BERA: Bapa seorang penumpang pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 reda dengan sebarang keputusan kerajaan berkaitan pencarian pesawat tersebut yang terus misteri walaupun hari ini genap lapan tahun kehilangannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Selamat Omar, 69, bapa kepada Mohd. Khairul Amri berkata, dia bagaimanapun berharap kerajaan meneliti sebaik-sebaiknya sebelum membuat keputusan berkaitan pencarian pesawat itu.
“Hari ini masuk tahun kelapan kehilangan. Macam-macam berita yang saya terima berkaitan pencarian MH370, namun segala yang disampaikan seolah-olah memberikan harapan palsu buat saya.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak putus asa dalam mencari pesawat MH370, namun berharap pencarian dijalankan dengan penuh teliti,” katanya di sini semalam.
Setelah lapan tahun kehilangan MH370, Pak Selamat kini terpaksa menerima hakikat kehilangan anak lelakinya, seorang jurutera pesawat dan juga penumpang pesawat Boeing 777 berkenaan.
“Sebagai ayah, saya sudah lama reda dengan apa juga keputusan yang diberikan cuma berharap agar sekurang-kurangnya dapat melihat bangkai pesawat itu.
“Cuma sekarang timbul macam-macam perkara sehingga ada yang mendakwa menemukan bangkai pesawat dan berita sebegini menimbulkan kekeliruan buat keluarga sehinggakan bila ada lagi muncul berita sedemikian, kami tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Malaysia akan menimbang dengan teliti serta mengkaji semua maklumat baharu yang boleh dipercayai bagi mengenal pasti lokasi pesawat terbabit.
Semasa kejadian pesawat yang membawa 239 orang itu meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.
Sejak kejadian itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.
Bagaimanapun, kehilangannya sehingga kini belum mempunyai pertunjuk walaupun banyak pakar muncul dengan pelbagai teori.- UTUSAN










