Dengan wajah yang bengis tanpa senyuman, pihak imigresen Moldova membelek-belek pasport Malaysia saya. Belum puas, wanita berambut perang itu menggunakan pula sejenis alat pengesan pasport palsu. Saya tersenyum melihat gelagat pegawai imigresen itu yang penuh dengan keraguan.
Tak habis di situ, dia memanggil pula pegawai-pegawai lain. Seingat saya dalam empat orang pegawai lelaki tiba memerhati saya atas bawah persis seorang penjenayah. Mereka barangkali tertanya-tanya tatkala melihat saya, seorang lelaki berkulit gelap mengunjungi negara bekas Komunis itu.
Melihatkan mereka masih berkeras untuk melepaskan saya, akhirnya salah seorang pegawai menanyakan jika saya ada bukti penginapan di hotel. Tanpa melengahkan masa, saya menghulurkan sehelai kertas yang tertera nama rakan saya, Nicole, 21, berserta alamat rumah dan nombor telefon bimbitnya. Pegawai itu segera menghubunginya.
Seusai bercakap, pasport saya akhirnya diturunkan cop dan pegawai itu mengiringi saya keluar. Dia berdiri sebelah saya yang sudah pun keletihan sehinggalah Nicole tiba. Sebaik menghampiri saya, Nicole yang tinggi lampai berkulit putih itu terus meninggikan suara ke arah pegawai lelaki tersebut yang kemudian bergegas membawa saya keluar.
Itulah pengalaman pertama saya sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke salah sebuah negara termiskin di Eropah.
Republik Moldova mendapatkan kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet (USSR) pada 1991. Sejak itu, negara yang berjiran dengan Romania dan Ukraine ini terus berusaha mengembangkan ekonominya dengan memfokuskan kepada industri pemprosesan makanan, tekstil dan mesin.
Sebenarnya tujuan utama saya melawat Moldova hanya sekadar untuk melawat Nicole, gadis tempatan yang saya kenali sewaktu menuntut di Izmir, Turki.
Penerbangan yang memakan masa sekitar satu jam dari Istanbul itu juga sangat menyenangkan. Kedua-dua negara ini terpisah oleh Laut Hitam dan sebahagian kecil bahagian Ukraine.
SENI BINA LAMA
Namun saya tidak mengambil inisiatif untuk melawat ke seluruh wilayah di Moldova, bagi saya cukuplah sekadar menapak di ibu negara mereka, Chisinau bagi tempoh lima hari. Semasa berada dalam bas mini menuju ke tempat penginapan, saya perhatikan seni bina bangunan-bangunan di kota itu masih mengekalkan gaya Soviet. Tidak banyak bangunan moden kelihatan melainkan sama ada hotel atau apartmen mewah.
Kami berehat sejenak di McDonalds tanpa memesan makanan memandangkan negara yang didominasi lebih 91 peratus umat Kristian Ortodoks ini sudah pasti tiada yang halal namun masih terdapat beberapa restoran Turki sebagai pilihan.
Sekalipun perjalanan ke Old Orhei dari Chisinau mengambil masa lebih sejam, sebenarnya saya rasakan ia melebihi lima jam! Jalannya begitu teruk sekali seolah-olah anda sedang menaiki kereta kuda. Sepanjang perjalanan kereta terhuyung hayang menghentam segala lopak air dan lubang jalan.
Tatkala tiba ke destinasi, saya dapat rasakan kenikmatan tak terkata. Pemandangan di atas bukit Orhei cukup memukau, terutamanya ketika musim sejuk. Puing-puing salji yang menerpa bumi mencantikkan lagi pemandangan.
Di sebalik bukit-bukau yang berbatu itu terdapat sebuah biara Kristian tersergam indah.
Sekali tengok macam dalam filem fantasi. Seni bina dan ukiran yang terdapat di bangunannya memang unik. Apabila anda masuk ke dalamnya pula, anda dapat rasakan seolah-olah berada pada abad ke-19.
Moldova memang bukan destinasi pelancongan antarabangsa tetapi negara kecil ini menyimpan pelbagai khazanah era Komunis abad ke-20. Kebanyakan anak muda mereka berimigrasi sama ada ke Eropah Barat atau Rusia. Nicole pun sudah bermastautin di Moscow, Rusia sejak 2018 lagi.










