Fikir sebelum pangkah - Utusan Malaysia

Fikir sebelum pangkah

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan jentera Pakatan Harapan di Johor baru-baru ini. Pilihan Raya Negeri Johor medan menguji rakyat sama ada mereka berfikir sebelum memilih pemimpin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Fikir dahulu sebelum undi dan bukannya undi dahulu baru berfikir. Itu yang dilontar oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Pandangan beliau itu ekoran ramai sangat yang merungut dan mengomel selepas pilihan raya tamat dan selepas kerajaan dipilih.
Ini termasuk kegagalan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan, diikuti dengan Perikatan Nasional (PN) selama 18 bulan yang kesannya terus dirasai oleh rakyat ketika ini.
Tindakan rakyat mengundi ber­dasarkan sentimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 meninggalkan kesan yang cukup besar bukan sahaja kepada politik negara tetapi juga kehidupan rakyat.
Majoriti tipis yang dipe­roleh PH pada PRU14 me­nyaksikan kerajaan dibina hanya atas pakatan yang rapuh menjadikannya tidak stabil dan mudah porak peranda.
Ini terbukti apabila tidak sampai dua tahun, Bersatu bertindak menarik sokongan kepada kerajaan PH. Bersatu berpakat pula dengan UMNO/Barisan Nasional (yang kalah dalam PRU14) dan Pas untuk membentuk kerajaan baharu – PN.
Hayat kerajaan PN tidak lama, apabila UMNO pula ber­tindak menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Apa sahaja selepas pasca-PRU14 menjadi huru-hara. Segala-galanya tidak stabil hanya kerana rakyat tidak memikirkan baik buruk ketika memilih pemimpin untuk membentuk kerajaan. Mereka pilih pemimpin berdasarkan sentimen semata-mata.
Untuk itu kata Johari, bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), rakyat perlu berfikir dahulu dan undi, bukannya undi dahulu baru berfikir.
Apabila memilih pemimpin atau kerajaan tanpa berfikir masak-masak ia memberikan kesan jangka panjang bukan sahaja kepada keadaan politik, tetapi juga ekonomi negara.
Kalau kita lihat situasi selepas PRU14, ia ibarat rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. Sana-sini kedengaran rasa tidak puas hati. Ada sahaja rungutan mengenai prestasi pemimpin dan kerajaan.
Ada yang merungut wakil rakyat tidak muncul-muncul selepas menang PRU14. Malah pengundi tidak kenal pun siapa wakil rakyat yang mereka pilih, hanya kenal pada nama.
Begitu juga dengan pihak yang membentuk kerajaan. Ada sahaja rasa tidak puas hati rakyat. Ada yang mengatakan menteri tidak tahu buat kerja, tidak ada pengalaman dan sebagainya.
Apabila PH membentuk kerajaan, ramai yang menaruh harapan tinggi bahawa mereka akan membawa perubahan besar dalam pemerintahan negara.
Harapan itu tidak menjadi realiti kerana di peringkat awal pentadbiran mereka lebih memilih untuk membalas dendam dan menghukum hingga tidak fokus kepada urusan pentadbiran negara.
Mereka sibuk mengatur dan menyusun penjawat awam yang sealiran dengan mereka dan menukar serta memecat mana-mana yang didakwa sebagai penyokong kerajaan sebelum ini.
Majoriti tipis yang dimiliki oleh PH juga menyukarkan mereka menggubal dasar-dasar baharu.
Malah ada pemerhati politik membuat kesimpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal menyerlah ketika menjadi Perdana Menteri buat kali kedua disebabkan beliau tidak mempunyai kekuatan politik. Beliau tidak ada kekuatan majoriti dua pertiga.
Berbanding selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini, Dr. Mahathir tidak pernah gagal untuk menguasai majoriti dua pertiga dalam setiap pilihan raya bagi membolehkannya membuat apa sahaja dasar dan keputusan. Tanpa cengkaman politik yang kuat segala-galanya goyah. Pihak yang tidak menyokong akan mengugut.
Maka dari situ wujud politik ugut-mengugut hingga PH yang dipilih oleh rakyat pada PRU14 tumbang. Kerajaan yang naik selepas itu boleh diibaratkan kerajaan ‘kawan-kawan’ – aku sokong kau, kau sokong aku jom kita bentuk kerajaan – bukan mandat daripada rakyat.
Kerana dibentuk atas kepentingan termasuk yang membabitkan kalangan pelompat parti, menjadikan kerajaan seperti ini tidak stabil. Ia bergoyang mengikut tiupan angin sokongan. Pemimpin yang mengetuai kerajaan ini terpaksa lebih banyak menumpukan usaha untuk selamatkan leher sendiri melalui dasar-dasar populis yang ada antaranya memberi bebanan kepada ekonomi dan kewangan negara.
Fakta mengenainya jelas. Sejak PRU14 pada 2018 apa pencapaian negara kita? Bagaimana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Bagaimana dengan kadar pengangguran? Ada jadi dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI)?
Memang benar sejak selepas PRU14 negara dilanda pandemik Covid-19, tetapi banyak negara jiran kita sudah bangkit dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi menarik dan kemasukan FDI yang memberangsangkan. Jangan jadi katak di bawah tempurung. Tengok sekeliling, apa yang orang buat dan capai dan bandingkan dengan kita dan nilai di mana kedudukan kita sebenarnya.
Ketidakstabilan politik di tambah dengan pandemik bukan sahaja meletakkan negara dalam keadaan sukar tetapi rakyat turut terjejas. Ketidakstabilan ini tidak boleh dibiar berterusan. Salah satu cara untuk mengembalikan kestabilan politik negara adalah melalui pilihan raya umum.
Itu jika para pengundi berfikir dahulu sebelum memilih pemimpin. Jika para pengundi masih dengan sikap yang sama maka kestabilan itu tidak akan dicapai.Jangan buat keputusan berdasarkan sentimen dan emosi hingga langsung tidak mahu membe­zakan antara intan dan kaca.
Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan adalah medan terbaik untuk pengundi mempraktikkan kebijaksanaan mereka dalam memilih pemimpin dan kerajaan. Masa depan terletak di tangan kita. Salah pangkah, merana lagi lima tahun.
Seperti kata Johari: “Ini sangat penting kerana kita boleh buat pilihan pemimpin mana yang kita boleh percaya.Pemimpin mana ada rekod baik dan pemimpin mana kita rasa betul-betul menjiwai rakyat.
“Kalau pilih ikut emosi ma­ka kita lahirkan pemimpin yang beremosi, kalau kita ber­­sentimen kita lahirkan pe­mimpin yang bersentimen, kalau tidak jujur kepada diri ke­tika memilih, kita akan lahirkan pemimpin yang tidak jujur.
“Jadi akhirnya, kita cakap pemimpin itu bagus, pemimpin ini tidak bagus. Sebenarnya kita sebagai pengundi perlu putuskan. Apa yang penting, pulihkan kestabilan politik.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×