BAGAN SERAI: “Kalau tak mahu anak terima vaksin, jangan hasut ibu bapa lain kerana ini memberi persepsi yang buruk tentang vaksin Covid-19 yang disediakan oleh kerajaan.”
Itu antara pandangan ibu bapa yang membawa anak mereka menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Dewan Komuniti Bagan Serai, dekat sini semalam.
Nurul Akma Mohamad Yusuf, 34, ibu kepada Mior Aish Mohamad Mior Fadlil Khalid, 7, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai yang menerima vaksin semalam berkata, persepsi yang diwujudkan oleh individu-individu anti vaksin dalam media sosial menyebabkan segelintir ibu bapa bimbang.
Menurutnya, ibu bapa sepatutnya tidak terpengaruh dengan hasutan sedemikian.
“Kalau tak mahu anak ambil vaksin, tak perlulah cipta persepsi buruk kepada masyarakat.
“Jangan jadi penghasut dalam masyarakat terutama kepada ibu bapa yang mahu anak mereka divaksin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Sarimah Abu Bakar, 31, pula berkata, dia dan suami membenarkan dua anak mereka, Muhammad Haikal Bukhari Al-Hakim Kamal, 11, dan Qaisara Wafa Zara Shima Kamal, 10, mengambil suntikan dos pertama vaksin.
Menurutnya, keputusan itu demi kebaikan dalam keluarga dan masyarakat apatah lagi kes Covid-19 semakin meningkat.
“Saya bimbangkan keselamatan anak-anak saya, lebih baik mereka ambil suntikan sebagai perlindungan awal daripada virus ini.
“Saya ibaratkan vaksin ini sebagai payung yang melindungi dan Covid-19 sebagai hujan yang lebat dan kita terpaksa meredahnya,” katanya.
Seorang bapa, Mohd. Saidi Mohd. Safie, 37, berkata, dia membenarkan anaknya yang berumur sembilan tahun menerima vaksin bagi mencegah dijangkiti Covid-19.
“Saya melihat setiap anak yang lahir semuanya telah awal-awal disuntik berbagai suntikan seperti BCG dan sebagainya.
“Suntikan-suntikan itu juga merupakan vaksin bagi melindungi mereka, jadi kenapa perlu khuatir untuk membenarkan anak-anak disuntik vaksin Covid-19?
“Tak perlulah dengar cakap-cakap buruk orang lain tentang pengambilan vaksin, masing-masing boleh fikir sendiri untuk kebaikan ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, lebih 500 murid dari 11 sekolah di Bagan Serai menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Dewan Komuniti Bagan Serai, semalam.
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Bagan Serai, SK Matang Buluh, SK Parit Haji Taib, SK Dato Masud, SK Matang Gerdu, SK Alor Pongsu, SK Matang Jelutong, SKJT Bagan Serai, SKJT Ladang Soon Lee, SKJT Ladang Kalumpang dan SKJC Tong Wah. – UTUSAN











