SETIAP kali menjelang pilihan raya, suasananya pasti meriah. Apatah lagi ketika pilihan raya kecil (PRK) kerana jentera parti dari seluruh negara akan berkumpul di kawasan terbabit. Bendera dan poster parti menghiasi setiap ruang dibenarkan. Masing-masing berusaha menjadi sekreatif yang boleh untuk menarik perhatian bakal pengundi.
Setiap tempat yang dikira strategik menjadi rebutan untuk dinaikkan lambang parti dan poster calon.
Begitu juga gambar poster boy yang akan dipaparkan di serata tempat termasuk pada cenderamata parti. Dalam setiap pilihan raya, faktor poster boy atau wajah poster parti adalah sangat penting. Ia menjadi antara faktor utama untuk memastikan kemenangan parti-parti bertanding. Poster boy inilah yang menjadi ikon parti dalam kempen pilihan raya mereka dan menjadi daya tarikan untuk memikat hati pengundi. Maka adalah penting bagi setiap parti untuk mencari seorang yang berkarisma dan berpengaruh di kawasan pilihan raya itu sebagai poster boy mereka.
Bagi saya, faktor wajah poster parti ini amat penting untuk memancing undi khususnya pengundi atas pagar. Ikon itu juga melambangkan aspirasi serta membawa imej parti tersebut. Namun, individu yang membawa wajah parti ini tidak semestinya anak tempatan atau pemimpin tertinggi parti. Paling penting ialah beliau mampu menawan hati pengundi. Hal ini menjadi lebih penting jika calon yang dipertaruhkan adalah muka baharu yang belum begitu terkenal dalam kalangan pengundi.
PRN JOHOR
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung, parti-parti yang bertanding sudah tentu mencari kata sepakat dalam memilih poster boy mereka. Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan Johor sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar meletakkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sebagai poster boy.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memilih pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menampilkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mungkin itu juga yang menjadi strategi Perikatan Nasional (PN) apabila Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menegaskan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih menjadi poster boy.
Seperti PN, Pakatan Harapan (PH) sehingga kini belum menampilkan poster boy mereka. Mungkinkah Dr. Maszlee Malik? Setakat ini, PKR dilihat menggunakan nama Maszlee yang merupakan bekas Menteri Pendidikan dan calon DUN Layang-Layang dalam kempen mereka.
Adalah menarik kita melihat bagaimana muka depan parti dapat mempengaruhi pengundi sedangkan dalam banyak keadaan, mereka bukanlah calon yang akan berkhidmat di kawasan tersebut. Begitulah besarnya pengaruh persepsi dalam mempengaruhi pilihan pengundi. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










