dan mengingatkan diri terhadap kedudukan kita sebagai hamba yang suatu waktu akan kembali kepada Pencipta. Malah mereka yang dibenarkan syarak untuk tidak berpuasa juga diminta menghormati Ramadan dengan tidak melakukan perkara-perkara dilarang termasuk makan minum secara terbuka.

MUSOLLA

Dalam budaya Malaysia, mereka yang bukan Islam juga berpegang kepada perkara ini dan tidak makan di khalayak ramai walaupun sekarang ini nampak lebih terbuka.

Sepanjang Ramadan juga umat Islam digalakkan menimba ilmu terutama membaca al-Quran sama ada bersendirian atau bertadarus. Malah kita digalakkan bukan setakat membaca tetapi juga memahami dan mengamalkan apa yang dinyatakan oleh al-Quran sebagai panduan hidup.

Di samping itu, umat Islam didorong mengukuhkan persau­daraan sepanjang Rama­dan dengan mengan­jurkan majlis berbuka puasa yang dikatakan begitu besar paha­lanya, bersedekah dan mengunjungi masjid dan musolla untuk solat berjemaah.

Semua ini menunjukkan Ramadan seumpama universiti kehidupan yang berupaya meningkatkan akal budi manusia jika seseorang dapat berfikir dan memanfaatkannya sebaik mungkin. Ia adalah universiti yang mendisiplinkan umat untuk melalui kehidupan yang sejahtera dan harmoni, bersatu-padu dan kembali kepada fitrah serta norma-norma hidup murni.

Sekarang adalah masa terbaik untuk bermuhasabah dan memanfaatkan Ramadan termasuk dalam media sosial untuk kesejahteraan masyarakat. Media sosial dan internet selama ini menjadi medan untuk seseorang meluah emosi dan perasaan yang sesetengahnya menyebabkan kebencian sesama umat

Ramadan menyediakan ruang yang luas untuk mendidik jiwa dan tingkah laku kita yang perlu dikekalkan walaupun setelah ia berlalu pergi. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan (Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni), Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×