Oleh Dr. Syazatul Syakirin Sirol Aflah
Sudahlah derita mengalami jangkitan Covid-19 sehingga berada di kategori empat atau lima, kini ada di antara mereka yang ‘terpaksa’ bergelut dengan sindrom Long Covid pula.
Seri bertanyakan kepada Pakar Perubatan Respiratori di Institut Perubatan Respiratori (IPR), Dr. Syazatul Syakirin Sirol Aflah, mengenai apa sebenarnya Long Covid?
Seri: Long Covid itu apa sebenarnya?
Dr. Syazatul Syakirin Sirol Aflah:
Bagi sesetengah orang, Covid-19 boleh menyebabkan simptom yang berlarutan beberapa minggu atau bulan selepas jangkitan itu hilang. Ini kadangkala dipanggil sindrom pasca Covid-19 atau Long Covid. Tempoh masa yang diperlukan untuk pulih berbeza untuk setiap pesakit.
Ramai orang berasa lebih baik dalam beberapa hari atau minggu dan kebanyakannya akan pulih sepenuhnya dalam masa 12 minggu. Tetapi bagi sesetengah orang, gejala selepas jangkitan aktif Covid-19 boleh berlarutan.
Definisi Long Covid adalah gejala yang berterusan selama lebih daripada 12 minggu selepas jangkitan yang tidak dapat dijelaskan oleh sebab lain. Gejala ini juga tidak ada berkaitan dengan tahap atau kategori Covid-19 semasa jangkitan aktif dan pesakit mengalami berlainan dari segi intensiti atau kekuatan gelaja tersebut.
Contohnya, orang yang mempunyai simptom ringan pada mulanya masih boleh mengalami masalah jangka panjang. Kajian mendapati bahawa orang yang lebih tua, wanita, dan mereka yang mempunyai jangkitan yang lebih teruk lebih berkemungkinan besar untuk mengalami gejala Covid-19 yang berpanjangan atau Long Covid. Penyelidik juga mendapati orang yang menghidap komorbiditi terutamanya asma lebih cenderung mengalami gejala Long Covid.
Rawatan pesakit?
Hingga kini, tidak ada satu pun rawatan atau ubat untuk merawat Long Covid. Mekanisme penyakit menyebabkan Covid yang lama tidak diketahui, dan tiada bukti berasaskan pilihan rawatan yang tepat untuk merawat gejala itu. Garis panduan klinikal memberi tumpuan kepada pengurusan gejala dan pelbagai pilihan rawatan adalah sedang dinilai berpandukan gejala dialami.
Di sebabkan pengalaman setiap orang berbeza, jadi penting untuk berjumpa doktor dan mengadu tentang gejala dialami.
Adakah mereka disaran berjumpa doktor?
Jika gejala memberi kesan besar kepada kehidupan, rujuk ke perkhidmatan pemulihan rehabilitasi atau pakar yang menjaga simptom anda alami itu.
Bekas pesakit Covid-19 yang mengalami gejala Long Covid terutamanya masalah kelesuan, disarankan bergerak aktif mengikut keupayaan masing-masing, makan makanan sihat dan mengelak mengambil sebarang ubat tambahan supaya tidak membebankan sistem tubuh yang baharu pulih daripada jangkitan.
Ada beza simptom individu ambil vaksin atau dos penggalak?
Data daripada orang yang dijangkiti SARS-CoV-2 pada awal pandemik membuktikan bahawa vaksinasi membantu mengurangkan jangkitan teruk Covid-19 dan secara tidak langsung mengurangkan gejala dan risiko Long Covid.
Para penyelidik melaporkan bahawa orang yang mempunyai kedua-dua jangkitan SARS-CoV-2 dan telah divaksinasi adalah kurang berkemungkinan untuk melaporkan mana-mana simptom lama covid yang biasa berbanding orang yang tidak divaksinasi apabila dijangkiti. Oleh kerana gejala Long Covid boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kurang produktif seperti dahulu, jadi sebagai salah satu langkah yang boleh kita ambil untuk mencegah gejala adalah dengan mendapatkan vaksin lengkap Covid-19.
Saranan kepada orang ramai berhubung Long Covid?
Pemulihan atau rehabilitasi harus dilakukan secara individu, dengan langkah aktiviti yang berhati-hati (untuk mengelakkan kambuh semula) dan sokongan pelbagai disiplin.
Vaksin mengurangkan tahap keterukan, viral load dan jangka masa jangkitan yang tidak langsung dapat mengurangkan keterukan gejala Long Covid.
Suplemen atau makanan kesihatan tambahan adalah tidak digalakkan kerana setakat ini tiada ubat-ubatan yang mempunyai bukti klinikal yang boleh memulihkan Long Covid.
—-
Penulis ialah Pakar Perubatan Respiratori di Institut Perubatan Respiratori (IPR)










