Saya sado untuk sihat - Nana Al Haleq - Utusan Malaysia

Saya sado untuk sihat – Nana Al Haleq

Nana Al Haleq mula membabitkan diri dalam dunia kecergasan pada 2012.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selebriti kecergasan popular dan pengacara program televisyen ini mula mencuri perhatian ramai apabila kerap berkongsi tips dan teknik senaman melalui akaun media sosialnya.

Nana Al Haleq, 36, tidak saja cantik tetapi potongan badan sasa atau sado, menambahkan lagi populariti dirinya.

Mula membabitkan diri dalam dunia kecergasan pada 2012. Katanya pada peringkat awal, niat hatinya hanyalah mahu mendapatkan bentuk tubuh badan hour glass atau jam masa sahaja.

Namun selepas melihat keputusan yang sangat memuaskan iaitu ukuran punggung dari 32 inci menjadi 36 inci selepas tiga bulan melakukan aktiviti kecergasan, dia lantas jatuh cinta pada sukan body building.

“Saya mahu lebih serius, bukan setakat hobi. Saya mahu lihat sejauh mana daya boleh push diri saya dengan mindset. Kalau Mat Salleh boleh buat, kenapa tidak kita?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Digelar wanita sado itu kadangkala membuatkan ada sesetengah orang memberi pandangan yang kurang menyenangkan lebih-lebih lagi dikaitkan dengan bersifat kasar seperti lelaki.

Akui Nana apa yang orang ramai tidak tahu mengenai mereka adalah tidak semuanya wanita bertubuh sado itu kasar.

“Sado hanya penampilan fizikal. Ramai kawan wanita saya yang lemah lembut. Malah apa yang orang lain tidak tahu ialah, kebanyakan wanita sado ini sangat berdisiplin, sukakan sukan serta aktiviti yang mencabar.

“Yang agak sukar untuk kami ialah memilih baju dan seluar sesuai. Sebab wanita berotot ini potongan badan mereka sedikit berbeza daripada wanita biasa,” katanya.

DIET MUDAH
Nana memberitahu dia sering diajukan soalan mengenai sama ada diet untuk mendapatkan tubuh berotot, susah dan mahal.

Namun katanya, alah bisa tegal biasa.

“Diet saya sangat mudah kerana ia telah menjadi lifestyle saya. Aspek pemakanan tidaklah serumit yang disangka oleh sesetengah orang.

“Pokok pangkalnya seseorang itu perlu mengurangkan makanan diproses, makanan ringan dan makanan segera. Sebaliknya bertukarlah kepada makanan segar dan semulajadi,” katanya.

Wanita cantik ini hanya makan ayam bebas antibiotik dan daging yang grass fed. Kalau memilih menu daging, ayam atau ikan, dia lebih suka yang dimasak kukus atau di panggang bersama rempah sahaja.

“Juadah masakan Melayu pun saya makan tetapi semua resipi dan cara masak, menggunakan bahan-bahan asli dan bukan menggunakan paket segera. Penggunaan minyak pun sangat kurang,” katanya yang wajib makan ulam-ulaman tempatan kerana ia kaya zat.

Mengulas mengenai peruntukan masa untuk membina badan kata Nana, dulu dia memperuntukkan lebih kurang satu jam setengah untuk latihan kekuatan yang dilakukan sebanyak lima kali seminggu.

Namun bila sudah mendapat tubuh idaman, dia kini hanya memperuntukkan dua hingga tiga hari seminggu untuk latihan kekuatan, satu hingga dua hari untuk pilates atau yoga atau recovery kerana matlamatnya kini sudah bertukar ke arah fleksibel, mobile dan longevity.

MAHU TIMANG CAHAYA MATA
Pembabitan awal Nana dalam dunia kecergasan pada mulanya kurang disenangi ahli keluarganya.

Namun setelah beliau membuktikan boleh berjaya dalam bidang berkenaan, keluarga mulai menyokong minatnya itu.

Suami, Nik Mohd Fadhil Nik Ibrahim, turut menyokong pembabitan Nana dalam sukan bina badan.

Malah mereka berdua sama-sama meminati dunia kecergasan dan kesihatan.

Ditanya soal cahaya mata, kata Nana fizikal berotot bukan halangan untuk dirinya bergelar ibu suatu hari nanti, namun segala-galanya masih dalam perancangan.

“Saya tidak takut melihat perubahan bentuk badan saya waktu hamil nanti, sebab tubuh kita secara amnya akan sentiasa berubah setiap tahun.

“Fokus utama saya waktu ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan fizikal dan mental saya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan optimum serta bebas penyakit,” katanya.

SUKA MENUNGGANG KUDA
Menunggang kuda adalah aktiviti terkini Nana dan suaminya untuk merapatkan hubungan mereka berdua. Namun kadangkala kekangan masa membataskan waktu mereka melakukan aktiviti berkenaan.

“Kami baru saja mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas menunggang kuda. Sukan ini adalah terapi untuk saya tenangkan fikiran. Setiap kali menunggang kuda, saya mesti rasa gembira dan rasa bertenaga. Kami juga dapat mendekatkan diri dengan alam semulajadi dan belajar mengenali dan memahami kuda,” katanya tersenyum.

Menunggang kuda dapat menguatkan otot perut, kaki dan punggung. Pergerakan sewaktu menunggang haiwan itu, membantu memperbaiki pernafasan, meningkatkan reaksi dan postur tubuh.

“InsyaAllah lepas pandai naik kuda ini, saya dan suami berhasrat hendak belajar memanah pula, supaya boleh memanah sambil menunggang kuda pula,” katanya penuh semangat.

Wanita perlu jadi inspirasi ahli keluarga
Minat Nana membina badan lahir secara semulajadi. Sejak dari kecil lagi beliau memang aktif bersukan. Ditambah pula beliau adalah atlet lari pecut dan olahraga peringkat negeri sejak zaman persekolahannya lagi.

“Apabila saya dapat lihat yang saya boleh terus mencabar dan memperbaiki diri dalam pelbagai aspek seperti disiplin, menambah ilmu nutrisi pemakanan, belajar dengan lebih mendalam mengenai latihan dan membantu wanita lain untuk menjadi lebih sihat, minat dalam bidang ini terus membuak-buak.

“Kepuasan datang apabila saya dapat membantu wanita lain untuk memahami mengenai kepentingan kecergasan. Kecergasan ini bukan untuk kurus atau mendapatkan bentuk tubuh ideal semata-mata.

“Sebaliknya yang lebih utama ialah untuk menjadi lebih sihat. Wanita harus jadi inspirasi ahli keluarga untuk menjadi lebih aktif dan menukar diet pemakanan kepada lebih sihat,” katanya.

JADUAL PEMAKANAN
Pagi: Segelas air kosong dan segelas kopi Almond Latte/telur hancur dan cendawan/Green smoothie dengan oat.
Tengah Hari: Nasi mix grain bersama ulam-ulaman, dengan ikan/ayam kukus rempah/air kosong
Snek : Buah-buahan atau kekacang
Malam: Nasi mix grain bersama sayur-sayuran, ikan/ayam/daging panggang bersama rempah-rempah/air kosong

Bagaimana membina otot:
1. Jangan gopoh. Fahami kemampuan fizikal sebelum melakukan senaman. Kemampuan fizikal-ada tak kecederaan atau had (retak tulang, sakit lutut/bahu/dan sebagainya), tulang belakang normal atau tidak (scoliosis).

2. Jadikan senaman atau latihan regangan sebagai wajib.Sentiasa panaskan badan sebelum latihan dan sejukkan badan selepas latihan. Banyakkan latihan mobiliti dan fleksibiliti untuk memastikan kelanjutan otot, tulang dan sendi.

3. Pastikan diet kaya mikronutrien iaitu kaya vitamin dan mineral dari makanan asli. Bukan sahaja bertumpu kepada makronutrien iaitu protein, karbohidrat dan lemak sahaja. Kalau boleh dapatkan kedua-dua nutrisi ini secara natural dan bukan daripada makanan tambahan.

4. Amalkan makanan anti radang dan kaya antioksida untuk memastikan organ badan dapat berfungsi secara optimum.
5Fokus untuk sihat, bukannya untuk cantik semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×