Setiap insan yang pernah melalui fasa menjalinkan hubungan cinta, pasti punyai pengalaman tersendiri bersama seseorang itu.
Tidak kira lah, berjaya atau tidak dalam menghalalkan hubungan itu, sudah pastinya ada dugaan yang perlu dihadapi di setiap pertengahan jalan.
Bagi anak seni versatil seorang ini, pengalaman ditinggalkan kekasih dan gagal dalam percintaan merupakan salah satu pengalaman hidup yang tidak dapat dilupakan.
Meskipun peristiwa pahit itu sudah lama berlalu, Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, mengakui kesakitan itu masih dirasai hingga ke hari ini.
“Kami sempat bercinta dalam setahun dan punca putus kerana orang ketiga. Akhirnya saya ditinggalkan tanpa berita.
“Tidak tahu adakah hubungan itu masih berterusan atau sudah tiada lagi. Namun kini masing-masing sudah move on. Cuma ada beberapa perkara saya tidak boleh lupa.
“Luka mungkin sudah hilang, cuma parut itu masih ada. Tiada dendam tetapi sejujurnya nak duduk semeja, belum boleh lagi,” katanya ketika ditemu bual.
Tidak serik bercinta lagi, penyanyi lagu popular Putus itu menyifatkan ‘Cinta’ itu adalah sesuatu hal yang indah, sebenarnya.
Punyai pemikiran matang, seharusnya memberi peluang mengenali hati budi insan lain, bukan disebabkan peristiwa lampau untuk tidak bercinta lagi.
Setiap manusia semestinya ingin merasai kebahagiaan dan rasa dicintai seseorang. Pun begitu, bintang ini mahu membina karier sebagai seorang anak seni yang punyai nama sendiri dahulu terlebih dahulu.
“Tidak serik bercinta lagi, cinta ini sebenarnya satu hal yang indah. Saya tidaklah perlu stop disebabkan kisah lampau.
“Sebagai wanita, semestinya kita juga mencari cinta dan kebahagiaan tetapi buat masa ini, saya kini betul-betul fokus dengan kerjaya dahulu,” ujarnya.
‘Rezeki ada di mana-mana saja’
Menyingkap kerjaya seni Nabila Razali, figura ini memang seorang yang versatil. Bakat yang ada digarapkan dalam industri hiburan tanah air ini.
Mana tidaknya, lagu yang nyanyiannya semua mendapat perhatian ramai dan kini wajahnya sudah mewarnai layar skrin menerusi beberapa naskhah lakonannya.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini Nabila yang lebih disapa Bella telah melancarkan novel sulungnya yang berjudul Kerana Cinta Itu Ada.
Nabila yang pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), dia menitipkan kesyukuran kerana diberikan peluang untuk berada di atas pentas berprestij itu.
Akui walau pengalaman tidaklah manis sepenuhnya, namun cukup membuatkan penyanyi ini teruja dapat bersama dengan rakan seperjuangan di atas pentas itu.
“Kalau dulu Bella nak sangat, tetapi kini Alhamdulillah apa yang Bella sudah rasa berada di pentas AJL. Mungkin pengalaman yang ada itu tidaklah manis sepenuhnya.
“Tetapi cukup untuk Bella rasa ‘okey saya sudah menjejakkan kaki di pentas ini, ini rasanya bertanding dengan rakan-rakan’,” tuturnya.
Sedia maklum, lagu Peluang Kedua berkolaborasi dengan penyanyi rap, MK K-Clique, telah menerima jutaan tontonan di laman Youtube dan menjadi siulan sehingga hari ini.
Dia menyifatkan itu adalah pencapaian terbesar buat dirinya sebagai penyanyi lagu tersebut dan harus dibanggakan.
“Bagi Bella juga, pencapaian untuk Bella apabila lagu Peluang Kedua itu sudah menjadi siulan ramai sejak pelancaran sehingga kini.
“Itu pun satu pencapaian yang okey untuk Nablia Razali Entertainment. Kita tidak mahu hanya mengeluarkan lagu selepas itu terhenti di situ dan orang tidak ingat,” katanya.
Akhir tuturnya, seandainya dia diberi peluang dan rezeki bertanding di pentas AJL pada masa akan datang, penyanyi ini tidak akan mempersiakan.
Namun jika tertulis tiada rezeki untuknya, dia percaya rezeki kurniaan Ilahi ada di mana-mana sahaja buat dirinya dalam industri seni ini.
“Impak yang kita beri itu Alhamdulillah berpanjangan. Saya tidaklah ‘tutup’ terus. Tetapi jika ada peluang lagi di pentas Ajl, saya akan bertanding.
“Tetapi, jika belum rezekinya, saya okey sahaja. Tidak lah berasa sedih atau sebaliknya kerana bagi Bella rezeki itu ada di mana-mana sahaja,” ujarnya panjang.











