KUALA LUMPUR – Media sosial semalam terus riuh berkicauan apabila pengacara dan pelakon popular, Neelofa dan pendakwah, Haris Ismail didakwa sudah mengikat tali pertunangan.
Selain sohor kini, peminat berderu-deru menghantar ciapan dan berkongsi gambar Neelofa dan Haris mencerminkan ‘restu’ mereka sebagai penyokong setia dua sejoli itu.
Walaupun sehingga kini, tiada pengesahan daripada pihak Neelofa mahupun Haris berhubung desas desus petunangan mereka yang dikatakan berlangsung secara tertutup kelmarin.
Tidak hanya peminat, malah rakan-rakan artis turut mendoakan agar pasangan itu terus dirahmati dan dipermudah urusan ke jenjang pelamin.
Malah, Neelofa sendiri berkongsi video berdurasi 4 minit dan 14 saat yang menyoroti susur galur hubungan yang bermula sekitar 2017.
“Video ini buat saya menangis, masya-Allah,” kongsi Neelofa yang sebak apabila menonton video yang disediakan peminat.
Tular di laman sosial gambar Neelofa dan Haris yang sama-sama berada di sebuah majlis sehingga mencetuskan desas desus benarkah dua anak seni itu sudah bertunang.
Sebelum ini, ibu pengacara dan pelakon popular itu, Noor Kartini memberi bayangan bahawa Neelofa dan Haris sudah ‘diikat’ namun kemudian memadam status itu.
Menerusi gambar yang dimuat naik ibu Neelofa, Noor Kartini di Instagramnya, rata-rata peminat meninggalkan komen positif dan mendoakan yang terbaik untuk pengacara serta pendakwah itu.
Dalam kapsyennya, Noor Kartini memanjatkan rasa syukur kerana Allah telah menghadirkan seorang insan istimewa yang bakal membimbing Neelofa. – UTUSAN










