Suami cemburu buta, isteri pilih berpisah - Utusan Malaysia

Suami cemburu buta, isteri pilih berpisah

Pada awalnya, Ayu dan Salim hidup bahagia tetapi rumah tangga mereka mula goyah apabila Salim diberhentikan kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasa cemburu akan muncul kerana adanya cinta. Semakin kuat rasa cinta seorang isteri kepada suami, begitu juga sebaliknya seorang suami kepada isteri, bermakna semakin kuat pula rasa cemburu dalam hati.

Benarkah begitu? Cemburu dalam batas, wajar kerana ia membuatkan hubungan lebih akrab.

Namun hati-hati, jika pasangan sudah pandai menuding jari tanpa alasan jelas atau cemburu buta akhirnya akan merosakkan hubungan.

Minggu ini saya kongsikan kisah Ayu (bukan nama sebenar) seorang isteri yang menjadi mangsa cemburu buta suami.

Ayu mendirikan rumah tangga dengan Salim (bukan nama sebenar) selama kira-kira enam tahun.

Semuanya atas jodoh yang ditetapkan kedua orang tua mereka selepas sekian lama Ayu bergelar anak dara tua.

Ayu diminta menerima Salim kerana bakal suami nampak baik dan bertanggungjawab.

Hasil perkahwinan tersebut, Ayu dan Salim dikurniakan seorang cahayamata lelaki.

Meskipun perkahwinan mereka nampak bahagia dari luaran, namun hakikatnya penuh gelora.

Semuanya berpunca daripada sikap Salim yang sangat cemburu buta.

Pada awalnya, Ayu dan Salim hidup bahagia tetapi rumah tangga mereka mula goyah apabila Salim diberhentikan kerja.

Hampir setahun Salim duduk di rumah. Dia semakin selesa mengambil alih mengurus rumah tangga sementara Ayu keluar bekerja.

Sejak Salim tidak bekerja, segala perbelanjaan dapur, bayaran yuran tadika anak, makan pakai serta bil ditanggung Ayu sendirian.

Bukan itu sahaja, Ayu turut menanggung ibu bapa mentua dan dua adik iparnya yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Walaupun berdepan masalah rumah tangga, Ayu tidak pernah mencampur adukkan hal peribadi dengan tugas di pejabat.

Disebabkan dedikasi dan ketekunan bekerja, Ayu dinaikkan pangkat sebagai eksekutif kanan pemasaran.

Sejak itu, dia perasan perangai suaminya mula berubah dan suka marah-marah.

Rasa curiga berlebihan daripada suaminya tiba-tiba muncul sehingga menyebabkan semua kegiatannya dipantau dan dikawal.

Ayu berasa tidak selamat dan takut malah dirinya rasa tertekan setiap kali ada urusan di luar.

Dia juga diberi amaran oleh suami agar tidak berurusan dengan mana-mana pelanggan lelaki.

Ayu benar-benar kecewa kerana suami bagai hilang kepercayaan terhadapnya sedangkan selama ini dia bekerja keras mencari rezeki menyara keluarga.

Ke mana Ayu akan pergi, sedang melakukan apa dan dengan siapa dia berada perlu dilaporkan kepada suami.

Salim lebih rela menghantar dan mengambil Ayu di tempat kerja daripada membiarkannya memandu sendirian.

Selepas menghantar Ayu ke tempat kerja, Salim mengintip isteri dan mengawal setiap pergerakannya.

Sikap cemburu Salim semakin menjadi-jadi. Malah Ayu pernah ditampar di hadapan seorang pelanggan selepas selesai mengadakan perbincangan di sebuah restoran.

Apabila Ayu balik ke rumah, bukan sahaja dia dimaki, tetapi Salim sudah berani naik tangan ke muka isteri.

Kecederaan yang dialami Ayu bukan sahaja pada bahagian wajah, tetapi juga tubuh.

Kejadian itu bukan kali pertama sebaliknya sudah banyak kali.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, Ayu sentiasa cuba berlaku jujur dalam segala hal dengan suami.

Ini terutama dalam urusan kerja, hubungan dengan rakan sekerja, majikan dan rakan-rakan lama.

Namun Salim tidak pernah mahu menerima sebarang penjelasan daripadanya.

Disebabkan terlalu cemburu, Ayu langsung tidak berpeluang bersosial atau keluar bersama rakan-rakan sekerja selepas waktu pejabat.

Salim sentiasa mengekori Ayu untuk memastikan apakah dia benar-benar keluar atas urusan kerja atau sebaliknya.

Bagi Ayu bukan mudah mempertahankan rumah tangga apatah lagi hanya dia seorang sahaja yang bertahan, dan suami bersikap acuh tak acuh.

Sepanjang tempoh itu juga, Ayu cuba memperbaiki kekurangan diri, selain turut menghadiri sesi kaunseling bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah rumah tangga dihadapi.

Hari bertukar minggu. Minggu beralih bulan, bulan memasuki tahun.

Ayu terus hidup dalam penderitaan. Bagaimanapun dia terpaksa memilih mempertahankan perkahwinan yang sudah hampir musnah itu kerana memikirkan anak tunggalnya.

Dia tetap bertahan dengan sabar dan penuh yakin bahawa suaminya akan berubah.

Sayangnya, janji Salim untuk berubah tidak pernah ditepati dan tetap mengulangi kesalahan sama.

Akhirnya kesabarannya sampai ke kemuncak apabila satu hari dia dituduh curang oleh suami sendiri.

Akibat tidak tahan dengan sikap suaminya yang turut mendera emosi dengan memanggilnya dengan panggilan menjijikkan seperti ‘pelacur’, Ayu nekad memfailkan perceraian di mahkamah syariah.

Dia sanggup dipukul dan dicederakan, tetapi tidak boleh menerima kenyataan apabila suami sendiri menuduhnya curang.

Siapa yang tidak ralat, apabila perkahwinan yang dibina terlerai begitu sahaja.

Seperti kisah Ayu dan Salim, hanya disebabkan cemburu berlebihan, cinta dan sayang yang disemai, mati begitu sahaja.

Bagi Ayu segala usaha telah dilakukan, tetapi takdir menentukan perpisahan adalah jalan terbaik.

Dia reda dan akan meneruskan kehidupan tanpa rasa kesal dihati.

Dalam Islam cemburu dibolehkan asalkan jika rasa cemburu yang timbul tidak memiliki sifat berlebihan hingga menyebabkan pertengkaran.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbali, Imam An-Nasa’i dan Imam Abu Dawud, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
Ada jenis cemburu yang dicintai Allah SWT, ada pula yang dibenci-Nya. Yang disukai, iaitu cemburu tatkala ada sangkaan atau tuduhan. Sedangkan yang dibenci iaitu rasa cemburu yang tanpa disertai rasa keraguan lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×