LONDON: Gara-gara cemburu buta, seorang isteri dihukum penjara selama 25 bulan selepas menyerang suaminya dengan sebilah pisau.
Lapor Dailymail, kejadian itu berlaku selepas Janeen Pugh, 48, bertindak mengejar suaminya, Wayne sehingga keluar rumah berhubung satu mesej yang diterima dalam telefon bimbit suaminya.
Menurut pihak pendakwa raya, Claire Wilks, ketika itu pasangan tersebut sedang duduk di sofa sebelum Pugh menjadi agresif dan mendesak untuk mengetahui pengirim mesej itu.
Wayne kemudian menunjukkan telefon bimbit itu kepada Pugh namun dia tidak percaya dan menuduh suaminya penipu serta mencampakkan telefon itu ke muka sebelum mengejarnya.
Ketika suaminya mengetuk pintu jiran bagi mendapatkan pertolongan, wanita itu berjaya mengelarnya dengan pisau.
Wilks berkata, lelaki itu berada dalam ketakutan kerana bimbang dia akan dibunuh.
Mahkamah Cardiff Crown turut mendapati satu mesej telah dihantar kepada kawan Pugh yang tertera bahawa dia sudah menikam Wayne.
Peguam Bela, Peter Donnison berkata, pengaruh alkohol dan hubungan yang tidak terjangka memainkan peranan semasa insiden itu.
Katanya, Pugh adalah seorang wanita yang bekerja keras.
Hakim Greg Bull QC menjatuhkan hukuman penjara tersebut selepas Pugh mengaku bersalah mencederakan suaminya dengan pisau.










