PETALING JAYA: Seorang lelaki cedera selepas tercampak ke dalam longkang apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pandan 5, Taman Pandan Jaya, di sini pagi tadu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.22 pagi tadi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha R6 dengan sebuah kereta Toyota Vios.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Mohd Amir Hazim Mat Taha berusia 33 tahun tercampak ke dalam longkang sedalam tiga meter di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, anggota bertugas menjalankan kerja penyelamatan dan membuat pemeriksaan terhadap mangsa sebelum dia dibawa keluar menggunakan pengusung.
Tambahnya, mangsa ada mengadu sakit di bahagian pinggul dan dia diserahkan kepada pasukan perubatan yang berada di lokasi untuk rawatan lanjut.- UTUSAN











