PUTRAJAYA: Siasatan awal Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati pesawat ringan Diamond DA-40D hilang kawalan sebelum tergelincir dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, dalam kejadian itu, pengendali pesawat berkenaan yang juga seorang juruterbang pelatih wanita berusia 28 tahun mengalami kecederaan, namun keadaannya disahkan stabil.
“Ia sepatutnya menjalani sesi latihan penerbangan malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebelum terbabas di landasan pukul 8.04 malam,” katanya semalam.
Media tempatan lewat malam kelmarin melaporkan insiden itu melibatkan seorang juruterbang pelatih wanita yang berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan pinggang dan lutut kedua-dua kaki.
Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba lapangan terbang berkenaan sebelum dkejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Kuah.
Insiden tersebut juga menyebabkan dua jadual penerbangan domestik ke Kuala Lumpur ditangguhkan beberapa jam ekoran landasan ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.
Mengulas lanjut, Chester berkata, siasatan awal CAAM menunjukkan pesawat yang dikendalikan HM Aerospace Sdn. Bhd. itu hilang kawalan ketika pendaratan dan tergelincir di landasan.
“Juruterbang dilaporkan sedang menerima bantuan perubatan dan berada dalam keadaan stabil namun kemalangan tersebut menyebabkan kerosakan pada struktur pesawat itu,” katanya.
Kapal terbang berkenaan ujarnya, telah dialihkan pada pukul 10.25 malam bagi memastikan keselamatan operasi landasan dan dibuka kepada penerbangan komersial seminit kemudian.
Proses penyiasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Lapangan terbang itu yang diuruskan Malaysia Airports Holdings Berhad, terletak di Padang Mat Sirat dan mula dibuka pada 1994 dengan keupayaan empat juta penumpang setahun. – UTUSAN











