Malam penuh gilang gemilang itu menyaksikan detik mencemaskan apabila pelakon, Will Smith menyerang hos juga pelawak Chris Rock di hadapan jutaan mata yang menyaksikan penganugerahan itu.
Smith, gagal mengawal amarah setelah Chris mengejek penampilan rambut Isterinya, Jada Pinkett Smith secara terbuka.
Pinkett Smith yang mendedahkan beliau menghidapi penyakit alopesia, sejenis penyakit autoimun yang disebabkan kernoterapi, penyakit atau keturunan, nyata tidak terhibur dengan ejekan Chris itu.
Smith yang tidak menyambut baik lawak ‘kasar’ itu bertindak berjalan menuju ke arah Chris dan menamparnya.
Insiden mengejutkan ramai pihak itu menjadi momen paling disebut-sebut dalam penganjuran Oscar tahun ini.
“Jangan sebut nama isteri saya!” jerit Smith dari tempat duduknya.
Selepas insiden itu, Smith dilaporkan telah ditenangkan oleh pelakon legenda, Denzel Washington dan Tyler Perry ketika acara itu direhatkan seketika.
Pada malam itu, Smith telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik bagi persembahannya menerusi filem King Richard.
Pelakon itu yang menitiskan air mata ketika berucap memohon maaf secara terbuka kepada Akademi atas insiden tersebut.
“Saya ingin memohon maaf kepada Academy, kepada semua rakan industri yang tercalon.
“Saya kelihatan seperti seorang ayah yang hilang kewarasan, seperti yang mereka sifatkan tentang Richard Williams. Tetapi cinta mengakibatkan anda bertindak gila,” katanya.
Coda terbaik
Filem kontroversi, Coda telah diangkat sebagai filem terbaik pada anugerah berprestij Oscar yang berlangsung pagi semalam waktu tempatan.
Filem yang diadaptasi daripada filem Perancis La Famille Belier itu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi filem penstriman pertama yang memenangi anugerah tersebut.
“Terima kasih Academy kerana membenarkan kami mencipta sejarah,” ucap penerbit Phillipe Rousselet.
Selain itu, Troy Kotsur, pelakon yang membawakan watak Frank Rossi di dalam filem berkenaan juga mencipta sejarah apabila menjadi individu kelainan upaya pertama yang memenangi kategori tersebut.
Beliau juga merupakan individu kelainan upaya kedua yang memenangi penganugerahan di Oscar selepas Marlee Matlin, 35 tahun yang lalu.
Dalam ucapannya, Troy mendedikasikan kemenangannya untuk semua komuniti kelainan upaya.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua pentas teater untuk orang-orang bisu yang membenarkan dan memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan bakat sebagai pelakon.
“Saya dedikasikan kemenangan ini untuk komuniti orang-orang bisu, seluruh warga kerja Coda dan komuniti kelainan upaya semuanya. ini adalah momen kita,” katanya.
Dalam pada itu, penulis lakon layar dan pengarah Coda, Sian Heder tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi anugerah lakon layar adaptasi terbaik.
Heder juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita kedua yang memenangi anugerah tersebut selepas Emma Thompson pada tahun 1995.
Anugerah pengarah terbaik dirangkul Jane Campion untuk filem The Power of the Dog. Campion adalah pengarah wanita ketiga yang memenangi anugerah tersebut.
Pelakon asal Amerika Syarikat, Jessica Chastain pula dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi persembahannya di dalam filem The Eyes of Tammy Faye.
Filem tersebut juga memenangi kategori solekan dan tatarias terbaik.











