PUTRAJAYA: Di sebalik pelbagai spekulasi berhubung kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, beliau meneruskan tugas hariannya seperti biasa semalam.
Pada sebelah pagi, Muhyiddin mempengerusikan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu rutin harian menangani Covid-19.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-36 dengan menggesa semua pihak memudah cara perancangan dan pembinaan infrastruktur digital, terutama di peringkat negeri dan kerajaan tempatan.
Ia bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti boleh dinikmati rakyat ketika Covid-19.
Perdana Menteri kemudian mendengar taklimat Bajet 2021 untuk mengetahui perkembangannya menjelang pembentangan 6 November ini.
Kedua-dua mesyuarat dan taklimat seperti biasa diadakan mengikut norma baharu menerusi sidang video dari Pejabat Perdana Menteri.
Hari ini, Muhyiddin dijadual mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Kabinet di sini.
Politik negara panas selepas Istana Negara menolak cadangan pengisytiharan darurat dikemuka Muhyiddin Ahad lalu.
Susulan keputusan tersebut mencetus spekulasi Muhyiddin bakal meletak jawatan.
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya apabila Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat malam kelmarin mencapai kata sepakat untuk kekal menyokong kerajaan PN.
Hasil mesyuarat yang berlangsung empat jam itu mengekalkan pendirian parti untuk menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP sekali gus ahli-ahli parlimen UMNO akan terus mendukung kerajaan PN.
Mesyurat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menggesa ditambah baik prinsip kerjasama berpaksikan nilai kehormatan dan konsensus politik.
Kedudukan Muhyiddin semakin diperkukuhkan apabila Pas turut menyatakan sokongannya terhadap kerajaan menerusi kesemua 18 ahli parlimen parti itu yang menzahirkan kesetiaan terhadap kepemimpinan Muhyiddin.
Mengambil pendirian sama, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga mempercayai keupayaan kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin terutama dalam membendung penularan Covid-19. – UTUSAN











