Tujuannya hanya satu. Mahu mendidik masyarakat terutamanya kaum hawa mengenai kepentingan menjaga kesihatan kulit yang dianugerahkan oleh yang Maha Esa.
Pemilik nama Dr. Nadzirah Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Nadz, merupakan seorang pakar estetik dalam bidang penjagaan wajah dan kulit.
Namanya mula menjadi sebutan ramai melalui perkongsian ‘tips kulit’ yang sering dimuatnaik di laman Instagram dan Tiktok miliknya.
Wanita berasal dari Terengganu ini berkata, keseronokkan berkongsi tips mengenai perawatan kulit dan wajah secara suka-suka sahaja.
Namun, selepas perkongsian itu, ramai yang mula bertanya kepadanya mengenai soalan-soalan asas mengenai penjagaan kulit. Sehingga artikel ini ditulis, jelitawan ini memiliki 129,700 pengikut di Tiktok dan 104,000 di Instagram.
“Kebanyakan soalan saya terima pada waktu itu adalah berkenaan asas-asas penjagaan kulit wajah seperti cara pemakaian krim pelindung cahaya matahari dan sebagainya.
“Jadi, daripada situlah saya mulai sedar belum ada kesedaran mengenai asas penjagaan kulit yang betul dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya kepada Seri.
Berbekalkan itu, figura berusia 36 tahun ini terus bergiat aktif memberikan informasi berkenaan penjagaan kulit yang betul kepada pengikut-pengikutnya terutamanya membabitkan masalah kulit secara spesifik seperti jeragat dan jerawat.’
TUA SEBELUM USIA
Baginya, penjagaan kulit secara asas dari awal sangat penting bagi mengelakkan berlakunya penuaan sebelum usia serta masalah kulit lain.
“Perkara yang saya amat saya tekankan adalah mengenai penjagaan asas kulit. Penjagaan asas ini adalah melibatkan penggunaan pencuci muka, penyegar, pelembab dan krim pelindung cahaya matahari.
“Kenapa ia penting? Kerana jika asas ini dijaga dengan sebaik mungkin, maka kulit akan menjadi lebih sihat dan penjagaan seterusnya juga tidak akan terlalu rumit,” ujarnya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) ini memberitahu, perkongsiannya itu sering mendapat maklumbalas positif daripada orang ramai terutamanya mereka yang kurang ilmu mengenai penjagaan kulit wajah.
Malah, dai juga sering dijadikan rujukan oleh pengikutnya di media sosial mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam rutin penjagaan wajah.
TAASUB CANTIK SEGERA
Kes-kes wanita menjadi mangsa produk kosmetik terlarang meninggalkan duka di hati pengasas dan pemilik Infinity Clinic by Dr. Nadz ini.
Katanya, dalam usaha menyuntik kesedaran umum, dia turut aktif mendidik orang ramai mengenai tips pemilihan produk penjagaan wajah yang selamat tanpa bahan terlarang.
“Kalau boleh saya hendak tengok semua orang terutamanya wanita lebih cakna dengan penjagaan dan kesihatan kulit wajah dengan cara betul dan tidak memudaratkan,” katanya penuh semangat. Justeru kliniknya yang terletak di Sri Rampai, Kuala Lumpur itu menyediakan perkhidmatan laser khas untuk merawat masalah pigmentasi pada kulit untuk lelaki dan wanita.
Dalam siri video pendek yang sering dimuatnaik, Dr. Nadz sering memberikan informasi berkenaan bahaya memilih produk yang mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri yang hanya akan memberikan kesan buruk dalam jangka masa panjang kepada pengguna.
“Saya sentiasa menasihati orang ramai untuk tidak terlalu taasub cantik dengan menggunakan produk-produk yang menjanjikan hasil yang cepat kerana ia bakal memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.
“Produk yang mengandungi bahan terlarang memang akan memberikan kesan cepat, kadang-kadang dalam masa satu minggu sudah boleh dapat hasil.
“Tetapi harus diingat dalam jangka masa panjang sekitar lima atau 10 tahun akan datang kulit akan rosak, malah akan jadi lebih teruk kerana lapisan perlindungan kulit telah rosak disebabkan oleh merkuri.
“Kerosakan ini boleh menyebabkan berlakunya ‘breakout’ yang berpanjangan serta boleh mengakibatkan jeragat yang teruk atau dikenali sebagai melasma,” katanya memberikan pemahaman.
MELASMA PALING BAHAYA
Melasma adalah yang paling perlu dielakkan terjadi kerana ia tidak mempunyai rawatan penyembuhan walaupun dengan kaedah laser. Melasma adalah sejenis pigmentasi atau longgokan pigmen pada kulit.
Lebih membimbangkan, penggunaan produk berkenaan dalam jangka masa panjang juga akan menjurus kepada masalah kesihatan yang lebih serius iaitu kanser kulit.
Oleh itu, pengguna disarankan untuk mendapatkan konsultasi pegawai perubatan sebelum memilih produk yang sesuai untuk penjagaan wajah.
“Sepatutnya kena buat kajian dahulu mengenai produk yang hendak digunakan. Sebaiknya dapatkan juga konsultasi daripada doktor supaya dapat merawat masalah yang dialami dengan lebih baik.
“Tidak perlu taasub hendak putihkan kulit, yang penting adalah memiliki kulit yang sihat. Kita mahukan kulit sihat dan berseri supaya kita tak perlu bergantung kepada alat kosmetik untuk tampil cantik,” katanya.
Membuktikan kecintaannya dalam dunia kesihatan dan kecantikan, Dr. Nadzirah turut memiliki jenama rangkaian penjagaan wajah sendiri iaitu Dr. Nadz Skincare.
Produk berkenaan, dihasilkan dengan kerjasama pakar bertauliah dalam bidang kecantikan. Malah ia dijamin selamat untuk pengguna.
Ada dalam rangkaian produk itu ialah pembersih wajah, penyegar, pelembab dan krim pelindung matahari yang diperbuat daripada bahan-bahan yang selamat diaplikasi pada kulit.
Keluarga menyokong
Tidak dinafikan, kejayaan anak kelima daripada tujuh beradik itu juga hasil sokongan padu daripada keluarga terutama ibu, Wan Fatimah Yusoff dan bapanya, Abdullah Ismail.
Katanya, biarpun pada mulanya keluarganya agak bimbang mengenai keputusannya untuk berhenti kerja di sebuah hospital kerajaan dan memulakan perniagaan, namun dengan kesungguhannya dia membuktikan dia mampu.
Dengan kesungguhan itu juga dia berjaya meyakinkan kedua orang tuanya sekali gus meraih keyakinan mereka.
“Sehingga kini mereka masih setia menyokong saya tanpa henti. Malah, mereka juga sering datang ke klinik untuk buat rawatan wajah,” katanya sambil tersenyum.










