PUTRAJAYA: Insiden rakyat Malaysia dihalau keluar dari beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) hanya kerana isu disuntik vaksin Sinovac bakal berakhir dalam masa terdekat.
Menurut sumber blok tersebut yang dihubungi Mingguan Malaysia, ia susulan perbincangan bagi perakuan MySejahtera agar dapat diterima secara rasmi oleh kesemua 27 negara EU.
“Sebenarnya memang ada rundingan formal antara kerajaan Malaysia dengan EU untuk iktiraf aplikasi ini, sekali gus meliputi sijil digital vaksinasi Covid-19 lengkap dos penggalak,” katanya, semalam.
Berita gembira ini dijangka membolehkan sekitar 10 juta rakyat Malaysia yang diimunisasi dari jenis Coronavac buatan Sinovac dari China akan dapat memasuki negara anggota blok itu.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata,
Sijil vaksinasi Malaysia disahkan mematuhi spesifikasi yang diperlukan oleh negara EU.
Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan Duta EU, Michalis Rokas, Selasa lalu untuk menyenaraikan MySejahtera dalam senarai aplikasi yang diterima diguna pakai mereka dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Pihak pembangun sijil vaksinasi dalam MySejahtera telah menghubungi Duta EU. Kita memang menepati spesifikasi yang diperlukan.
“Dijangka ada keputusan daripada EU dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijadual bertemu Duta EU, Michalis Rokas dalam masa terdekat berhubung pengiktirafan vaksin Sinovac di negara-negara dalam kesatuan itu.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci dari segi penerimaan vaksin jenama itu sedangkan banyak negara lain tidak ada isu berhubung perkara berkenaan seperti Australia, United Kingdom, malah Amerika Syarikat (AS).
“Kita akan cuba dapatkan maklumat dan penjelasan dari EU berhubung perkara tersebut.
“Dalam kita punya syarat dalam ciri-ciri MySejahtera sebenarnya rakyat Malaysia boleh minta dos tambahan untuk tujuan pengembaraan sekiranya mereka mahu dan kita boleh pertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, Khamis lalu.
Utusan Malaysia Rabu lalu mendedahkan nasib penerima vaksin ini berisiko diusir keluar dari beberapa negara EU kerana ia tidak diperakui Agensi Perubatan Eropah (EMA).
Terkini, dua rakyat Malaysia diarah balik oleh imigresen Jerman ke negara ini pada Ahad lalu kerana jenamavaksin tidak diiktiraf walaupun dos penggalak ialah Comirnaty keluaran Pfizer.
Negara maju itu sebagaimana anggota EU lain cuma menerima vaksin jenama Comirnaty, Spike Vax, Vax Evria, Jansson dan terkini, Nuva Voxid atas pelbagai faktor keselamatan ketat.
Mengulas lanjut, sumber EU itu berkata, proses rundingan berjalan lancar dan turut melibatkan Kementerian Kesihatan selaku pemaju MySejahtera selain para diplomat Wisma Putra.
“Malaysia boleh buat pengiktirafan timbal balas sijil vaksinasi digital antara ‘kerajaan-kepada-kerajaan’, tetapi lebih baik dilakukan secara menyeluruh terus dengan pihak EU,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilakah proses itu dapat dimuktamadkan namun memberi jaminan, rundingan tengah berjalan lancar dan berharap selesai tidak lama lagi.
Apabila dimeterai secara rasmi, pengembara dari Malaysia tidak perlu berasa bimbang berdepan dengan pelbagai protokol kesihatan berbeza antara setiap negara EU selama ini.
Ketika ini, rakyat Malaysia yang ingin ke EU sama ada bercuti, bekerja atau belajar dinasihatkan agar peka dengan peraturan semasa negara itu kerana ia mungkin boleh berubah.
Begitu juga agensi pelancongan tempatan diminta membuat semakan terperinci dengan pihak kedutaan negara terbabit bagi mengelak insiden pelanggan mereka yang dihalang masuk.
Selain Jerman, difahamkan Itali, Belgium, Greece, Portugal, Luxembourg, Romania, Poland dan Czechia bertindak tegas menghalau warga asing yang menerima dos keluaran Sinovac.
Sementara Perancis dan Sepanyol pula boleh lagi bertimbang rasa membenarkan kemasukan dengan syarat disuntik dos penggalak yang dihasilkan firma Moderna atau Pfizer.
Penolakan vaksin China itu difahamkan tiada kaitan dengan isu politik, tetapi atas saranan EMA disebabkan kadar keberkesanan daripada jangkitan Covid-19 terutama risiko varian tertentu.
Britain yang bukan lagi anggota blok Eropah tersebut, telah memperakui Coronavac termasuk vaksin jenama Sinopharm keluaran China dalam senarai kecemasan yang dibenarkannya.
Bagaimanapun, beberapa negara enggan menerima vaksin China antaranya India dan Jepun, manakala Amerika Syarikat dan Australia memperakui dengan syarat ada dos penggalak. – UTUSAN










