BOBOY, kumpulan remaja yang pernah mencetuskan fenomena sekitar awal tahun 2000 memiliki pengikutnya sendiri sejak penubuhannya.
Kumpulan yang dianggotai lima figura seni dilabel sebagai ‘kumpulan muzik budak sekolah’, di mana kesemua mereka masih bersekolah sewaktu mencipta nama sebagai anak seni tempatan.
Mereka juga pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan pada ketika itu menerusi single pertama berjudul Episod Cinta yang dilancarkan pada tahun 2001.
Kini, usai dua dekad kumpulan ini menyemadikan nama dalam industri muzik tanah air, sudah pastinya pelbagai kenangan dan nostalgia bersama-sama tersemat dalam diri setiap daripada mereka.
“Terus terang, pada hari pertama kemunculan saya di pentas Gegar vaganza (GV), saya sudah berniat membawa band ini membuat kemunculan semula.
“Kali terakhir kami membuat persembahan bersama secara langsung di layar kaca sekitar 20 tahun lepas di Konsert Minggu Ini (KMI),” kata vokalis, Naqiu.
Dedah juara program GV musim keenam ini juga, ‘diamnya’ mereka sebelum ini bukan kerana perbalahan sesama sendiri atau isu lain sebaliknya kesukaran mereka bersatu sebelum ini adalah berpunca daripada dirinya sendiri.
“Kesukaran untuk bersatu sebelum ini, disebabkan saya. Kami tidak bergaduh, tetapi masa itu krisis saya bersama diri sendiri.
“Jadi, saya decide untuk tidak mahu aktif lagi dan mereka pun mengambil keputusan yang sama. Masa itulah, mereka mencari karier-karier yang lain. Itu sahaja sebenarnya,” tuturnya.
Bagaimanapun, menitipkan rasa kagum dan memberikan penghargaan buat ahli kumpulannya yang selesa digelar ‘abang’, kerana selama masing-masing menyepi telah membawa haluan sendiri.
Mereka ini tidak pernah terfikir untuk bermain dengan kumpulan-kumpulan lain malah membuat band baharu sekali pun.
“Saya sangat hormati mereka. Tidak pernah terfikir untuk membuat band lain dan tidak bermain muzik selain dengan saya.
“Selama mereka menyepi, abang-abang saya ini tidak bermain muzik selain dengan saya. Mereka terus berhenti bermain muzik.
“Itu yang saya sangat hargai. Daripada itu, saya memikirkan perlu melakukan sesuatu,” kongsinya panjang.
Boboy dianggotai Naqiu selaku Vokalis, Shah, pemain gitar utama, Muz, pemain gitar kedua, Didi, pemain bass dan juga Dzul di posisi drum.
ENAM TAHUN LOST CONTACT
Penyanyi lagu Demi Masa ini turut mendedahkan mereka pernah terputus hubungan selama enam tahun sehinggalah ketentuan takdir membawanya terserempak dengan salah seorang ‘abangnya’ di bazaar Ramadan.
Tidak terhenti di situ, mereka bersama berusaha membuat sesi perjumpaan bersama ahli kumpulan yang lain bagi menjalinkan semula hubungan yang agak lama terpisah oleh masa itu.
Tambah Naqiu lagi, sejak perjumpaan mereka itulah timbulnya idea untuk menyertai program GV atas paksaan dan desakan ‘abang-abang’ nya itu.
“Sejak itulah, kami merancang untuk melakukan sesi perjumpaan dengan ahli yang lain. Selepas itu, timbullah idea untuk saya menyertai program GV.
“Pada mulanya, saya tidak mahu sertai, tetapi mereka memaksa saya sehingga bercakap ‘kami tak nak berkawan dengan kau lagi kalau tak masuk’. Yang saya sedar, ini adalah ketentuan,” katanya.
Penyanyi itu turut mendedahkan kesemua ahli kumpulannya pada mulanya tiada keyakinan untuk kembali semula dalam industri, selepas ramai di kalangan peminat-peminatnya bertanyakan hal tersebut.
Bagaimanapun, mereka mula bersemangat semula apabila kerap kali membuat jamming pada hujung minggu di samping ada tujuan baharu iaitu kembali mengimbau nostalgia bersama para peminat mereka.
“Sebelum ini kami jamming hanya suka-suka di hujung minggu dan tiada tujuan, tetapi saya mula terfikir, mengapa tidak kita bergabung kembali.
“Sekurang-kurangnya membuat mereka lebih bersemangat untuk memegang instrumen semula dan ada motivasi untuk kami mengimbau kembali nostalgia bersama para peminat.
“Ini juga kerana, kami banyak sangat dapat pesanan langsung daripada peminat-peminat yang bertanya bila mahu come back. Inilah masanya untuk kami tunaikan,” tuturnya lagi.
Tak mahu mempersia peluang yang ada
Konsert Minggu ini (KMI) di Auditorium Perdana, Angakasapuri menjadi saksi, kumpulan Boboy yang akhirnya bersatu kembali selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan pentas bersama.
Naqiu juga menyifatkan reunion kumpulan Boboy ini adalah hadiah istimewa buat peminat serta penyokong muzik mereka yang sudah lama menantikan kemunculan semula kumpulan.
“Ini memang sangat rare. Bila hari ini dapat bersama-sama di atas pentas, rasanya lain.
“Lebih daripada perasaan saya menang di pentas GV kerana saya merasakan ini adalah hari kemenangan terbesar.
“Saya dapat kembali memainkan lagu Boboy sejak album pertama iaitu pada tahuh 2001 bersama dengan line up asal. Alhamdulillah,” kongsinya.
Di kesempatan itu, Naqiu menitipkan penghargaan buat pengurusan kumpulannya kerana sedikit sebanyak membantu dalam mencetuskan Boboy reunion ini.
Katanya, dia tidak akan mempersiakan lagi peluang yang sedia ada ini untuk kembali semula mengimbau nostalgia bersama para penyokong mereka sejak 2001.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan saya. Perkara ini tidak akan tercetus tanpa mereka. Saya boleh berbincang sahaja dengan abang-abang ini.
“Tetapi jika ingin merealisasikan tidak akan jadi jika saya seorang. Ini permulaan untuk kami kembali semula. Insya-Allah, kami tidak akan menghilang lagi dan cuba sedaya upaya untuk mengimbau nostalgia anda yang meminati kami sejak tahun 2001.
“Target terbesar kami juga adalah untuk kekal relevan dalam industri ini. Insya-Allah. Bila sudah come back, saya tidak mahu mempersia peluang yang ada,” ujarnya.
DUNIA LAKONAN
Sedia maklum, selain berbakat besar dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan komposer lagu, wajah Naqiu juga sudah mewarnai beberapa naskhah tempatan.
Penyanyi berusia 36 tahun ini juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Semarak Naga dan Boboy The Movie.
Menurut pelakon telefilem 6 Langkah Menghancurkan Ex Boyfriend ini, lakonan sebenarnya sangat membantu dia dalam menjiwai lagu-lagu yang dinyanyikan.
“Lakonan ini sangat menarik bagi saya. Sebelum ini saya pernah memaklumkan lakonan saya tidaklah bagus dan saya sedar itu.
“Tetapi, saya lakukan ini semua disebabkan permintaan orang. Bukan keinginan yang besar, namun selepas saya sudah berlakon beberapa naskhah, saya sedar lakonan itu membantu dalam nyanyian.
“Apabila saya menyanyi, saya senang-senang sahaja dapat menjiwai lagu-lagu yang dinyanyikan. Ada hikmah dan pengajaran untuk saya,” kongsinya bernada teruja.
Punyai hasrat yang tinggi, Naqiu sentiasa mencuba perkara baharu dalam bidang seni ini, antaranya sentiasa mahu bereksperimentasi dalam karya-karyanya yang mendatang.
“Saya ada cita-cita yang sangat besar. Saya ingin mencuba perkara baharu tetapi dalam masa yang sama, saya ingin juga memuaskan hati para peminat.
“Pada masa sama, saya mahu bereksperimen yang saya letakkan dalam karier solo.
“Saya bukan hanya dengan Boboy dan mereka juga faham kerana saya musician sepenuh masa. Mereka ada karier tersendiri juga. Jadi, fokus utama saya hari ini dan selepas raya adalah band ini,” katanya.










