Calon tertua Amanah tidak lihat usia sebagai ukuran

Calon tertua Amanah tidak lihat usia sebagai ukuran

MAT KHAIRI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon paling tua yang ditampilkan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak melihat faktor usia sebagai penghalang untuk dia menyumbang kemenangan kepada parti itu.

Mat Khairi Samsudin, 66, yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili berkata, dia hanya perlu menyusun strategi yang digerakkan bersama jentera bagi mendekati pelbagai lapisan pengundi ketika berkempen.

“Faktor usia tidak seharusnya menjadi ukuran kerana setiap calon baik muda atau tua mempunyai kelebihan masing-masing bersama manifesto yang dibawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika kita lihat di kawasan Sedili ini masih banyak infrastruktur yang tidak mencukupi. Selain itu, beberapa tempat tarikan pelancongan juga perlu ditambah baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Bekas Ketua Kampung Tanjung Sedili itu antara 16 calon yang akan mewakili Amanah di bawah khemah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

MOHAMAD FAKHRULRADZI MAHMUD

Sementara itu, calon paling muda, Mohamad Fakrulradzi Mahmud, 32, pula sedia membalas kepercayaan Amanah kerana memberi ruang untuk beliau pertama kali bertanding dalam pilihan raya.

Mohamad Fakrulradzi yang bertanding di kerusi DUN Endau berkata, isu masyarakat yang dekat dengan pengundi akan dijadikan modalnya bagi menarik sokongan rakyat di kawasan terbabit.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Mersing memberitahu, isu seperti masalah petani, anak muda, nelayan serta pusat tarikan pelancong di kawasan Endau itu perlu diberi perhatian.

“Saya juga akan memperjuang isu pusat pelancongan di Endau. Kawasan pelancongan di sini tidak membangun, jadi hasrat saya untuk menjadikan Endau sebagai bandar tercantik bagi menarik kehadiran pelancong,” katanya.

Sementara itu, calon bagi DUN Bukit Pasir, Elia Nadira Sabudin, 39, berkata, sebagai calon muda wanita dia juga akan membuktikan kemampuan bagi memastikan peluang itu tidak disia-siakan.

Pengalaman sebagai Timbalan Biro Ekonomi Wanita Amanah Nasional diakui banyak membantu dirinya berkecimpung dalam politik seterusnya membantu kemenangan buat Amanah.

“Saya sudah bersedia untuk bersama masyarakat DUN Bukit Pasir dan akan lakukan yang terbaik untuk meraih sokongan penduduk di situ,” katanya yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan di Universiti Tun Hussien Onn (UTHM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×