Menjangkau usia 32 tahun, penyampai radio Era, Radin mengakui tidak terburu-buru mahupun terdesak untuk mendirikan rumah tangga.
Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Effendi menjelaskan bahawa dia hanya menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah SWT.
Namun, jejaka berasal dari Ipoh, Perak ini tidak menolak hasrat untuk berkahwin dengan teman istimewa yang juga seorang pramugari, Azlina Idris tetap ada.
“Apabila saya katakan tahun ini atau tahun hadapan, itu sekadar perancangan. Kalau ikutkan, saya nak tamatkan zaman bujang pada tahun 2020. Tapi saya tangguh. Apabila arwah ibu meninggal, saya rasa tak manis untuk saya berkahwin di tahun yang sama.
“Kalau masa depan kami adalah bersama, ya ada rancang ke arah itu. Saya pun tak nak main-main. Usia sudah masuk 32 tahun. Tidak mahu lagi membuang masa.
“Saya harapkan sesiapa yang mengikuti kisah kami, doakan sahaja. Kalau rezeki berkahwin itu datang awal, maka awallah. Kalau perlu tangguh dahulu, kami ikut sahaja pada keadaan. Tetapi perancangan itu ada.
Mengikat hubungan istimewa secara jarak jauh pastinya menghadirkan pelbagai cabaran buat Radin dan teman istimewanya itu.
Apabila disoal tentang perkara tersebut, penyampai radio popular itu tidak menafikan hubungan jenis itu memerlukan pasangan terbabit untuk lebih bersikap terbuka dan mempercayai antara satu sama lain.
“Cemburu itu biasa. Perempuan kalau cemburu, itu normal. Kalau perasaan itu tak ada, maknanya dia tak sayang kita. Cuma sebagai pasangan, kita perlu banyak bersabar.
“Gaduh juga perkara biasa. Bohonglah kalau saya kata tiada. Mesti ada. Tetapi, perkara itulah yang mematangkan saya dan dia.
“Bagi saya, mudah. Saya sayang padanya, begitu juga dia, sayang pada saya. Sebagai pasangan, kami kena tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya lagi.
Namun Radin bersyukur kerana memiliki teman yang memahami. Katanya itu adalah antara faktor yang membuatkan hubungan mereka kekal lama.
“Alhamdulillah, dia memahami. Saya bersyukur kerana memiliki sistem sokongan yang baik, yang faham kerja saya. Kami pun sudah bersama hampir lima tahun.
“Kalau ikutkan, dia sudah bersedia (mendirikan rumah tangga). Cuma dia tidak ada di sini. Menetap di Arab Saudi. Atas faktor perbezaan masa, komunikasi kami menjadi sukar. Saya tidur, dia bangun. Saya kerja, dia tidur.
“Tetapi, hasrat untuk berkahwin dengannya, memang ada. Saya harap anda semua doakan agar kami dapat disatukan,” tambahnya.
Ketuk Pintu bersama DJ Nazz
Diajak berborak tentang kerjaya, Radin memberitahu tahun ini terlalu banyak perancangan yang disusun untuk merancakkan lagi kariernya sebagai seorang penyampai.
Katanya, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk terus bersama radio Era.
“Cuma apa yang saya ingin maklumkan adalah berkenaan kolaborasi saya dengan penyampai THR Gegar, DJ Nazz bagi program podcast dinamakan Ketuk Pintu yang ditayangkan di Youtube.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Platform itu kami wujudkan untuk memberi peluang kepada peminat untuk lebih mengenali tentang artis pujaan mereka. Ianya sebuah program spontan dan tidak berpandukan skrip,” kongsinya.
Bercerita lanjut, Radin menyifatkan program berkenaan sebagai istimewa dan berbeza.
“Episod awal kami tampilkan Zizi Kirana dan suaminya, Yusuf Bahrin. Saya dan abang Nazz tidak mengorek kisah mereka sebagai selebriti. Kami minta mereka untuk berkongsi cerita sebagai orang biasa.
“Kalau kami undang Datuk Seri Siti Nurhaliza sekalipun, kami akan minta dia kongsikan cerita kehidupan sebagai orang biasa. Mungkin ramai orang lebih tertarik dengan cerita-cerita seperti itu.
Kata Radin lagi, dia gembira dengan sambutan penonton terhadap program yang baru bermula itu.
Ujarnya, pelbagai perancangan yang dia dan DJ Nazz susun untuk merancakkan lagi kandungan Ketuk Pintu agar dapat bertahan lama.
“Perancangan untuk teruskan program itu memang sedang dilakukan. Kami pun ada senaraikan artis-artis yang ingin kami undang. Contoh seperti Jaafar Onn dan Datuk Ramli MS.
“Saya dan abang Nazz adalah kombinasi yang janggal. Saya seorang yang ceria, manakala dia pula berperwatakan serius. Jadi pendekatan kami berbeza. Itu yang membuatkan program ini menarik dan istimewa,” ceritanya.
Selain itu, Radin juga ada berkongsi tentang perancangannya untuk mengusahakan sebuah cawangan Megaklinik Zahran di Lembah Klang.
“Saya rancang untuk buka beberapa cawangan di Lembah Klang, Melaka dan Johor. Ini perniagaan saya kedua selepas kerjasama dengan J&T Express Malaysia.
“Untuk membuka cawangan Megaklinik Zahran ini, saya menerima bimbingan Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak dan isteri. Mereka ajak saya untuk sama-sama kembangkan cawangan.
“Saya terima pelawaan itu. Bagi saya itu adalah peluang keusahawanan yang bagus. Kenapa tidak kali ini, saya kembangkan lagi kerjaya sebagai keusahawanan,” ujarnya.










