ISU Felda tiba-tiba dijadikan modal manifesto sebuah parti dalam pilihan raya negeri Johor. Kisah ‘pimpinan kami yang melupuskan hutang peneroka’.
Isu hutang peneroka dibangkitkan awal lagi sejak tahun 2000 oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari generasi Felda. Gerakan memuktamadkan tuntutan itu semakin kuat pada 2015. Proses tuntutan berjalan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi berkaitan audit dan kewangan.
Laporan Ketua Audit Negara yang berakhir 31 Disember 2018 merumuskan nilai sejumlah RM6 bilion direkodkan sebagai hutang peneroka tidak dapat dikenal pasti dan disahkan. Nilai itu menjadi keraguan dan pertikaian antara peneroka dengan pengurusan Felda.
Pada 10 April 2019, Kertas Putih Felda dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan merangka beberapa langkah pemulihan Felda termasuk memuktamadkan hutang peneroka.
Usaha memuktamadkan hutang peneroka diteruskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh sehingga pelupusan hutang peneroka dapat dilaksanakan pada 15 Julai 2021 ketika sambutan Hari Peneroka Kebangsaan.
Langkah-langkah pemulihan Felda ditambah lagi dengan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 billion. Pada masa sama, usaha pengambilalihan FGV yang juga satu langkah besar dan berani daripada pimpinan Idris.
Usaha pemulihan diteruskan lagi melalui Bajet 2022 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk pakej pemulihan dan program pembangunan peneroka.
Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Rauzan Esa Rauzan berkata, melalui garis masa, warga Felda boleh menilai siapa sebenarnya juara Felda.
“Jelas menunjukkan ramai terlibat sepanjang proses pemulihan Felda sama ada dari aspek pemulihan urus tadbir dan sosio ekonomi warga peneroka.
“Ia usaha merentasi politik kepartian,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN











