PETALING JAYA: Laporan Utusan Malaysia semalam tentang kerenah kerajaan negeri yang menjadi punca negara terpaksa mengimport makanan bernilai RM63.6 bilion tahun lalu mendapat perhatian beberapa menteri besar dan kerajaan negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masih banyak tanah yang disediakan kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini bagi tujuan aktiviti pertanian terbiar dan tidak diusahakan sepenuhnya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan dakwaan itu tidak tepat dan menjelaskan bukan semua tanah pertanian ditukarkan kepada perumahan.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Kedah, Azman Nasrudin memberitahu, 2,330.73 hektar sawah di Kedah telah diubah syarat kepada perumahan dan pembangunan domestik dalam tempoh 11 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Aminuddin menegaskan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu melihat semula, apakah bantuan yang telah mereka berikan ketika petani dan peladang berdepan dengan kenaikan harga input pertanian dan masalah yang dihadapi oleh petani termasuk dalam isu penggunaan jentera.
“Tanah-tanah pertanian yang ada, adakah ia produktif? Apa yang mereka lakukan bagi memastikan pengeluaran makanan ini benar-benar berjalan? Tanah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Jelebu, beribu ekar, adakah kesemuanya digunakan?
“Siswazah-siswazah tani, berapa ramai yang terlibat dan berapa pula yang berjaya? Ini yang sepatutnya pihak kementerian lihat dan bukannya mencari salah, tanah tiada, itu tiada. Mahu tanah-tanah besar tetapi tanah yang kecil pun mereka tidak mampu bangunkan, tanah sedia ada pun tidak diusahakan sepenuhnya,” katanya.
Di Perak pula, menurut Saarani, kerajaan Perak menggantikan semula tanah pertanian yang digunakan bagi tujuan pembangunan seperti lebuh raya dengan jumlah yang sama bagi memastikan keselamatan makanan terjaga.
Katanya, sebagai contoh projek ikan Arowana di daerah Kerian yang menggunakan sawah padi digantikan semula oleh kerajaan negeri bagi memastikan tanaman padi mencukupi.
“Maknanya, kita ganti sebab ini keselamatan makanan, berapa pun jumlah yang terpaksa digantikan dan kita bukan tiba-tiba tukarkan status tanah.
“Berapa pun jumlah tanah itu, terpaksa ditukar syarat kepada pembangunan, pada highway (lebuh raya) dan sebagainya, jika ia terpaksa dibuat, kita menggantikan balik sejumlah tanah yang sama tanah pertanian untuk keselamatan makanan,” katanya.
Sementara di Kedah, Azman Nasrudin berkata, jumlah keluasan tanah pertanian yang diubah syarat itu adalah berdasarkan permohonan ubah syarat yang diterima Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, pihak MADA mengesyorkan permohonan mengubah syarat tanah tersebut untuk pembangunan hanya di kawasan yang berada di luar zon pertanian.
Katanya, langkah tersebut diambil selari dengan penetapan kawasan Muda yang diwartakan sebagai kawasan penanaman padi dua kali setahun.
“Kawasan pinggir yang diwartakan ini adalah terdiri daripada 11 skim pengairan iaitu daerah Kubang Pasu sebanyak tiga skim, Pokok Sena sebanyak enam skim dan masing-masing satu skim di daerah Pendang dan Yan,” katanya. – UTUSAN










