Rambang mata okey, bazir jangan

Rambang mata okey, bazir jangan

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN yang amat dirindui oleh seluruh umat Islam akan sekali lagi menjenguk kita semua. Setelah dua tahun terikat dengan kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, suasana Ramadan tahun ini tentunya lebih ceria apabila pelbagai aktiviti kini kembali dibenarkan. Bermula semalam, negara berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Membaca catatan-catatan di media sosial, sudah ramai yang menzahirkan perasaan teruja untuk menikmati pelbagai hidangan unik dan istimewa. Sememangnya berkunjung ke bazar Ramadan dan gerai makanan yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat kita pada bulan mulia ini.

Menurut kakak saya di kampus, pelajar senior sudah rancak berkongsi cerita tentang juadah enak yang biasanya dijual di bazar Ramadan berhampiran. Malah ia juga terkenal dalam kalangan penuntut luar negara memandangkan pada ketika inilah mereka berpeluang mencuba hidangan-hidangan tradisional yang unik dan sukar didapati.

Pada zaman kanak-kanak, paling menarik perhatian saya setiap kali mengunjungi bazar Ramadan adalah gerai minuman. Bayangkan betapa terujanya hati melihat deretan minuman pelbagai warna dengan ketulan ais dihiasi potongan buah-buahan tersusun rapi di hadapan saya. Tambahan pula, minuman-minuman itu diberikan nama-nama menarik seperti Blue Lemon, Frosty Dew. Rambang mata dibuatnya.

Akibat rambang matalah, maka sering kali berlaku pembaziran makanan. Berjalan di antara deretan gerai makanan yang menjual pelbagai juadah lazat ketika berpuasa begitu mencabar buat saya. Aroma istimewa kambing bakar, satay, ayam golek dan pulut udang kadangkala menggamit hati kita untuk membeli melebihi daripada apa yang mampu dimakan.

Setelah berbuka, barulah sedar bahawa kita tidak mampu menghabiskan semua makanan yang dibeli. Lebih-lebih lagi yang mudah basi walaupun disimpan dalam peti sejuk.

Ramai juga yang suka bersedekah termasuk menaja makanan untuk surau, masjid, rumah anak yatim dan gelandangan. Namun, pembaziran masih berlaku apabila makanan dihidangkan atau diagihkan dalam kadar berlebihan. Akibatnya, makanan yang belum terusik dibuang begitu sahaja, walhal di tempat lain ada insan yang tidak mendapat bantuan.

Semoga pada tahun ini kita tidak lagi mencacatkan kemuliaan Ramadan dengan membazir makanan. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×