Kamarul Azli tak patah semangat - Utusan Malaysia

Kamarul Azli tak patah semangat

KAMARUL Azli Mat Ali bersama ayam daging yang diternaknya di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Empat kali hampir gulung tikar, ayam mati diserang penyakit dan persaingan dengan pengusaha ayam lain antara cabaran yang perlu dihadap seorang penternak ayam di Kampung Lepan Jaya, di sini.

Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangat penternak ayam daging, Kamarul Azli Mat Ali, 41.

Kamarul Azli berkata, dia menceburi bidang ternakan ayam itu di Kampung Lepan Jaya di sini sejak berusia 20 tahun lagi ketika bersama arwah bapanya, Mat Ali Ab. Rahman.

Kamarul Azli berkata, arwah bapanya banyak mengajarnya tentang cabaran dan pengalaman dalam bidang penternakan ayam.

Katanya, pada permulaannya dia menternak 240,000 ekor ayam sebulan membabitkan 25 reban.

“Bagaimanapun kini bilangan meningkat kepada 350,000 ekor ayam yang diternak dalam 40 reban berhawa dingin.

“Langkah menternak ayam dalam reban berhawa dingin itu untuk mengelak daripada jangkitan wabak penyakit dan proses pembesaran ayam pula semakin cepat,” katanya di sini hari ini.

Kamarul Azli berkata, walaupun syarikatnya, Lepan Jaya Farm Sdn. Bhd. sekarang menjadi pengeluar utama pasaran di pantai timur khususnya di Kelantan tetapi cabaran tetap ada terutama persaingan daripada pengeluar ayam dari negeri pantai barat.

Katanya, permintaan ayam semakin meningkat dan dia bercadang untuk membina reban bertingkat lebih canggih.

“Setiap hari ayam dapat dipasarkan sebanyak 10,000 ekor bukan sahaja di daerah ini tetapi beberapa daerah lain di negeri ini.

“Setiap reban yang memuatkan 20,000 ekor ayam memerlukan pusingan masa pembesaran mencukupi supaya permintaan terus bertambah,” katanya.

Tambahnya, dia mempunyai tenaga kerja seramai 60 orang bermula dari menternak ayam di reban, menyembelih sehinggalah ke pemasaran.

Katanya, tempoh masa menternak ayam mengambil masa 40 hari sebelum menjual ayam di pasaran yang ditetapkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×