Nomad simpul janji - Utusan Malaysia

Nomad simpul janji

Nomad tidak kisah bermula dari bawah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN awalnya sebagai penyanyi 10 tahun lalu disambut baik peminat. Rata-rata Nomad dilihat menjadi antara penyanyi baharu yang mempunyai potensi besar untuk bersinar.

Namun hanya lima tahun berada dalam industri dia mula memperlahankan rentak, tidak memberikan alasan kukuh mengenai keputusannya itu. Ramai menjangka penyanyi ini seperti memberi tanda awal untuk meninggalkan dunia seni.

Namun jangkaan itu meleset apabila anak kelahiran Terengganu itu kembali menjadi perhatian apabila berentap dalam program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Menolak melihat kerjaya seninya ini sebagai satu jenaka ketika ini, kata Nomad ini adalah permulaan baharu buat dirinya.

“Bergelar penyanyi pada usia begitu muda membuatkan saya rasa tidak bersedia. Malah ketika itu memang terumbang ambing sebab tanpa ilmu, kita tahu bagaimana rapuhnya dalam tempoh itu.

“Jujurnya saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia nyanyian bila tidak aktif dalam tempoh lima tahun ini. Malah dalam waktu itu juga saya sebenarnya sedang ambil masa untuk mempersiapkan diri terutamanya daripada segi mental.

“Saya memang meletakkan fokus untuk kembali menyanyi. Bila ada tawaran dari GV7 saya yakin ini adalah platform yang sesuai untuk bermula,” katanya yang pernah popular dengan lagu, Tetap Menantimu.

Tidak melihat ada ruang untuk dia menyesal dengan keputusan yang diambil sebelum ini. Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieff Ayub, yakin tiada istilah terlambat untuk dia bermula sekali lagi.

“Saya tidak kisah untuk bermula dari bawah, bila ada orang kata jika saya teruskan karier saya sepanjang lima tahun lalu seperti biasa tentunya saya sudah berada dalam keadaan selesa kini. Namun saya tidak pernah ambil itu sebagai sebab untuk menyesal, saya percaya dengan rezeki.

“Soalnya, saya kembali ke dunia nyanyian bukan untuk bersaing dengan sesiapa. Bagi saya bidang ini luas dan semua orang juga mempunyai peluang. Saya adalah antara salah seorang yang mahu menggunakan peluang yang diberikan,” ujar jejaka 32 tahun ini.

Mahu memberikan yang terbaik untuk kemunculan semula ini, saat ini tiada janji yang mahu diberikan Nomad terlebih dahulu. Namun sebagai seorang yang cukup dewasa, dia yakin dengan kemahuan dirinya.

“Sepanjang tidak aktif dalam bidang nyanyian memang banyak masa dihabiskan membantu urusan perniagaan keluarga sebenarnya,. Namun bila mahu meletakkan yang mana lebih utama saat ini sama ada perniagaan atau nyanyian, saya jelas dengan kemahuan untuk terus menyanyi.

“Tiada apa yang boleh saya janjikan, sebagai seorang penyanyi kepuasan datang daripada mereka yang akan menghargai karya seni kita. Jadi saya akan sentiasa berubah dalam memberikan produk yang mengikut selera pendengar,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×