Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sumbangan zakat berjumlah RM 1.3 juta daripada Badan-badan Korporat yang akan memanfaatkan 2,279 orang pelajar asnaf.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, pihaknya berbesar hati serta merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua Badan Korporat yang terlibat dengan sumbangan berkenaan.
“Kami menerima sumbangan zakat daripada tujuh badan korporat, antaranya Lembaga Tabung Haji, Etiqa General Takaful Berhad dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Juga tambahan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad untuk diagihkan khusus kepada pelajar UMT yang terjejas dengan bencana banjir,” katanya.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh wakil-wakil badan korporat kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bagi pihak UMT sempena Program KPT Prihatin di Terengganu.
Kunjungan Noraini ke kampus UMT itu antara lain meneruskan misi #KPTPrihatin serta Majlis Sanjungan Budiman dengan menyempurnakan bantuan banjir kepada masyarakat yang terlibat.
KPT Prihatin merupakan inisiatif kementerian membantu pelajar kurang bernasib baik terutamanya B40 yang terjejas akibat musibah.
Bantuan disalurkan bukan hanya memanfaatkan pelajar, tetapi turut disalurkan kepada masyarakat umum sebagai tanggungjawab sosial kepada komuniti umum yang terjejas akibat musibah banjir baru-baru ini.










