KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) diramal tidak mampu memberi saingan kepada parti-parti yang sudah lama bertapak di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, Warisan akan berhadapan laluan sukar untuk menyaingi parti sedia ada khususnya Barisan Nasional (BN).
“Ada kemungkinan calon Warisan akan sukar mendapat sokongan tetapi tidak salah jika pimpinan parti ingin mencuba.
“Namun, sewajarnya pimpinan Warisan memberi sokongan kepada calon parti yang bekerjasama dengan mereka sahaja pada PRN Johor kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Turut senada dengan Romzi ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung yang menyatakan jenama Warisan belum cukup kuat di Semenanjung maka, mereka mempunyai peluang tipis pada PRN Johor.
Beliau berkata, rakyat Johor mempunyai banyak pilihan seperti UMNO, DAP , MCA dan Pakatan Harapan (PH).
“Warisan mungkin boleh cuba dengan mengetengahkan calon ulangan yang mempunyai reputasi yang baik selaku individu namun, pengundi akan melihat banyak faktor lain seperti siapa rakan sekutu mereka.
“Calon bebas pula sukar mendapat tempat dalam kalangan pengundi Johor yang inginkan pembentukan kerajaan yang lebih stabil,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, isu kehilangan deposit bukan perkara pokok yang perlu diberi perhatian sebaliknya, perkara yang harus dilihat adalah kesukaran Warisan untuk bertapak di Johor.
Sementara itu, di Johor Bahru, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membayangkan parti itu mungkin bertanding solo dalam PRN.
Mohd. Shafie berkata, hal itu kerana dirinya pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik lain sebelum ini dan sudah ‘masak’ dalam kancah politik tempatan.
“Pada PRN Sarawak dan Melaka lalu, kita dapat lihat rakyat menolak Pakatan Harapan (PH), jadi mengapa kita harus menjalin kerjasama lagi.
“Berhubung perbincangan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula, memang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ada datang ke rumah saya, tetapi keesokannya dia mengumumkan perkara lain pula. Jadi kita buat keputusan sertai PRN Johor dengan menjalin kerjasama bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Warisan Negeri Johor yang diadakan di Taman Sutera, di sini, kelmarin. – UTUSAN











