Bidang seni tidak menjanjikan masa depan – Vanidah Imran - Utusan Malaysia

Bidang seni tidak menjanjikan masa depan – Vanidah Imran

Vanidah memberitahu ayahnya adalah orang yang memacu kejayaannya sekarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUPANYA, ada sebab yang lebih besar ingin dicapai oleh aktres, Vanidah Imran, saat dia memilih dan membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana empat tahun lalu.

Melihat kepada pelbagai isu berbangkit yang terpalit pada kehidupan anak-anak seni, tidak dapat tidak, hatinya goyah saat memikirkan nasib dan perjalanan sebagai seorang pemain industri itu seakan tidak mempunyai jaminan yang kukuh.

Lalu, dia mengumpul seberapa banyak kekuatan yang ada, menyimpul nekad di jiwa untuk merubah nasib sendiri selain enggan membiarkan diri monotonous di sepanjang jalan atas nama seni itu.

Betul. Satu yang dilakukan adalah untuk diri sendiri. Tetapi, Vanidah juga ada sebab lain yang mungkin tidak semua orang mampu mengerti.

“Pentas seni di Malaysia bukan industri yang stabil selagi kita tak ada undang-undang untuk melindungi pemainnya. Maka, ketika itulah saya terdetik memilih pilihan lain, untuk sambung belajar bagi merubah kehidupan dan memastikan diri buat keputusan lebih baik.

“Saya boleh terus merungut mengenai kerapuhan gelanggang seni, tapi ia seolah-olah tidak membawa pengakhiran bermakna. Sampai bila kita nak merungut? Ia ibarat tak akan pernah habis. Saya fikir, kena buat sesuatu termasuklah menyambung pengajian sarjana selepas menggenggam ijazah.

“Ia keputusan untuk masa depan saya dan anak. Saya harap ia juga dapat jadi contoh dan motivasi untuk anak ke depan nanti,” katanya.

Berpegang pada prinsip itu, Vanidah kini sudah mampu tersenyum apabila segala usaha, keringat dan pengorbanannya untuk menggapai segulung sarjana itu akhirnya membuahkan hasil.
Kini, dia sudah pun bergelar graduan pengajian Sarjana Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya.

Bagaimanapun dia tidak menjadikan Sarjana sebagai satu alasan untuk ‘berpaling tadah’ kepada kecintaannya terhadap bidang seni lakon.

“Saya nikmati apa yang dilakukan selama ini dengan penuh rasa. Seperti mana saya cabar diri untuk sambung belajar selain mengajar, lakonan juga sudah sebati. Saya tak pernah cakap tidak suka berlakon, namun industri itu sendiri sejak bermula tahun 1993 sampai sekarang masih ada sisi ‘hitam’nya.

“Anak seni masih berperang bertanyakan hak atau perkara sama. Namun ibarat tiada siapa ambil peduli. Malah saya dengar daripada pelakon senior yang berjuang sekian lama pun, ia tak memberi apa-apa justifikasi mahupun perubahan.

“Akhirnya terpaksa menelan semua itu seperti tiada apa berlaku. Sebanyak mana pun sayang dan cinta terhadap dunia seni, ada titik anjakan untuk saya buat sesuatu sebagai pilihan.

“Iaitu dengan mengutamakan pendidikan untuk perubahan kehidupan dan masa depan saya serta anak,” katanya.

Kepuasan diri
Kata Vanidah, belajar mencipta kepuasan kepada dirinya sendiri.

Namun, usah salah faham. Dia bagaimanapun bukanlah berniat untuk membuktikan kejayaan itu kepada siapa-siapa.

“Saya sebenarnya rasa puas kerana suka belajar benda baru. Matlamat diri sendiri pun bertitik tolak kepada apa yang mahu dicapai dengan mencabar diri keluar dari zon selesa.

“Anak seni tak kira di depan atau belakang kamera juga sebenarnya ada yang mempunyai tahap pendidikan baik. Tapi sering dilihat seperti tin kosong.

“Macam ketika terbabit dengan penggambaran drama Kudeta (versi drama untuk filem Daulat) ada antara kru seperti pasukan tatarias sebenarnya berpelajaran tinggi,” katanya.

Mengambil contoh Ameen Mustajab yang juga ketua tatarias bagi drama itu (Kudeta) terbitan Laguna Pictures, kata Vanidah, dia sebenarnya pernah menjadi akauntan di Jabatan Akauntan Negara.

“Ameen sendiri pernah skor A untuk subjek matematik tambahan. Pembantu jurusolek drama itu ada antara mereka memiliki ijazah senibina dan kejuruteraan sivil. Begitu juga di bahagian menjaga ‘wadrobe’ ada yang menggenggam ijazah kejuruteraan elektrik, perniagaan serta kewangan.

“Namun hakikatnya ramai berfikir orang kreatif dalam industri seni ini tak berpelajaran tinggi terutamanya pekerja belakang tabir. Yang mereka fikir, rasa atau nampak semuanya negatif tanpa ada rasa mahu bertanya.

“Saya harap janganlah memandang sebelah mata dan pukul rata. Cuma ada yang belajar pandai memilih untuk masuk ke industri seni. Sebenarnya anak seni ini lagi sensitif, penuh rasa empati, dan memahami orang lain.

“Tak dilupa, masa di penggambaran filem Imam pun saya berpeluang mengenali kru yang ada sarjana pengajian Islamik dan bakal sambung peringkat Doktor Falsafah. Malah ada mempunyai lulusan Universiti Al-Azhar di Egypt, Mesir,”katanya.

Terima kasih bapa
Dalam pada itu Vanidah mengaku, betapa ruginya tidak menyambung pengajian sewaktu muda.

Katanya bapanya adalah individu yang tak pernah jemu memberikan motivasi kepada dirinya meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sebenarnya selama ini bapa tidak begitu gemar melihat saya memilih jalan sebagai anak seni.

“Kerjaya ini dilihat tidak mampu menjamin masa depan malah bapa turut berharap suatu hari nanti saya membuat keputusan atau memilih jalan lain,” katanya.

Bapa tak pernah jemu memintanya menyambung belajar. Kata-katanya seperti ‘sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi’ terus berbekas.

“Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati saya untuk realistik sekali gus sambung belajar.

“Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah sangka dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.

“Itu semua antara hikmah apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa berpeluang menyaksikan kejayaan ini,” katanya.

Ibu kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika ini melahirkan rasa syukur berupaya menamatkan pengajian meskipun dalam waktu yang sama menyarung banyak ‘topi’ lain.

“Bergelar ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar pada masa sama, ia bukan mudah.Tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.

“Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain.

“Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×