KUALA LUMPUR: Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu tidak menolak hakikat anak-anaknya memerlukan kasih sayang seorang ibu.
Bagi Shuib, dia faham perkara itu dan menganggapnya sebagai fitrah kehidupan manusia.
“Untuk bercakap soal ini, saya kena balik kepada fitrah hidup kita.
“Saya dahulu punya isteri, berkasih sayang. Itu adalah fitrah saya sebagai lelaki dan seorang suami.
“Anak-anak juga sama. Mereka perlu kasih sayang seorang wanita dalam hidup mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata empunya nama sebenar Shahmira Muhamad, meskipun dia mampu memberikan kebahagiaan kepada anak-anak, ada bahagian yang tidak dapat dipenuhi, yang hanya boleh diberikan seorang ibu.
“Ayash Affan kecil lagi manakala Uwais Alqarni dan Ariq Matin lelaki. Jadi banyak perkara yang kami lakukan bersama.
“Tetapi Dzahira Talita Zahra sering mengadu, kebosanan. Tak ada teman untuk main bersama, bersolek. Kalau hendak tidur, kadang dia cari saya, kadang mak mentua.
“Saya faham itu semua. Saya boleh bagi semua, termasuk masa saya. Tetapi saya lelaki. Ada sesuatu dari seorang ibu yang diperlukan anak yang tak dapat saya tunaikan. Saya akui, itulah fitrahnya,” katanya.
Isteri Shuib yang juga penyanyi tersohor, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia pada Ogos tahun lalu akibat Covid-19.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 36 tahun. – UTUSAN











