PUTRAJAYA: Kos pengambilan bagi pembantu rumah Indonesia yang akan dibawa masuk ke negara ini bakal mencecah sehingga RM15,000 seorang.
Kos berkenaan didedahkan Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono dalam pertemuan dengan empat persatuan agensi pekerjaan swasta baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, pihaknya difahamkan, penetapan kos itu sudah dipersetujui antara kedua-dua pihak sebagai jumlah perbelanjaan keseluruhan di Indonesia dan Malaysia yang perlu dibayar majikan untuk mendapatkan perkhidmatan tenaga kerja itu.
Pertemuan itu dibuat menjelang usaha menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia yang ditunda ke 1 April ini.
“Bagaimanapun pihak Kedutaan Indonesia tidak memberikan pecahan kos itu secara terperinci, namun kami hairan siapakah yang memberikan cadangan kos ini sedangkan agensi-agensi pengambilan pekerja asing berdaftar di negara ini tidak dimaklumkan atau dipanggil untuk perbincangan berhubung isu ini,” katanya di sini semalam.
Sukumaran berkata, dalam pertemuan tersebut, empat persatuan yang terlibat iaitu PAPSMA, Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), Persatuan Kebangsaan Malaysia Agensi Pekerjaan (Pikap) dan Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA) turut diberitahu berhubung hasrat Indonesia agar pengambilan PDI dilaksanakan menerusi satu sistem khusus yang diintegrasikan dengan satu sistem yang sedang diguna pakai Indonesia.
Beliau berkata, pihaknya memaklumkan kepada duta berkenaan bahawa Malaysia sudah pun membangunkan satu sistem dikenali MyOne Channel System (MyOCS) bagi tujuan itu yang dikendalikan sebuah syarikat swasta, 3S Malaysia dengan pengiktirafan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Bagaimanapun katanya, Hermono terkejut kerana tidak tahu menahu berhubung pelaksanaan sistem MyOCS itu, namun difahamkan syarikat 3S Malaysia sudah mengadakan perbincangan bersama persatuan-persatuan pengambilan pekerja asing di Indonesia tanpa penglibatan persatuan-persatuan di Malaysia.
Sedangkan kata beliau, agensi-agensi berdaftar di negara ini mempunyai rekod di Kedutaan Indonesia sebagai pihak yang dibenarkan untuk menjadi fasilitator urusan kemasukan PDI dan boleh disenarai hitam sekiranya ia tidak dilaksanakan secara teratur.
“Jika MoU hanya ditandatangani pada April, kemasukan PDI akan mengambil masa lebih lama berbanding sasaran asal seawal September ini,” katanya.
Rundingan pengambilan dan kemasukan amah Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017 masih gagal dimuktamadkan apabila perjanjian MoU baharu masih tidak dapat disempurnakan dan ditunda ke 1 April selepas dua kali tertangguh iaitu pada 8 Februari sebelum dibawa ke 18 Mac.
MoU penggajian pembantu rumah Indonesia ditandatangani buat pertama kali pada 13 Mei 2006 di Bali, sebelum Protokol Meminda MoU PDI ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang tamat pada 30 Mei 2016.
Dalam pada itu, Sukumaran berkata, sudah tiba masanya kerajaan tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah dari Indonesia, sebaliknya membuka pengambilan dari negara sumber lain seperti Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka dan India.
Beliau berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan dari Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh yang bersedia menyalurkan lebih 150,000 tenaga kerja rakyat mereka untuk sektor perkhidmatan pembantu rumah.
Apatah lagi, katanya kos pengambilan pembantu rumah dari negara itu jauh lebih murah iaitu di bawah RM10,000 bagi setiap kemasukan seorang pekhidmat tersebut.
“Pihak kerajaan Bangladesh akan hadir berbincang di Malaysia bagi mendapatkan persetujuan ini dengan pihak JTKSM. Saya rasa tidak ada isu kenapa kita tidak boleh mengambil pekhidmat dari Bangladesh sedangkan mereka juga negara Islam dan mudah bertutur bahasa Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan ulasan daripada Kedutaan Besar Indonesia ke Malaysia gagal dan pegawai kedutaan menjelaskan, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu segala kenyataan untuk respons selanjutnya. – UTUSAN










